a/n: Double update! Pastikan dah baca bab 24 sebelum bab ni. Happy reading. :D
Ghaz Ukasyah buang songkok di kepalanya sebaik sahaja dia melabuhkan duduk di birai katil suite resort itu. Isterinya pula mengambil duduk di depan almari solek yang terletak di sudut bilik, agak tersembunyi dari penglihatannya kerana membelakanginya. Suite ini mempunyai tiga ruang. Ruang tidur, ruang tamu dan ruang kerja yang agak kecil berbanding ruang lain.
Dia membuang pandang ke arah balkoni bilik, memastikan pintu gelangsar kaca itu tertutup. Namun, dia masih boleh nampak pemandangan luar. Taman KLCC. Mungkin kerana masih tengahari jadi tidak ramai, siapa saja mahu berada di kawasan luar di waktu begini dengan cuaca Malaysia.
Rasa sudah lama dia pandang luar tapi isterinya masih lagi diam tidak berbunyi. Badan di pusing untuk mencari si isteri. Kelihatan Faradhiya masih terkial-kial mencari sesuatu di tudungnya. Veil sudah tidak ada, tinggal tudung sahaja. Hairan melihat kelakuan isteri dia membuka mulut.
"Cari apa?" soalnya pelik. Mana tidaknya, isterinya itu sedang meraba kepala sendiri. Kiri, kanan, atas dan bawah. Entah apa yang dicari. Riak muka pula serius sungguh, siap ada sedikit kerut di dahi.
"Jarum, tak cukup lagi." jawab Faradhiya. Kejung wanita itu bila sedar dia sedang diperhatikan.
"Tak cukup? Semua ada berapa?" soal Ghaz lagi. Bertambah pelik bila dia nampak sudah ada beberapa jarum di atas meja solek itu. Isterinya yang tadi diam kembali bergerak mencari jarum.
"13. Tak cukup lagi dua." Tangan yang bercincin itu terhenti di satu tempat. Kelihatan dia menarik sesuatu. Jarum. Terangkat kening Ghaz Ukasyah melihat aksi itu. Dah macam buang susuk.
"Nak suruh tolong tak?" laju sahaja Faradhiya menggeleng.
Melihat gelengan itu Ghaz hanya mengangguk faham. Pasti isterinya malu. Dia sendiri agak terhibur kerana dia tahu isterinya pasti menahan malu sekarang. Sebenarnya dia sendiri sedang menahan jantung. Perutnya juga seperti ada makhluk yang terbang di dalamnya. Jadi dia mengambil keputusan untuk mandi dahulu.
Pantas dia bangun dari katil dan menuju ke ruang kecil yang mempunyai almari berkembar dan dan bilik mandi. Sampin dibuka dan dilipat kemas, tuala yang disangkut dicapai. Beg pakaiannya yang sudah berada dalam almari juga dibuka. Pasti pekerja yang hantar naik sebelum selesai majlis tadi. Siap semua kelengkapan dia menuju ke bilik mandi, barulah dia boleh hembus nafas. Buang gementar.
Selesai mandi dia melangkah masuk ke ruang kecil itu kembali untuk memastikan dia lengkap berpakaian. Risau kalau dia keluar bertuala sahaja, isterinya akan kena serangan jantung. Namun, lain pula yang jadi bila dia masuk ke ruang tidur itu. Dia pula yang hampir hilang nafas. Faradhiya sedang sikat rambut, muka sudah bersih dari sebarang solekan.
Hik!
Pantas saja Ghaz Ukasyah tutup mulut sendiri. Cuba hentikan bunyi yang tidak dapat dikawal itu.
Hik!
Kali ini lebih kuat sehingga Faradhiya sedar ada bunyi aneh dalam ruang itu. Apabila pandangan mereka bertembung, masing-masing panas muka. Malu.
Faradhiya kerana suaminya telah nampak rambutnya. Manakala Ghaz pula sedu kerana terlampau terkejut bila nampak isteri sendiri tanpa tudung. Bila wanita itu sedar yang bunyi itu adalah bunyi sedu, terus pecah tawanya. Ghaz menapak ke katil sambil menutup mulut. Masih cuba untuk menghentikan sedunya namun gagal.
Hik!
Hik!
Mata dipejam rapat. Sungguh dia malu. Isterinya pula masih tidak berhenti ketawa. Mata di buka kembali selepas dia sedar, ini kali pertama dia dengar Faradhiya ketawa. Sekali lagi aturan jantung Ghaz Ukasyah lari apabila dia nampak pemandangan di hadapannya.
Cantik.
****************
Pemandangan langit malam yang dihiasi taburan bintang menjadi makanan matanya. Angin malam lembut menampar tubuhnya yang sedang duduk di balkoni, menunggu isteri bersiap untuk turun ke bawah untuk BBQ bersama kedua keluarga mereka. Minda Ghaz Ukasyah menerawang jauh, teringatkan perbualannya dengan walid pagi tadi.
Tan Sri Faizal mengambil duduk di sofa yang bertentangan dengan Ghaz Ukasyah. Sesudah dia Subuh tadi, loceng biliknya berbunyi. Tan Sri Faizal yang menunggu di muka pintu.
"Tan Sri nak air ke?" soal Ghaz Ukasyah kekok. Risau pula dia lihat bakal bapa mertuanya tiba-tiba datang mencarinya.
"Tak payah, Ghaz. Kamu ni nak panggil Tan Sri lagi ke? Walid saja sudah la." mendengar teguran itu, Ghaz hanya mengangguk. Sudah banyak kali dia ditegur sebegitu, namun dia yang asyik tersasul. Tidak biasa.
Manalah tidak, bakal bapa mertuanya ini orang yang sangat hebat dalam perniagaan. Anak sulung Tan Sri Fadhil yang berjaya membawa legasi yang ditinggalkan malah Equil menjadi lebih besar dan kukuh di bawah naungannya. Lelaki yang teguh dengan keputusannya walaupun ramai yang mempersoal dan membantah keputusannya kerana memilih Faradhiya sebagai pewaris Equil dan bukan anak lelakinya atau anak saudara lelaki.
"Walid ada benda sikit nak cakap dengan kamu," Makin kuat debar jantungnya. Takut jika bakal bapa mertuanya ubah fikiran dan batalkan semuanya. Dia kemudian istighfar dalam hati bila terlalu jauh fikirannya pergi.
"Dalam beberapa jam lagi, walid akan lepaskan satu-satunya anak perempuan walid kepada kamu. Jadi walid nak kamu ingat beberapa benda ni." Amat dalam renungan yang diberikan walid kepadanya.
"InsyaAllah walid."
"Pertama, walid serahkan dia kepada kamu sebab walid percaya kamu lelaki yang baik. Baik agamanya, baik akhlaknya. Jadi walid harap kamu dapat bimbing dan lindung Faradhiya dengan sebaik dan selembutnya. Bila dia buat silap, tegur dengan baik. Bila dia emosi, hadapi dia dengan sabar. Kedua, Faradhiya dah biasa sendiri, jadi kamu perlu sabar tunggu dia buka ruang untuk kamu. Ada masa dia mungkin lupa yang dia sekarang dah bersuami, jadi ada keputusan yang dia perlu bincang dengan kamu. Waktu tu walid harap kamu ingatkan dia tanpa mengambil hati. Faradhiya tu, masalah besar pun dia tak bincang dengan walid. Walid sendiri pun tak boleh tahu semua sakit, susah dia." Aduan walid di hujung pesanan itu buat Ghaz Ukasyah tersenyum kecil. Dia perlu ingat semua ini, supaya dia tidak terlalu buntu nanti.
"Terakhir sekali, walid minta dengan kamu. Kalau satu hari nanti, kamu sudah tidak ada kasih dan cinta kepada dia. Jika menjaga dia menjadi satu beban yang berat bagi kamu, jangan kasari dia dan jangan lakukan sesuatu yang memalukan dia. Serahkan dia semula kepada walid dengan cara yang elok. Sebagaimana walid serahkan dia kepada kamu, pulangkan dia dengan cara yang betul. Tapi walid harap sangat, kepercayaan walid dan kepercayaan Faradhiya tak salah. Walid harap Ghaz lelaki yang tepat untuk Faradhiya."
Ketukan di pintu gelangsar mematikan memori pagi tadi. Pesanan walid kepadanya yang terisi berat. Tanggungjawabnya sebagai suami. Walid juga mengingatkannya supaya sesibuk mana pun mereka berdua, pastikan mereka makan bersama setiap hari walaupun cuma sekali.
Faradhiya yang sudah siap bertudung selendang biru cair dan abaya dengan warna yang sama berdiri di tepi pintu gelangsar. Cantik.
"Jom awak, saya dah siap." Ajak isterinya. Mereka perlu turun sekarang, tidak mahu lewat ke jamuan BBQ yang dibuat untuk meraikan mereka.
"Jom."
a/n: Jangan lupa tekan bintang dan komen. See you next week!

ANDA SEDANG MEMBACA
Temu
RomanceCerita ini menyelami rasa seorang Nur Faradhiya, wanita yang dianggap sempurna dan lengkap dengan segalanya. Pendidikan, harta, kerjaya, dan pencapaian. Namun, Faradhiya juga adalah antara wanita yang tertipu dengan janji lelaki. Pengkhianatan yang...