Bab 31

9 1 0
                                    

a/n: Tekan bintang dan komen!

Hujung minggu itu Faradhiya tidak kemana-mana. Dia hanya memilih untuk di tinggal di rumah dan menghabiskan kerjanya. Cik Jah juga diberikan cuti, hari ini dia akan masak untuk makan tengah hari dan makan malam. Pak Mad juga dibenarkan pulang awal selepas membeli barang basah. Selepas apa yang berlaku kebelakangan ini, dia yang sering pulang lewat, dia mahu luang sedikit masa dengan Ghaz Ukasyah.

Lagi pula, esok cukup sebulan usia perkahwinan mereka. Faradhiya semakin bersyukur kerana dia benar-benar dikurniakan lelaki yang baik sebagai suami. Sabar dengan kekurangannya, pertuturan yang lembut dan ikhlas menyayanginya. Teringat dengan jawapan suaminya kepada media apabila disoal tentang Faradhiya. Buat dia tersenyum depan skrin telefon sendiri. Makin lembut hati dengan suami sendiri.

"Encik Ghaz, apa perasaan bernikah dengan perempuan seperti isteri encik? Tak rasa takut ke?" soalan keluar tajuk itu di soal kepada Ghaz Ukasyah.

Sepatutnya sesi temu bual ini untuk membincangkan tentang pencapaian Ghaz Ukasyah dalam dunia perniagaan, tapi ada juga soalan peribadi yang keluar di hujung sesi.

"Takut?"

"Tak takut ke kalau isteri encik ego? Diakan bukan orang biasa-biasa. Berpendidikan, ada pangkat, ada harta, wanita jenis dia ni selalu ego tinggi. Tak takut ke kalau dia yang jadi ketua rumah? Apa orang kata? Beras dia yang beli?" Makin banyak minyak yang dituang ke dalam soalannya dengan harapan Ghaz Ukasyah akan menunjukkan reaksi.

Tidak kiralah apa jenis reaksi sekali pun, namun waris tunggal Armada masih lagi tersenyum tenang. Soalan-soalan pedasnya juga dijawab dengan sopan.

"Saya lelaki. Tugas saya adalah memimpin dan melindungi isteri. Kalau saya gagal, kalau saya tak dihormati isteri, saya bukan lelaki. Hanya lelaki pengecut, lelaki rendah diri sahaja yang akan ada rasa seperti itu. Wanita itu fitrahnya lembut, kalau dia terpaksa menjadi keras walaupun setelah berkahwin, maksudnya lelaki itu yang gagal. Lemah. Perempuan akan rasa percaya, boleh bergantung dengan lelaki yang kuat sahaja. Jadi saya tak perlu takut, kerana saya tahu saya mampu. Saya yakin."

Klip temu bual itu tular di sosial media sehingga Faradhiya dan Ghaz dikenali oleh orang ramai. Tidak fasal-fasal syarikat mereka dapat publisiti percuma. Ramai golongan remaja dan awal dewasa 'cair' dengan jawapan Ghaz Ukasyah. Hasilnya, ramai yang mula ambil tahu tentang mereka. Video perkahwinan mereka juga bertambah jumlah tontonan.

Namun, Faradhiya tidak berapa selesa dikenali dengan cara begini. Dia bukan pempengaruh atau artis. Dia hanya orang berniaga. Sudah cukup dengan perhatian yang dia dapat dalam politik perniagaan, tidak mahu perhatian lain lagi. Jika sesuatu yang tidak baik berlaku, cukuplah sedikit yang tahu. Tidak mahu terlalu ramai.

Bunyi deringan telefon mematikan lamunan Faradhiya. Berangan fasal suami sendiri.

"Assalamualaikum, Uzair." sapa Faradhiya sebaik sahaja dia menjawab panggilan.

"Waalaikumusalam. Kakak tengah buat apa?" Ada suara lelaki bersembang dan bunyi air kuat.

"Baca emel. Awak tu kat mana? Isnin depan dah masuk office kan." soal Faradhiya.

"Keluar camping dengan kawan-kawan. Ya, orang tak lupa lah." Dia dapat rasa yang Uzair sedang golek bola mata, mengejeknya.

"Balik esok ke?"

"Balik petang ni, 2 hari 1 malam je. Nak tengok tak?"

"Tak pakai tudung." Balas Faradhiya. Adiknya mesti mahu tukar panggilan ke mod video.

"Kakak jangan lah buka camera."

"Yelah." Setelah itu Faradhiya tekan fungsi panggilan video dan tutup kameranya. Uzair terus sahaja menunjukkan pemandangan air terjun di hadapan.

TemuWhere stories live. Discover now