Bab 9

106 8 0
                                    

Ghaz Ukasyah diam memerhatikan dari dalam ruang legar Rumah Sayang, Faradhiya yang sedang mengambil angin di beranda aras dua. Hari ini Puan Sri Umairah ada buat kenduri kesyukuran untuk sambut kelahiran anak-anak Rumah Sayang yang lahir bulan ini, dijemput juga Puan Aisyah, mamanya untuk hadir sekali. Kiranya kenduri ini adalah aktiviti bulanan Rumah Sayang. Dia mengagak yang Faradhiya ke sini untuk lari dari penghuni-penghuni rumah. Pasti wanita itu letih melayan keletah kanak-kanak riang dan menjawab setiap soalan dari anak-anak remaja rumah ini. Wanita itu pula bukan sejenis yang banyak bercakap sangat.

Faradhiya mengeluarkan telefon pintarnya dari poket abaya, memeriksa jika ada emel penting yang memerlukan perhatiannya. Fokus melihat skrin telefon dia tidak sedar ada manusia lain yang sudah ada di hujung beranda itu. Sudah dua tiga deheman dia cuba bunyikan namun Faradhiya masih dalam dunia sendiri.

"Assalamualaikum, Faradhiya." Sapa Ghaz Ukasyah perlahan. Tidak rugi dia ikut mama ke Rumah Sayang hari ini. Ketawa kecil Ghaz apabila melihat bahu Faradhiya yang tersentak kecil, terkejut. Faradhiya hanya menjawab salam dengan muka yang memandang ke arah lain. Menyembunyikan malu. Sungguh dia tidak sedar kehadiran lelaki itu.

"Macam mana lepas balik ke sini? Okey?" soal Ghaz Ukasyah. Cuba untuk berbual dengan Faradhiya. Wanita cantik ini tidak pernah buat dia gagal untuk mahu mengambil tahu. Walaupun dia sudah lama tahu tentang Faradhiya. Siapa saja yang tidak kenal dengan waris sulung Tan Sri Faizal ini. Cekap bekerja, bijak, dan paras rupa yang sentiasa menjadi buah mulut orang walaupun Faradhiya jarang sekali berhadapan dengan media.

Namun selepas 3-4 kali berjumpa, Ghaz sedar yang dia asyik ternanti masa temujanji dengan Faradhiya. Dia mula membaca artikel-artikel tentang wanita itu, meluangkan masa yang lama dengan skrin apabila gambar Faradhiya turut disertakan dalam artikel. Ghaz mula bertanya tentang Faradhiya dari mama. Tentang peribadi Faradhiya dan semua yang mamanya tahu tentang Faradhiya tapi dia masih rasa tidak cukup.

"Okey. Tuan Ghaz terlibat juga ke dengan kenduri?" soal Faradhiya.

"Mama ajak ikut. Tak perlu tuan, Ghaz dah cukup." Jawab Ghaz. Walaupun dia tahu yang permintaan dia tidak akan dihiraukan tetapi tidak salah mencuba. Matanya membuang pandang ke laman luas Rumah Sayang bila sedar dia terlalu lama memerhati anak dara orang.

"Faradhiya suka langit? Kenapa?" soal Ghaz Ukasyah apabila dia melihat Faradhiya dari tadi tidak melarikan mata dari langit yang jelas birunya hari ini kerana awan yang kurang. Cuaca redup tapi tiada awan. Ghaz tidak mahu perbualan ini berakhir di sini sahaja.

"Suka. Suka benda yang luas, lapang." Jawab Faradhiya senada namun sudah mampu mengoyak senyum Ghaz Ukasyah. Dia berjaya memanjangkan perbualan. Selalunya dia hanya dapat dua tiga patah perkataan sahaja dari wanita itu, lalu perbualan mereka akan berakhir.

"Saya pun suka benda yang buat saya rasa lapang." Ghaz memberi tahu minatnya tanpa diminta. Kalau dia tunggu Faradhiya yang tanya, sampai bila-bila pun ianya tak akan berlaku. Namun sangkaannya meleset, apabila Faradhiya menyambung bicara.

"Apa yang buat awak rasa lapang?" soal Faradhiya, mata masih terus melihat hujung langit. 

"Classical music. Laut. Pemandangan dari puncak." Jawab Ghaz ringkas. Takut jika dia jawab panjang berjela, lain pula jawapan yang keluar. Nafas di tarik perlahan cuba mengawal diri. Berada dekat dengan wanita ini membuat dia bertindak balas dengan cara baru. Dia sendiri tidak pernah tahu yang dia boleh ada rasa mahu mendekati seperti ini. Rasa ingin tahu yang sangat tinggi.

Deringan telefon Faradhiya menamatkan perbualan mereka. Ghaz hanya mampu menghantar wanita itu pergi dengan senyuman nipis. Keluhan kecil dilepaskan namun terjungkit naik juga hujung bibirnya bila sedar ini perbualan terpanjang mereka pernah ada dan dia dapat tahu yang Faradhiya suka langit.

Malam itu Ghaz Ukasyah sendiri di laman rumah keluarganya. Duduk di kerusi besi yang mama letak di taman bunga mamanya. Tidak besar mana tapi masih meriah dengan bunga hasil tangan mamanya. Mata terus melihat langit gelap yang kosong tanpa bintang.

"Ghaz." Tegur Ku Ghazali. Hairan melihat anaknya yang lama mendongak melihat langit. Tak lenguh ke?

"Papa. Duduklah." Terkejut dia ditegur papa, sejak bila papa jalan tidak berbunyi pun dia tidak tahu. Dah macam James Bond.

"Kamu tak jemput pun memang papa nak duduk. Kamu fikir apa? Jauh betul kamu termenung." Soal Ku Ghazali selamba. Jarang anaknya buat perangai tilik langit. Ini kali pertama dia melihat anaknya berpelakuan begini.

Ghaz senyap mendengar soalan papanya. Kepala sibuk membuat keputusan sama ada dia perlu meminta nasihat papanya atau tidak. Rasa segan pula, sudah umur 31 pun dia masih perlu bersembang dengan papa tentang perempuan. Namun, dia sendiri ingin tahu apa yang dia perlu buat. Ini juga kali pertama baginya. Sebelum ini, dia tidak pernah begini. Meskipun dengan wanita-wanita yang umi cuba kenalkan.

"Apa yang kita perlu buat kalau kita asyik teringat dekat seorang perempuan?" Perlahan sahaja soalan itu keluar dari mulutnya. Mata dihalakan ke rumput, tak sanggup nak menghadap muka papa.

"Teringat?" Ku Ghazali menyoal meminta penjelasan yang lebih dari anaknya. Duduknya dibetulkan, perhatian diberikan sepenuhnya kepada Ghaz Ukasyah. Ini kali pertama anaknya sukarela bersembang tentang wanita. Selama ini dia sendiri tidak bertanya tentang perancangan perkahwinan anaknya walaupun isterinya sentiasa meminta dia untuk bertanya.

"Ghaz asyik teringat. Ghaz teringat cara dia senyum walaupun senyum tu bukan untuk Ghaz, cara dia bercakap, cara dia bekerja, muka dia bila dia fokus. Semua Ghaz teringat. Ghaz suka tengok bila dia malu. Ghaz suka cara dia bercakap depan orang ramai. Ghaz suka tengok cara dia menyantuni orang. Semua Ghaz suka. Ghaz sentiasa nak tahu tentang dia. Hari ini dia dah makan ke belum, hari ini kerjanya macam mana, dia ada apa-apa masalah atau tidak. Kalau boleh Ghaz nak tahu semua." Panjang pengakuan Ghaz Ukasyah terhadap papanya. Terjongket sedikit kening Ku Ghazali mendengar bicara Ghaz. Senyum di tahan.

"Berapa lama dah kamu kenal dia?" soal Ku Ghazali. Mahu tahu tentang wanita yang telah berjaya menarik perhatian anaknya yang sangat memilih ini. Ghaz Ukasyah sangat memilih. Dari makanan, baju, dan segala jenis benda. Manusia apatah lagi. Jadi apabila anak lelaki tunggalnya datang menghadap dengan pengakuan sebegini, pastinya ia menarik perhatian seorang ayah.

"Belum sampai sebulan rasanya." Jawapan dari anaknya menyebabkan kening Ku Ghazali naik lebih tinggi. Hairan.

"Kalau dia sakit dan kamu tak dapat buat apa-apa untuk tolong dia. Kamu rasa apa?"

Jeda.

"Frustrated? Helpless. Ghaz tak nak dia rasa sakit dan tak mahu bagi dia sakit." Jawab Ghaz Ukasyah selepas dia membayangkan situasi yang papa gambarkan. Pasti dia akan rasa marah, dan kecewa kerana tidak mampu membuat apa-apa.

"Hari-hari kamu teringat dia?" soal Ku Ghazali sekali lagi untuk mendapat kepastian. Pantas saja Ghaz Ukasyah memberi anggukan kemas.

"Kahwin dengan dia." Kali ini giliran kening Ghaz Ukasyah pula untuk melompat naik. Terkejut dengan solusi yang diberikan oleh papanya.

"Papa pun buat keputusan macam tu dengan mama kamu dulu. Tak normal dan tak elok bila kamu asyik fikirkan dan risaukan wanita yang haram bagi kamu. Kalau wanita itu perilakunya elok, didikan agamanya cukup, keluarganya baik maka cuba jadikan dia halal bagi kamu. Kenal mengenal hati ini kamu boleh buat dalam tempoh bertunang nanti. Tak perlu risau sangat, kita tak akan kenal seseorang itu selagi kita tak duduk serumah, tidur sebilik dengan dia. Jadi kenal lama-lama pun tak guna juga, tambah dosa lagi ada." Panjang lebar nasihat Ku Ghazali kepada anak tunggalnya. Ghaz Ukasyah hanya diam merenung rumput.

"Istikharah, Ghaz. Minta petunjuk dan hidayah. Kalau Allah mudahkan, Allah beri kelapangan maka anggaplah kamu telah dikurniakan rezeki untuk berkahwin. Kalau kamu sendiri masih tidak yakin selepas istikharah, maka bukan masanya lagi." Tambah Ku Ghazali sambil tangan menepuk bahu anaknya sebelum mengangkat punggung untuk beredar. Meninggalkan Ghaz Ukasyah sendiri dengan jantung yang kini berdebar kuat.

TemuTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang