Bab 41

134 9 2
                                        

Tiga bulan selepas isu Uzair semuanya sudah kembali tenang. Isu tersebut tenggelam dengan isu-isu lain. Kadar pelanggan yang turun mendadak selepas isu itu juga sudah kembali asal. Faradhiya tidak pernah sebahagia ini. Ujian yang telah datang kepadanya hanya buat dia lebih kenal Ghaz. Buat dia sedar tentang perasaanya kepada Ghaz.

Teringatkan suami sendiri, lebar senyuman di bibirnya. Seminggu lagi dia akan menyambut kehadiran Ramadan dengan suami. Tidak sabar mahu bersahur dan buka puasa dengan suami sendiri.

Senyuman di bibirnya mati bila suara Aida mengingatkan bahawa Encik Shauki dari Alam Indah sudah sampai untuk temu janji mereka. Dia menarik nafas dalam, menenangkan diri. Walaupun dia tidak gemar dengan perwatakan lelaki itu, namun Alam Indah telah berjaya disenarai pendek dalam projek ini. Projek pelancongan di Turki dan Vietnam.

Dia melangkah ke sofa yang tersedia untuk tetamu, mengambil tempat di sofa satu tempat duduk. Tablet di tangan dihidupkan, melihat semula kertas cadangan Alam Indah.

"Assalamualaikum, puan." Salam dari Encik Shauki buat dia panggung kepala. Seperti biasa lelaki itu kemas dan yakin. Senyum yang jika dipandang terlalu lama boleh buat dia rasa jengkel.

"Waalaikumussalam Encik Shauki. Please, have a seat." Jawab Faradhiya seraya mempelawa lelaki itu duduk. Aida yang turut masuk terus menghidupkan skrin televisyen dan dihubungkan dengan komputer riba Encik Shauki untuk tujuan pembentangan. Pembantu peribadinya itu terus mengambil tempat duduk selepas selesai kerjanya. Pen tablet dikeluarkan sedia untuk mencatat minit pertemuan ini dan komen dari Faradhiya.

Kedua-dua wanita itu tekun mendengar pembentangan dari lelaki tersebut. Faradhiya meneliti semua aspek dalam diam sehingga habis pembentangan sebelum dia bersuara.

"So, nothing futuristic this time?" soal Faradhiya dengan senyuman. Teringat dengan perjumpaan pertama mereka. Lelaki ini sangat yakin dengan konsep futuristik.

Belum sempat lelaki menjawab soalannya, pintu diketuk dari luar. Aida bingkas bangun dan kembali dengan dulang minuman. Dengan cekap dia menghidangkan minuman panas itu.

"No. Saya rasa saya dah faham tentang citarasa CEO Equil sekarang." jawab Encik Shauki dengan senyum senget, tangan di dalam poket.

"Belajar dari pengalaman?" soal Faradhiya lagi.

"Always." Terhibur dengan jawapan lelaki itu, dia koyak satu senyuman sebelum sambung sesi soal jawab tentang kertas cadangan tersebut. Pendapat peribadinya juga turut diselitkan.

Selesai sesi pembentangan, lelaki itu kembali ke tempat duduknya. Menghirup minuman. Namun bunyi cawan jatuh, melarikan perhatian Faradhiya yang sedang menulis nota kecil di dalam tabletnya.

"Sorry, panas." Ujar lelaki itu sambil tangannya laju mengeluarkan tisu dari kotak yang tersedia atas meja. Terjongket sedikit kening Faradhiya, air di dalam cawannya sudah suam. Tidak lagi panas seperti tadi.

"Tak apa, Encik. Nanti ada cleaner bersihkan." Kata Faradhiya melihat Encik Shauki yang kelam kabut mahu membersihkan tumpahan air di karpet tebal itu.

Dua tiga kali juga lelaki itu memohon maaf dengannya sehingga timbul sedikit rasa pelik. Nampak macam rendah diri sangat pula. Tidak seperti perlakuan dia sewaktu perjumpaan pertama mereka dan sewaktu dia di ambush di lobi pejabat.

Selepas menegaskan yang semuanya tidak apa-apa, Faradhiya menghantar Encik Shauki keluar dengan senyum formal. Tidak sabar mahu tamatkan perjumpaan mereka. Dia sudah berjanji dengan suaminya yang dia akan ke pejabat Ghaz untuk keluar makan bersama.

"Aida, jangan lupa suruh cleaner cuci karpet dalam bilik saya. Malam ni pun tak apa, asalkan esok bersih. Kalau stain tu tak keluar, tukar baru je." Pesan Faradhiya kepada Aida sebelum dia keluar dari pejabat.

TemuTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang