Malam ini Faradhiya ambil keputusan untuk menikmati bintang. Walidnya juga ada sekali untuk menemani. Suasana dari tadi hanya sunyi. Masing-masing diam melihat langit. Lelaki berusia itu
"Apa yang buat kamu masih tak jumpa jawapan?" soal Tan Sri Faizal, memecah sunyi bila Faradhiya hanya duduk diam di hujung kanopi, membuang pandang ke langit malam yang penuh bintang.
Jeda.
"Dhiya... Dhiya takut walid."
"Takut apa?"
"Takut jadi macam dulu? Takut Ghaz tu sama macam Adrian?" soalan diberi lagi bila anak perempuannya hanya diam. Matanya masih memandang langit malam. Soalannya sekali lagi dibiarkan tidak berjawab. Maka dia mengambil keputusan untuk menyambung bicaranya sendiri.
"Tak adil bagi Ghaz bila kamu menghukumi dia macam ni. Siapa kita sebagai makhluk untuk menghakimi makhluk yang lain?"
"Macam mana Dhiya nak terima dia kalau Dhiya takut?" soalan walidnya dijawab dengan soalan.
"Takut itu normal Dhiya. Takut sebelum mencuba itu adalah satu kelemahan. Kenapa kamu nak takut? Kamu belum cuba untuk kenal Ghaz pun. Sepanjang tempoh yang Ghaz bagi, ada kamu cuba untuk kenal dia?" Diam dari Faradhiya sudah cukup untuk dia tahu jawapan sebenar dari anaknya. Suasana kembali sunyi.
"Macam mana kalau benda lepas berulang? Masa tu semua orang akan betul-betul anggap Dhiya bodoh. Dhiya tak nak." terluah juga kerisauan sebenar Faradhiya.
"Ini semua perkara biasa untuk satu permulaan. Fasa yang paling janggal sekali. Kamu mesti terima semuanya di fasa ini. Rasa takut, tidak selesa, tidak yakin. Kamu kena hadapi semuanya. Ini yang menjadikan kita manusia. Di mana kita dihadirkan dengan semua rasa yang buat kita rasa nak patah balik sebab semua ini terlalu baru, kita letak kepercayaan pada Allah. Allah takkan letak kita di jalan ini hanya semata-mata untuk membiarkan kita. Ada hikmah. Percaya dengan perancangan Allah." Panjang hujah Tan Sri Faizal kali ini.
"Macam mana... macam mana nak percaya? Macam mana Dhiya nak tahu yang keputusan yang Dhiya buat ni satu keputusan yang betul?" Sekali lagi keraguan yang sering kali menghurung kepalanya, disuarakan. Semakin selesa untuk mendengar nasihat dari walid tentang topik bakal suami.
"Jangan putus asa dengan rahmat Allah, Faradhiya. Musibah yang mendekatkan kamu dengan Allah itu sesungguhnya satu nikmat. Apa yang kamu dah pernah hilang, Allah akan gantikan dengan perkara yang jauh lebih baik sehingga tak tercapai akal fikiran kamu. Allah tahu setiap sakit yang kamu rasa, setiap tangis kamu semua Allah tahu. Maka yang menunggu kamu hanyalah ganjaran kebaikan. Di setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Yakin. Kita hamba kena yakin yang Allah sudah aturkan yang baik-baik saja buat kita. Jangan jadi sombong dan bongkak. Kita ni bukan siapa-siapa." Pandangan Tan Sri Faizal dialih ke arah raut wajah anaknya yang mencerminkan keserabutan yang dirasai. Nasihatnya hanya dibalas dengan anggukan.
"Walid, satu lagi soalan." Anggukan dari walidnya buat Faradhiya terus menyambung soalan.
"Macam mana cinta walid dekat umi boleh kekal sampai sekarang?"
"Kamu rasa perkahwinan ni hari-hari dipenuhi rasa cinta ke?" Wah, walid guna taktik dia tadi ke? Soalan dibalas soalan. Kedua bahunya diangkat, tanda dia tidak tahu. Walid tersenyum kecil melihat respon Faradhiya.
"Perkahwinan bukan soal cinta tapi satu hubungan yang memerlukan komitmen besar dan tolak ansur yang meluas. Kita ni manusia sentiasa berubah-ubah. Hari ini lain, esoknya lain. Kalau berkahwin hanya kerana perasaan cinta, apa yang berlaku bila kita bangun satu hari dan kita tidak lagi mencintai pasangan? Untuk kekal bahagia, cukup dengan sikap tolak ansur. Saling menerima baik buruk masing-masing, faham yang pasangan kita ada kekurangan. Sikap hamba memang serba kekurangan, tidak ada yang sempurna. Jika kamu bersabar dan menjadi sebab dia berubah ke arah yang lebih baik. Sudah dijanjikan syurga untuk kamu sebagai isteri."
YOU ARE READING
Temu
RomanceCerita ini menyelami rasa seorang Nur Faradhiya, wanita yang dianggap sempurna dan lengkap dengan segalanya. Pendidikan, harta, kerjaya, dan pencapaian. Namun, Faradhiya juga adalah antara wanita yang tertipu dengan janji lelaki. Pengkhianatan yang...