Jam menunjukkan pukul 6.30 petang. Faradhiya terbaring di sofa panjang yang terletak di dalam pejabatnya. Nafas berat dihela kerana kepenatan. Dahi yang berdenyut diurut perlahan.
Sakit kepalanya memikiran bagaimana hal pertunangannya boleh dibocorkan ke wartawan. Akibatnya pemegang saham dan ahli lembaga pengarah juga sudah tahu kerana dihubungi oleh wartawan. Kepalanya terngiang bila teringatkan kekecohan sewaktu mesyuarat dengan ahli lemabaga pengarah tadi. Biasanya dia tidak hiraukan sindiran dari lelaki-lelaki tua di dalam bilik ini namun dia tiada kesabaran itu hari ini.
Semua menghentam keputusan dia. Keputusan yang dikatakan mementingkan diri sendiri, terburu-buru dan kebudak-budakan. Ada juga yang mempersoalkan masa hadapannya, bagaimana dia akan menerajui syarikat jika masalah kecil begini pun Faradhiya tidak mampu hadapi? Bertubi-tubi tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.
Bagi mereka, ini masalah kecil.
"Kenapa ni Cik Faradhiya? Takkan sebab benda-benda kecil nak putus? Pertunangan ni bukan antara Cik dan Tengku Adrian sahaja tetapi antara Equil Group dan Gilang Holdings. Boleh retak reputasi kita kalau usahasama dihentikan. Pemegang saham mesti akan pertikaikan keputusan Cik. Cik tak boleh buat keputusan terburu-buru."
"Inilah budak-budak sekarang, bergaduh sikit nak putus. Buat keputusan pentingkan diri sendiri." Ahli lembaga pengarah yang masuk mesyuarat secara atas talian juga tidak mahu ketinggalan dalam menghentam keputusan Faradhiya.
"Telefon saya dari tadi tak berhenti dapat call dari media. Macam mana saya nak jawab ni? Takkan macam ni saja usahasama kita berakhir?"
"Bagi saya peluang untuk bercakap. Kalau tuan-tuan saja yang bercakap macam mana soalan tuan-tuan saya nak jawab. Diam." Sepi bilik mesyuarat itu selepas mendengar nada keras Faradhiya. Anggukan dari walid menyuntik sedikit semangat dan kekuatan dalam dirinya. Dia sudah berpesan pada walid supaya tidak masuk campur ketika dia disoal ahli lembaga pengarah. Dia mahu menyelesaikan sendiri masalahnya.
"Ya. Pertunangan antara saya dan Tengku Adrian telah putus. Ianya adalah satu keputusan yang dipersetujui oleh saya dan Tengku Adrian. Keluarga juga maklum dan setuju. Ini bermaksud Tan Sri Faizal dan Tengku Kamal juga maklum dan bersetuju. Tiada persoalan tentang sebab putus akan dijawab. Seminggu dari sekarang, pengumuman kepada media tentang hal ini akan dikeluarkan. Jadi jangan beri apa-apa jawapan pada media selagi belum sampai tarikh tersebut." jeda. Matanya meliar keseluruh bilik mesyuarat untuk memastikan semua orang memberi tumpuan.
"Tidak. Usahasama tidak akan dihentikan. Kita akan teruskan usahasama dengan Gilang Holding. Tiada projek akan dihentikan atau dibatalkan. Semuanya berjalan seperti biasa. Yang putusnya saya dan Tengku Adrian, bukan Equil dan Gilang. Itu semua dah menjawab soalan tuan-tuan semua ke? Atau masih ada yang nak pertikaikan keputusan budak-budak saya ni?" Sindiran Faradhiya menyebabkan semua yang di dalam bilik itu terdiam. Kelihatan walid yang berada di kepala meja, tersenyum kecil mendengar penjelasan dari Faradhiya yang berjaya mendiamkan semua di dalam bilik mesyuarat itu. Bangga.
"Cik? Cik dinner di office ke di rumah?" perlahan sahaja Aida menyoal. Tidak mahu majikannya yang kelihatan sedang tenang berehat itu terkejut. Kesian majikannya, diserang dengan soalan oleh pelbagai pihak sejak seminggu lalu. Hari ini kenyataan pada media juga telah dikeluarkan. Selesai pengumuman tentang status ikatan pertunangan Faradhiya dan Tengku Adrian.
"Di office Aida. Ada lagi dokumen yang saya belum habis baca." mata Faradhiya masih tertutup. Sungguh dia penat.
"Baik, Cik. Sandwich okey ke?" sebaik sahaja dia melihat anggukan dari Faradhiya laju tangannya menaip di telefon untuk memesan makanan dan melangkah keluar.
Laju mata Faradhiya membaca dokumen di mejanya. Mulutnya juga mengunyah sandwich di tangan yang dihantar oleh Aida. Sandwich tuna beserta sayur salad, tomato dan bawang yang diapit roti putih yang rangup. Kegemaran Faradhiya. Baca, gigit, kunyah, dan tandatangan. Aksi itu diulang sehingga semua dokumen siap di tandatangan. Keluhan kasar dilepaskan sebaik sahaja semua dokumen tersusun elok.
Kerusinya dipusing menghadap dinding kaca pejabatnya yang menghadap pemandangan kota. Pemandangan malam ibu kota diamati. Lampu-lampu menara yang berkelip-kelip. Langit malam yang pekat. Bunyi hon kenderaan yang masih sesak di atas jalan, sayup kedengaran di telinganya yang berada di tingkat 30 bangunan. Bising. Rimas.
Setitik, dua titik air mata jatuh. Lama kelamaan esakan kecil dapat kedengaran. Faradhiya tewas lagi dengan emosinya. Kenapa bising sangat? Susah sangatkah untuk dia mendapat sedikit ketenangan? Tidak diganggu dengan bunyian yang bingit, lampu yang menjengkelkan dan segala jenis macam fikiran yang menghimpit otaknya. Muka dibawa ke lutut, melipat badannya cuba mengecilkan diri kerana itu yang dia mahu sekarang ini. Dia mahu menjadi kecil sehingga tiada siapa akan nampak kewujudan dirinya. Biar hilang.
'Sakitnya ya Allah.' Tidak pernah dia rasa sesakit ini sepanjang 27 tahun hidupnya.
Dirinya terasa lemas. Mana sahaja dia pandang, teringat memori yang berbekas. Di mana sahaja di kota ini yang tidak ada memori dia dengan Adrian. Adrian yang bawa dia cuba kafe baru, keluar tengok langit malam, dan bawa dia ke tempat-tempat baru untuk diterokai bersama. Hanya di sini sahaja tempat mereka sempat untuk luang masa bersama. Sekarang setiap kali dia nampak atau lalu tempat-tempat tersebut, dia rasa macam mahu meraung. Rasa berat yang menekan dada, hendak bernafas pun rasa tercungap. Udara yang dihirup terasa pahit dan berat.
Terngiang kata-kata manis yang pernah lancar keluar dari mulut Adrian.
"Ad janji, lepas kita kahwin Ad bawa awak jalan-jalan pulau. Ad tahu awak mesti bosan asyik tengok bangunan."
"Saya betul-betul ikhlas mahukan awak. Bukan sebab syarikat atau sebab lain yang awak fikirkan. Saya rasa kalau saya dapat awak, ianya akan menjadi pencapaian terbesar dalam hidup awak."
"Punyalah susah saya nak dapat awak, tak mungkin saya akan siakan."
"Awak jaga diri, jaga hati ya. Saya pergi tak lama, 6 bulan saja."
"Saya sayang awak Faradhiya."
"Faradhiya..." usapan di bahu membuat dia mengangkat mukanya. Hilang suara Adrian dari kepalanya, yang kelihatan hanyalah walid dengan raut wajah risau.
"Walid..." terus muka disembam ke dada walidnya. Dia terus menangis dan menangis. Risau Tan Sri Faizal dengan keadaan anaknya itu. Sudah seminggu Faradhiya pulang lewat ke rumah. Telefon tak berangkat. Hari ini dia sendiri datang ke pejabat kerana jam sudah 10.30 malam dan anak perempuannya masih belum tiba di rumah.
Dia sudah menyatakan kepada anaknya bahawa dia boleh menggantikan anaknya seminggu dua ini. Tetapi Faradhiya tegas mengatakan dia perlu pergi bekerja. Menolak untuk berehat dan menenangkan diri.
"Dhiya penat walid." akhirnya keluar juga pengakuan itu dari mulut puterinya. Menggosok lembut belakang anaknya, cuba untuk menyalurkan kekuatan. Lega Tan Sri Faizal. Akhirnya anak yang selalu memendam rasa ini, mahu meluahkan rasa juga. Dia amat risau melihat perlakuan puterinya sejak kejadian itu berlaku. Faradhiya meneruskan hidup seperti tidak apa-apa walaupun dia sebagai bapa tahu yang anaknya itu sedang menanggung sakit.
"Dhiya nak pergi jauh walid, Dhiya tak nak duduk sini, Dhiya lemas." pintanya kepada walid. Sungguh dia rasa lemas hingga dia merasakan jika dia terus di sini, dia mungkin akan terus tenggelam dengan semua memori yang akan terus menyakiti.
"Walid hantar Dhiya pergi nanti. Walid hantar."
Ya Allah, angkat kesakitan puteriku.
a/n: I really think that Suatu Pernah-Fynn Jamal captures how Faradhiya feels.
YOU ARE READING
Temu
RomanceCerita ini menyelami rasa seorang Nur Faradhiya, wanita yang dianggap sempurna dan lengkap dengan segalanya. Pendidikan, harta, kerjaya, dan pencapaian. Namun, Faradhiya juga adalah antara wanita yang tertipu dengan janji lelaki. Pengkhianatan yang...