a/n: Saya minta maaf buat awak semua tunggu huhuhuhuhuhuhuhuhuhuhuh
Hari ini hari yang memerlukan dia bersemuka dengan dua jenis manusia. Adam yang telah mengkhianati adiknya dan Shauki. Dia yakin Adam ada terlibat dengan Shauki, dia hanya perlukan pengakuan dari kawan baik adiknya itu.
Jika betul Adam mengkhianati Uzair atas arahan Shauki maka maksudnya kes projek yang dicuri bukan perbuatan khianat pertama Shauki.
Suasana bilik mesyuarat itu sunyi. Dua pihak yang duduk bertentangan itu masing-masing diam. Faradhiya bersama barisan peguam-peguamnya senyap menunggu dan pasukan dari Alam Indah nampak resah menanti kehadiran majikan mereka, Shauki.
Tidak cukup mengkhianati Equil, Shauki juga turut mengkhianati waktu perjanjian. Kehadiran lelaki itu adalah diwajibkan, jika tidak Faradhiya berkeras untuk melibatkan polis tanpa ada sebarang perbincangan.
Faradhiya selalu cuba untuk menjadi seorang pemimpin yang mempercayai naluri dan membina hubungan yang bermakna dengan semua orang yang dia bekerjasama, termasuk mereka yang bekerja dengan syarikat lain. Shauki adalah salah seorang individu tersebut—seorang pemilik syarikat muda yang berjaya yang pernah bekerjasama dengan pelbagai syarikat hebat dalam beberapa projek.
Syarikat yang diberi peluang untuk bekerjasama dengan Equil kerana idea yang dibawakan oleh mereka ialah sesuatu yang baru untuk Equil. Shauki mempunyai kepakaran, pengetahuan, dan hubungan yang membuatkan syarikat Alam Indah nampak menarik dimata Equil. Individu yang jika dilihat di atas kertas, mempunyai potensi besar untuk menjalin usaha sama dalam jangka masa yang panjang.
Namun, apa yang bermula dengan hanya rasa was-was kini sudah menjadi satu mimpi buruk. Akibat terlalu yakin dengan diri sendiri yang dia mampu selesaikan semua, dia telah dibuktikan salah dengan begitu keras sekali. Syarikat muda milik Shauki telah berjaya merosakkan reputasinya, reputasi Equil, dan menimbulkan retak dalam rumah tangganya.
Projek-projek yang telah menelan masa berbulan perancangan, hampir punah tanpa diduga. Pelan-pelan projek telah dibocorkan, strateginya digagalkan dan hubungannya dengan rakan niaga yang lain turut terjejas. Jelas semua ini berpunca dari seseorang yang berada dalam syarikatnya.
Jadi apabila mengetahui yang orang dalam itu ialah seorang pembersih syarikatnya. Dikaburi dengan ganjaran wang, amanah yang diberi–dicarik begitu sahaja. Seseorang yang kecil statusnya di mata Faradhiya, telah berjaya menipunya.
Bertemu Shauki secara berhadapan adalah seperti berhadapan dengan hantu. Faradhiya tidak pernah melihat pengkhianatan yang terancang seperti ini. Perjumpaan ini perlu untuk kepuasan hatinya dan ketenangan mindanya. Walaupun selepas siasatan yang terperinci, dia masih tidak mengetahui motif lelaki itu. Apa sebab Shauki mahu melakukan semua ini?
Pintu bilik mesyuarat itu terbuka, muncul susuk tubuh milik lelaki yang menjadi punca keserabutannya. Shauki berjalan masuk dengan bersahaja, sedikit pun tidak menunjukkan rasa penyesalan—hanya kepuasan yang menakutkan atas kerosakan yang dia telah timbulkan.
Membiarkan Tuan Wari memulakan perbincangan, Faradhiya hanya memerhatikan riak wajah Shauki. Cuba membaca emosi lelaki itu, mengabaikan keyakinan palsu yang dipamerkan. Rasa ingin tahu membuak-buak dalam dadanya. Menunggu masa untuk melahar keluar.
"Apa motif Encik Shauki buat semua ni?" Soalan itu meluncur keluar dari mulut Faradhiya sebaik sahaja Tuan Wari menghabiskan ayat terakhir.
Shauki berdecit dan mempamerkan senyuman sinis sebelum akhirnya bersuara. "Puan Faradhiya, ever the professional. Dah kena khianat pun, masih kekalkan formaliti. Tak macam suami."
Provokasi itu langsung tidak dihiraukan oleh Faradhiya. Dia pilih untuk diam dan menunggu jawapan lelaki itu.
"Semua benda yang berlaku kena ada motif ke? Tak boleh terima benda macam ni jadi dekat syarikat kau?" Soalan Faradhiya dibalas dengan soalan. Sengaja mahu mencungkil emosi wanita yang kelihatan terlalu tenang itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
Temu
RomanceCerita ini menyelami rasa seorang Nur Faradhiya, wanita yang dianggap sempurna dan lengkap dengan segalanya. Pendidikan, harta, kerjaya, dan pencapaian. Namun, Faradhiya juga adalah antara wanita yang tertipu dengan janji lelaki. Pengkhianatan yang...
