2020
Cepat pula masalah baru datang. Dua minggu dia bertungkus lumus. Bersungguh bekerja untuk syarikat, memastikan usahasama syarikatnya dan syarikat Gilang milik Tengku Kamal akan terus berjalan lancar, dia bersungguh bekerja untuk menyimpan rahsia supaya maruahnya tidak tercalar, dan bersungguh untuk menahan emosi.
Sekarang Faradhiya sedang bersungguh menahan diri dari menjerit dan menghantukkan kepala lelaki dihadapannya ini kepada dinding pejabatnya. Dinding kaca pejabatnya sudah dikaburkan sebaik sahaja lelaki ini masuk ke pejabatnya. Tidak mahu pekerjanya tahu apa yang akan berlaku dalam bilik ini.
Dua minggu selepas makan malam yang memutuskan pertunangan mereka, Tengku Adrian hadir seorang tanpa sebarang temujanji. Pagi lagi sudah terpacak di hadapan pejabatnya. Aida hanya mampu tunduk berkali-kali memohon maaf kerana tidak dapat menahan lelaki itu. Demi menjaga air muka dia menjemput juga lelaki ini ke dalam.
"Dhiya, saya nak minta maaf-" baru hendak memulakan ayat percakapan Adrian terus dipotong dengan layangan sebiji kalkulator hampir mengenai kepalanya. Kedengaran bunyi dentingan plastik berat berlanggaran dengan dinding kaca tebal. Kuat.
Faradhiya menarik nafas dalam, mengumpul ketenangan. Sikit saja lagi nak kena. Sayang betul. Tidak mengapa, dia akan cuba lagi selepas ini.
"Saya tak perlu dengar." muka selamba ditunjukkan bersama oktaf senada. Matanya tajam memandang wajah seorang Tengku Adrian.
"Saya tak nak dengar. Awak dah tahu apa yang awak buat adalah salah. Tiada yang silap atau tidak sengaja. Semua bermula dari otak, awak fikir, awak buat keputusan, kemudian awak putuskan untuk menzahirkan melalui perbuatan. Awak ada banyak peluang untuk ubah keputusan tapi awak pilih apa yang awak mahu pilih. Jadi tak perlu minta maaf. Saya hanyalah kesan sampingan, satu pengorbanan kecil yang awak perlu buat dalam keputusan awak untuk memilih bahagia awak." lancar sahaja segala perkataan keluar dari mulutnya. Mata memerhati lelaki yang hanya diam menunduk. Pengecut.
Hari ini Faradhiya akan menghamburkan segala rasa. Semua yang dibuku dan disimpan sejak dia tahu semuanya dua minggu lalu akan dia lepaskan harini ini. Dia tidak mahu lagi berhadapan dengan lelaki ini selepas ini. Tidak mahu lagi melihat muka yang menunjukkan rasa bersalah dan sedih atas apa yang berlaku. Menggelegak pula hatinya apabila teringat tingkah lelaki di hadapannya ini. Kenapalah dia hanya ada satu kalkulator?
Tidak tahu malukah Adrian? Datang bersemuka dan menunjukkan rasa sedih. Sedangkan dia yang curang. Bukan Faradhiya.
"Mudahkan? Buat salah, minta maaf. Merayu, mengaku menyesal. Betul ke awak menyesal Adrian? Bukankah awak dah dapat apa yang awak mahu selama ini? Isteri, anak, keluarga. Isteri yang sangat, sangat dicintai. Besarnya cinta itu hingga sanggup berdiri dan berseronok di atas kesakitan orang lain. Lupa diri, lupa janji. Lupa yang dulu siapa yang mengemis dan merayu untuk diberi peluang dan ruang. Lupa dulu yang bersungguh mengaku cinta itu awak, bukan saya. Jadi kenapa..." putus ayatnya menahan tangis.
"Kenapa akhirnya saya seorang yang menanggung sakit? Bukan saya yang terkejar-kejar, bukan saya yang bersungguh merayu meminta peluang. Bukan saya yang memohan untuk diberi ruang merasa cinta. Bukan saya dahulu yang mengemis demi cinta. Jadi kenapa sekarang saya seorang yang sakit? Silap saya kerana memberi peluang? Lemah bila asyik mendengar pujuk rayu. Percaya sungguh dengan semua janji yang awak beri. Saya dulu yang awak mahu, yang awak kejar. Saya dulu yang awak mengaku cinta. Saya dulu yang awak janji bakal dijadikan isteri. Saya dulu yang awak perkenalkan sebagai bakal isteri di depan umum. Jadi sekarang mengapa saya seorang yang menanggung malu? Menanggung rasa? Kenapa saya seorang yang perlu menanggung siksa sakit sedangkan awak boleh hidup dengan segala yang awak pernah mahu dengan saya?!" esak kecil kedengaran.
YOU ARE READING
Temu
RomanceCerita ini menyelami rasa seorang Nur Faradhiya, wanita yang dianggap sempurna dan lengkap dengan segalanya. Pendidikan, harta, kerjaya, dan pencapaian. Namun, Faradhiya juga adalah antara wanita yang tertipu dengan janji lelaki. Pengkhianatan yang...