Sudah lebih dua minggu berlalu. Masa hanya berbaki 5 hari sahaja lagi sebelum tarikh yang dijanjikan tiba. Namun, Faradhiya belum menemui jawapan. Mungkin kerana dia selalu mengelak untuk berfikir tentang ini dan menyibukkan diri dengan urusan kerja. Jadi dia ke sini hari ini, sebuah tasik yang berhampiran dengan kawasan perumahannya.
Usai sahaja waktu kerja hakiki, dia terus memandu ke sini. Mencari jawapan atau lebih tepat lagi cara yang lembut dan sopan untuk menolak pinangan. Jika dia salah cara, boleh jadi usahasama antara Equil dan Armada gagal, maka dia perlu menjawab lagi dengan ahli lembaga pengarah. Bagaimana dia tidak pandai mengambil peluang, tidak mengutamakan syarikat, dan terlalu ikut emosi. Semua hanya kerana lelaki.
"Assalamualaikum." sapa satu suara perlahan mematikan lamunan Faradhiya yang sedang duduk diam di bangku. Mata terus menghala ke kanan mencari pemilik suara yang menyapa, Ghaz Ukasyah. Lelaki itu berpakaian t-shirt lengan pendek tanpa kolar dan seluar panjang. Tshirt yang sedikit basah dengan peluh, dan kasut sukan. Jelas yang lelaki itu ke sini untuk bersenam. Jadi tidak perlu Faradhiya bertanya soalan yang sudah dia tahu jawapannya.
"Waalaikumussalam." jawab Faradhiya pendek. Pandangan dihala semula ke arah tasik, permukaan air yang memantulkan awan dan langit. Dia sedang memikirkan apa yang dia perlu buat sekarang, kekal di sini atau balik rumah. Bunyi ranting patah menganggu tumpuannya. Ghaz Ukasyah duduk di atas rumput di hadapan bangkunya, membelakangkan dia.
"Kenapa Tuan Ghaz pinang saya?" soal Faradhiya selepas tidak selesa dengan sunyi yang menyelubungi mereka. Dia tidak tahu mengapa dia menyoal lelaki itu, sepatutnya dia terus menyuarakan penolakan tapi lain pula yang keluar dari mulutnya. Riak wajah lelaki itu tidak dapat dilihat jadi dia tidak tahu reaksi lelaki yang sedang duduk tenang di hadapannya.
Faradhiya bukanlah tidak tahu yang lelaki itu sukakannya. Dia sedar cara pandang Ghaz Ukasyah. Dia juga sedar tentang usaha Ghaz Ukasyah yang cuba untuk berkenalan dengannya. Cuma Faradhiya pelik dengan keputusan lelaki itu yang tiba-tiba. Mereka selama ini tidak pernah kenal rapat atau lama. Makanan kegemarannya juga Ghaz tidak tahu.
"Saya tanya papa. Saya tanya, papa apa yang saya perlu buat kalau saya asyik teringat dengan seorang yang haram bagi saya. Saya tidak boleh lepas pandang kalau saya nampak wajahnya, saya mahu dekat dengan dia sedangkan saya tahu hukum tapi wanita itu buat saya lupa. Papa suruh saya kahwini perempuan itu. Saya istikharah dan buat keputusan." Panjang lebar jawapan Ghaz Ukasyah. Terlihat jari-jari lelaki itu mencarik-carik rumput berdekatan.
"Walaupun Tuan tak pernah kenal saya? Betul-betul kenal saya." soal Faradhiya lagi. Pelik dengan lelaki di hadapannya yang seolah tidak peduli baik buruk Faradhiya.
"Saya boleh mula berkenalan dengan Faradhiya dengan lebih dalam lepas Faradhiya terima saya. Sekarang, apa yang saya tahu sudah cukup bagi saya. Faradhiya beragama, dan Faradhiya pandai menjaga adab dan maruah. Keturunan Faradhiya baik-baik. Mama dan papa juga suka dengan peribadi awak. Semua ini sudah cukup bagi saya." Terlalu mudah alasan Ghaz Ukasyah. Otak Faradhiya agak terkejut untuk menghadam cara pemikiran yang ringkas ini.
"Kalau saya terima Tuan, dan Tuan tidak boleh terima buruk saya? Tuan akan buat apa?" pantas soalan itu keluar dari mulut Faradhiya. Ingin mencabar emosi lelaki yang kelihatan terlalu tenang itu.
"Bila saya buat keputusan untuk meminang Faradhiya. Maksudnya saya sudah bersedia untuk menikahi Faradhiya. Perkahwinan itu bagi saya adalah untuk saling memperbaiki. Baiki agama, amalan, dan adab. Saya yakin saya boleh jadi suami yang baik, yang boleh menasihati dan memimpin. Baik Faradhiya saya akan suka, buruk Faradhiya akan saya terima dan baiki." Berkerut dahi Faradhiya. Hairan. Lelaki ini seperti sudah ada skema jawapan untuk setiap soalannya.
Ghaz Ukasyah seperti terlalu yakin yang Faradhiya ini wanita sempurna. Mudah untuk dibimbing, mudah untuk disayangi, dan dicintai. Tersedar dengan hal itu, Faradhiya tersenyum kecil. Faradhiya harus menyedarkan Ghaz Ukasyah.
"Saya tak rasa saya mampu menyayangi dan mencintai orang lain lagi. Jadi Tuan Ghaz dah boleh bersedia untuk penolakan saya. Tak ada lelaki mahu menikahi perempuan yang tidak ada perasaan kasih sayang dan cinta. Saya tahu aib sendiri tak boleh dibuka tapi saya rasa awak masih perlu tahu." Faradhiya melihat pergerakan tangan Ghaz Ukasyah yang sedari tadi mengoyak rumput terhenti bila mendengar ayat terakhirnya.
"Faradhiya." Lembut namanya dipanggil. Cuba menghalang Faradhiya dari mengeluarkan kata-kata yang hanya akan menyakitkan hati Faradhiya sendiri.
"Saya sedang dihukum." Sampuk Faradhiya tajam. Nafas dihela. Mata tajam memandang tasik dihadapannya, cuba untuk tidak menghiraukan pandangan dari lelaki itu yang sudah menoleh memandangnya.
"Saya sedang dihukum di atas dosa saya yang dahulu. Saya telah mencintai seorang yang haram bagi saya dengan sepenuh hati saya, seorang lelaki asing yang tidak halal buat saya. Saya meletakkan lelaki itu sebagai keutamaan saya sedangkan dia bukan suami saya. Saya melampaui batas dengan membenarkan diri saya mencintai mahkluk Allah yang haram bagi saya. Saya membenarkan hati saya dipenuhi dengan titik hitam hanya kerana manisnya haram. Saya lupa hukum, saya lalai. Jadi saya sedang dihukum." Setiap kata yang terkeluar adalah hukuman untuk Faradhiya sendiri. Dia sendiri sudah terima, apa yang berlaku merupakan sebuah hukuman untuknya. Jadi dia hanya perlu tenang menerima semuanya.
"Saya dimalukan. Semua tahu tentang apa yang berlaku. Maruah saya diejek. Apa yang saya capai semua dibuang tepi. Hati saya kini tidak tahu cara untuk mempercayai manusia lagi. Saya akan ragu-ragu dengan setiap kata dan janji yang diberi. Saya akan sentiasa anggap orang mudah untuk tinggalkan saya untuk yang lain. Saya takkan pernah rasa cukup untuk buat orang lain bahagia. Saya tak akan pernah cukup untuk membuat orang kekal di samping saya. Saya takkan pernah rasa cukup. Setiap kali saya rasa bahagia, saya pasti menganggap ia takkan kekal lama. Saya tidak lagi percaya saya ini boleh disayangi dan dicintai." Tekak Faradhiya rasa seperi terisi dengam batu kerikil, keras dan tajam. Esakan cuba ditahan. Ini kali pertama dia menzahirkan perkara yang selama ini disimpan di hati sahaja. Kepercayaan yang bahawa dia sedang dihukum.
"Allah sedang melindungi awak Faradhiya." balas Ghaz Ukasyah tenang dengan segaris senyum kecil mematikan hujah Faradhiya.
"Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Manusia melakukan dosa, kemudian mereka berpaling semula kepada Allah. Satu langkah, dua langkah, tiga langkah dan Allah sentiasa menerima taubat hambaNya kerana Allah Maha Pengampun, Faradhiya. Allah menyayangi hambaNya. Rahmat dan kasih Allah itu luas. Awak juga perlu ingat siapa pemegang hati kita Faradhiya. Bagaimana awak boleh yakin yang hati awak sudah tidak ada lagi rasa? Awak yakin ini hukuman dari Allah? Atau hukuman dari awak untuk diri sendiri?" terkedu Faradhiya mendengar hujah Ghaz, laju Faradhiya menoleh pandang ke arah lelaki itu. Apabila dua mata bertemu, pandangan dilarikan semula. Ghaz Ukasyah mengangkat punggung untuk berdiri. Badan dipusing menghadap Faradhiya yang kini hanya menunduk.
"Allah sedang melindungi awak dengan menjaga hati awak supaya tidak lagi menyayangi dan mencintai selain yang halal bagi awak. Jangan bersangka buruk dengan Allah. Setiap yang berlaku, tidak kira manis atau pahit. Semuanya telah kita persetujui sendiri. Maka bersangka baiklah dengan Allah, Faradhiya. Berputus asa dengan takdir dan rahmat Allah itu satu dosa. Putus asa itu seperti menunjukkan yang kita sebagai hamba tak percaya dengan kekuasaan dan rahmat Allah. Tidak mungkin Dia membawa awak sejauh ini, hanya untuk membiarkan awak. Saya pergi dulu. Assalamualaikum." Ghaz Ukasyah berlalu pergi meninggalkan Faradhiya yang kini dirundung dengan lebih banyak persoalan.

ANDA SEDANG MEMBACA
Temu
Lãng mạnCerita ini menyelami rasa seorang Nur Faradhiya, wanita yang dianggap sempurna dan lengkap dengan segalanya. Pendidikan, harta, kerjaya, dan pencapaian. Namun, Faradhiya juga adalah antara wanita yang tertipu dengan janji lelaki. Pengkhianatan yang...