Bab 45

190 14 1
                                        

Faradhiya tenung skrin monitornya. Kepalanya yang sudah beberapa hari serabut dengan isu fail projek yang hilang, kini semakin berselirat. Sudah dua hari suaminya kurang bercakap dengannya. Dia sedar ini bermula sejak malam mereka berbuka di luar, di mana suaminya sekali lagi cuba bertanya tentang dirinya.

Ghaz tidak banyak bercakap. Hanya bercakap bila Faradhiya yang ajak berbual, namun hari ini setiap kali dia cuba untuk berbual, jawapan yang dia akan dapat hanyalah jawapan pendek. Paling pedih apabila suaminya akan membalas soalannya dengan anggukan atau gelengan sahaja.

Sejak mereka pulang dari solat tarawih di masjid tadi juga, tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut suaminya sehingga sekarang. Dia gigit bibir sendiri, hati dibebani rasa tidak selesa dan fikirannya dirundung dengan pelbagai soalan.

Adakah suaminya sudah tahu tentang apa yang berlaku?

Faradhiya geleng kepala, jika Ghaz tahu pasti suaminya sendiri akan datang ke pejabatnya. Jadi kenapa? Dia lepas satu keluhan. Suami yang sedang fokus membaca dokumen itu diperhatikan. Tanpa sedar, dia tidak dapat menghabiskan lebih dari separuh pun kerja yang perlu disiapkan.

Dan malam itu apabila Ghaz Ukasyah membelakangkan dia sewaktu tidur, tanpa sebarang ucapan. Tiada doa yang ditiup atau ciuman yang singgah ke ubun-ubunnya seperti malam-malam lain. Faradhiya rasa seperti mahu menangis.

***

Ghaz Ukasyah sedar kehadiran di belakangnya apabila ada esakan kecil yang kedengaran. Pasti isterinya sudah bangun dari tidur. Pagi ini, dia tidak mengejutkan isterinya untuk bangun solat malam seperti kebiasaan. Dia bangun lebih awal dari selalu.

Sudah dua hari dia beri ruang kepada isterinya untuk berlaku jujur. Namun, Faradhiya masih pilih untuk kekal diam. Jika Faradhiya mahu untuk kekalkan cara hidup seperti sebelum kahwin, maka dia akan biarkan isterinya sebegitu. Jadi Ghaz ambil keputusan untuk beri isteri ruang yang lebih jauh. Biar isterinya sedar yang sekarang, isterinya tidak lagi keseorangan.

Ghaz mahu Faradhiya tahu, bagaimana rasanya bila isterinya tidak ada lagi teman yang boleh diajak berbual, boleh berkongsi masalah dan rasa. Biar isterinya sedar sendiri bagaimana kecewanya dia sebagai suami apabila diasingkan dan dibelakangkan tanpa sebarang alasan.

Dia sedar yang Faradhiya sudah mula terasa dengan perlakuannya tetapi dia harus buat Faradhiya faham. Mungkin isterinya itu lupa yang dia sudah banyak kali berpesan, dia mahu tahu semua yang membebani isterinya. Jika dia tidak mampu selesaikan, sudah cukup di boleh mengurangkan beban masalah walaupun dengan hanya mendengar luahan.

Jika ada masalah yang menganggu atau menyakiti isterinya sudah pasti dia mahu ambil tahu. Sudah pasti dia sebagai suami mahu melindungi. Namun jika Faradhiya bertindak untuk menyembunyikan masalah sebegini besar, dia tidak mampu untuk buat apa-apa.

Peranannya sebagai seorang suami yang sepatutnya melindungi, membantu dan menyenangkan isteri tidak dapat ditunaikan. Isterinya sendiri tidak membenarkan dia melaksanaknan peranan dengan menyembunyikan perkara-perkara ini dari dirinya.

Perkara yang jelas menganggu bukan sahaja menganggu hubungan kerja tetapi perkahwinan mereka. Tidakkah isterinya itu sedar, dia mempunyai hak untuk tahu tentang apa yang sebenarnya terjadi.

Ghaz Ukasyah beralih duduk apabila dia mendengar panggilan Faradhiya yang disulam dengan esakan kecil. Apabila dia akhirnya duduk bertentangan dengan isterinya yang sedang menangis dalam keadaan bertelekung itu, mahu saja dia lupakan semua rasa dan menarik wanita itu ke dalam pelukan. Namun, dia harus tegas. Dia mahu Faradhiya faham yang dia sangat menitik beratkan kepercayaan dan kejujuran.

"Abang kenapa marah Dhiya?" soalan dari Faradhiya itu tidak dijawab Ghaz yang masih lagi menatap wajah isterinya. Isterinya sudah beberapa hari kurang makan. Jelas wajah itu keletihan, ada bayang kelabu di bawah mata yang dia sentiasa cari setiap kali dia buka mata dan sebelum tidur. Sangat jelas yang masalah yang membelenggu isterinya cukup besar sehingga memberi kesan yang ketara kepada wanita ini.

Lalu mengapa Faradhiya begitu degil tidak berkongsi? Walaupun sudah banyak kali dia cuba meminta Faradhiya untuk berkongsi, isterinya masih memilih untuk simpan sendiri. Seperti dia tidak boleh dipercayai oleh isteri.

"Abang cakaplah dengan Dhiya." Nada seakan merayu isterinya itu buah Ghaz hela nafas. Sepasang tangan yang lebih kecil itu menarik tangannya, meminta perhatian dan jawapan.

"Kalau abang bercakap dengan awak, awak nak bercakap dengan abang ke?" soal Ghaz, matanya merenung ke wajah isteri yang sedikit berubah. Faradhiya kini sedar yang suaminya tahu sesuatu yang dia sembunyikan.

Tidak petah lagi mahu melayan kediaman wanita itu, Ghaz dan mencapai telefon pintar yang berada di hujung katil dan dia kembali duduk menghadap Faradhiya. Gambar-gambar yang diperolehi ditunjukkan kepada isterinya. Wajah isteri yang berubah itu dipandang tanpa suara.

"Ini, ini dekat kafeteria pejabat Dhiya." Ghaz hanya diam, dia sudah tahu tentang itu. Dia hanya mahu Faradhiya bercerita bagaimana gambar-gambar begitu boleh wujud. Faradhiya dan Tengku Adrian, berdua. Ada sekeping gambar Adrian pegang tangan isterinya sambil berdiri.

Faham dengan diam suami, Faradhiya sambung penjelasannya. "Aida pergi toilet, Dhiya tengah tunggu makanan. Adrian baru habis meeting, tak tahu dengan siapa. Dia duduk dekat meja Dhiya. Tak sampai lima minit pun lepas tu Dhiya bangun, nak balik. Masa tu Adrian pegang tangan Dhiya." Terangnya panjang, memandang mata suami. Mahu Ghaz percaya yang dia sedang jujur.

"Jadi kenapa sembunyi benda ni?" Soal Ghaz. Sudah tentu dia percaya dengan penjelasan isterinya. Riak muka isterinya dalam gambar-gambar itu sudah cukup untuk membuktikan itu bukan pertemuan yang berlaku secara sukarela.

"Dhiya cuma tak rasa benda ni penting." Perlahan saja suara isterinya menjawab.

"Penting untuk siapa? Awak atau abang? Awak takut abang marah? Abang tak suka?" Bertubi-tubi soalan yang diberi oleh Ghaz tidak dapat dijawab oleh Faradhiya.

"Jadi Dhiya ingat abang suka dapat tahu macam ni? Dari orang luar? Kalau abang tahu awal dari awak sendiri, awak rasa abang akan sakit hati macam sekarang? Abang dapat tahu lelaki lain sentuh isteri abang dari orang lain. Gambar-gambar ni di hantar dengan niat yang tak baik. Awak ingat apa akan jadi kalau gambar ni tersebar ke orang ramai. Apa orang cakap?" sambung Ghaz lagi, hanya memerhatikan isterinya yang sudah tertunduk kepala.

"Apa abang boleh buat untuk lindung awak kalau abang tak tahu masalah awak? Susah sangat ke awak nak percaya abang?" luah Ghaz lagi. Soalan akhirnya buat Faradhiya menarik tangannya dan terus tunduk cium. Berkali-kali dia mendengar perkataan maaf keluar dari mulut dari isterinya.

Hati suami mana yang tidak lembut melihat isteri dalam keadaan begini. Pantas sahaja dia menarik isterinya ke dalam dakapan. Membiarkan sahaja isterinya menangis dalam pelukan. Belakang badan isterinya di gosok perlahan, memujuk. Namun dari tangisan isterinya sekarang ini, dia tahu ini bukan tentang gambar-gambar itu sahaja.

Masih ada satu perkara yang Faradhiya sembunyikan darinya sebagai suami dan rakan kerja.

Jadi dengan harapan yang isterinya sudah lembut hati untuk menceritakan semua, dia menyoal isterinya. "Ada apa-apa lagi nak bagitahu abang?" soalnya lembut.

Dan apabila dia merasai gelengan kepala Faradhiya yang masih menyembunyikan wajah di antara lehernya, Ghaz hanya mampu mengeluh kecewa.

***

Pagi itu Ghaz masuk ke pejabat seperti biasa. Belum sempat dia mengambil duduk Ferhad sudah menerpa masuk ke bilik pejabatnya. Belum sempat dia buka mulut bertanya, matanya pantas membaca skrin tablet yang ditunjukkan kepadanya.

Equil batal usahasama dengan Armada, pilih Alam Indah.

"Bukan ni je, tuan. Banyak artikel yang dah keluar. Report dari Kila pun dah sampai pagi tadi." Lapor pembantunya lagi. Dan dari air muka Ferhad, dia sudah tahu hasil laporan dari Kila.

Kunci yang berada di atas meja, dicapai. Mahu lekas keluar, dia perlu ke Equil sekarang. Perkara ini bukan lagi sesuatu yang tidak pasti. Syarikatnya kini perlu jawapan dari Equil. Dia perlu jawapan dari Faradhiya.

Faradhiya menipunya lagi.

a/n: I hope you guys enjoy this week's updates, see you next week!!! <3

TemuTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang