Rutinnya di Malaysia semakin kukuh. Masuk kerja 9 pagi, balik pukul 8 malam. Hujung minggu di rumah atau ikut umi ke Rumah Sayang. Rasa terisi hidup selepas kembali kepada keluarga. Ketika di perantauan, banyak yang dia belajar namun dia sunyi. Pulang ke rumah yang tiada penghuni, masih dikelilingi orang asing walaupun dia disantuni. 3 tahun dia di Jepun kononnya ingin merawat hati. Mencari apa yang hilang, rupanya jawapan di Malaysia.
Faradhiya tempatnya bersama keluarga.
Sudah dijumpa jawapan untuk Ghaz Ukasyah. Gembira untuk Faradhiya adalah keluarganya. Ketukan di pintu mematikan fokus Faradhiya dari komputernya yang sedang membaca slaid pembentangan untuk mesyuarat suku tahunan esoknya. Dia harus memastikan pembentangan esok kepada ahli lembaga pengarah jelas dan kemas supaya tidak disoal dengan teruk. Hujah perlu kemas dan padu supaya keputusan yang bakal dia umumkan tidak dapat dibantah. Ini termasuklah, pengumuman usahasama dengan Armada.
Bukan mudah untuk seorang wanita memimpin. Harus sentiasa bersedia menerima persoalan, pandangan, dan membiasakan diri mendengar komen yang tidak akan diperoleh pemimpin lelaki. Diskriminasi jantina, dan usikan yang sebenarnya gangguan seksual perlu dihadapi dengan tenang. Dia harus sepuluh langkah ke hadapan supaya kredibiliti dirinya sebagai pemimpin tidak dapat dipersoal. Ruang untuk membuat kesilapan lebih kecil berbanding lelaki.
"Cik, Tuan Ghaz Ukasyah dari Armada dah sampai." dengar suara Sofi dari luar.
"Boleh suruh mereka masuk bilik mesyuarat, Aida." Faradhiya menetapkan komputernya dalam mod lena. Setelah memastikan meja kemas, dia bergerak ke ruang mesyuarat kecil yang berhubung terus dengan biliknya. Mudah untuk pihak Armada melakukan pembentangan kerana mempunyai pembesar skrin. Sebaik saja dia melabuhkan duduk, Aida masuk mengiringi Ghaz Ukasyah dan pembantunya, Ferhad diikuti oleh pengurus projek dari Armada. Melihat senyuman Ghaz Ukasyah, langsung dia menundukkan pandangan selepas salam yang diberi terjawab.
Suasana hening, hanya kedengaran bunyi cawan dan air dituang oleh Aida dan Ferhad yang sedang membuat persediaan untuk pembentangan. Hairan si pembantu kenapa suasana rasa sedikit tegang. Waktu pertemuan kedua bersama peguam hari itu dan wakil syarikat Desa rasa macam biasa saja.
Selesai menuang minuman, Aida mengambil tempat duduk di tepi majikannya, tablet di tangan dihidupkan. Jari menggenggam kemas pen pintar, bersedia untuk mencatat minit mesyuarat.
"Shall we begin?" suara Faradhiya memecah sunyi. Tiga orang wakil dari Equil termasuk 2 orang dari syarikat Desa Hotels and Resorts yang berada di bahagian kanannya mengangguk pantas tanda bersedia.
"Bismillah." kedengaran perlahan suara Ghaz Ukasyah sebelum dia memulakan pembentangan. Jika pembentangan pertama itu untuk meyakinkan, pembentangan kali ini untuk membuktikan dan menerangkan projek dengan lebih baik. Segala tambah baik yang telah dibuat, input baru yang telah diterima, semuanya di dalam pembentangan ini. Ghaz Ukasyah tahu, wanita diam dihadapannya itu susah untuk diyakini. Sangat teliti. Jadi kepercayaan yang sudah diberi, dia harus jaga.
Setiap komen, soal jawab, isi penting perbincangan semua dicatit laju oleh Aida dan Ferhad. Nasiblah mereka sudah terbiasa dengan majikan mereka yang laju benar kalau bab bekerja, kalau tak semput juga hendak mencatit segala bait.
"Saya rasa itu sahaja untuk hari ini. Sekarang dah tengahari." ujar Faradhiya menamatkan mesyuarat. Senang hatinya dengan pertemuan hari ini, banyak penambah baharuan dalam projek, semoga projek ini boleh dimulakan secara fizikal mengikut tarikh yang telah dirancang. Ini projek pertamanya selepas pulang ke Malaysia. Tidak besar mana jika dibandingkan yang dahulu, tapi tetap juga ekspetasi terhadap dirinya sangat tinggi.
"Kalau tak keberatan, jom lunch sekali?" beku semua yang didalam bilik itu dengan soalan Ghaz Ukasyah. Aida yang masih sibuk mencatat di tablet juga terhenti penulisannya, hampir terjatuh pensil pintarnya. Mana ada orang lelaki berani ajak majikannya keluar makan!
ANDA SEDANG MEMBACA
Temu
RomanceCerita ini menyelami rasa seorang Nur Faradhiya, wanita yang dianggap sempurna dan lengkap dengan segalanya. Pendidikan, harta, kerjaya, dan pencapaian. Namun, Faradhiya juga adalah antara wanita yang tertipu dengan janji lelaki. Pengkhianatan yang...
