Suasana di dalam wad itu sunyi sepi setelah Thaqeef dan Farah beredar. Mark dan Airis masih merenung antara satu sama lain. Mark perasan yang mata Airis sedikit merah dan bengkak. Dia mula rasa curiga.
"Awak... menangis ke?" dia menyoal Airis. Nada suaranya perlahan.
"Awak rasa?" Airis menyoalnya kembali. Mark terdiam.
"Awak tak jawab pun soalan saya tadi..." Airis berkata lagi. Dia mula berjalan perlahan menghampiri katil Mark.
Mark menghembus nafas perlahan. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Saat dia pandang semula wajah Airis, kelihatan ada air jernih yang mengalir di pipi mulus gadis tersebut. Mark terkedu seketika.
"Hey...what's wrong? Kenapa menangis ni?" Mark mula kalut. Hendak berdiri dia masih tak mampu. Sudahnya dia hanya mampu memandang Airis dengan pandangan yang jelas kerisauan.
"Awak cedera...sebab saya kan? Benda ni jadi dekat awak sebab awak kenal saya...kan? Nyawa awak nyaris melayang disebabkan saya kan?" Airis menyoal bertubi-tubi sambil mengesat air matanya dengan tapak tangan. Dia tak sangka ini yang cuba disampaikan oleh lelaki yang menelefonnya semalam. Mark ditikam! Dan semua ini disebabkan dia!
Mark membungkam. Sekali lagi nafas ditarik dan dihembus perlahan. Matanya lunak memandang Airis.
"Sebab ni la saya tak nak awak tahu pasal benda ni. Because I know you will blamed yourself. Awak akan pikul rasa bersalah tu atas bahu awak. Awak akan letak rasa tanggungjawab atas apa yang terjadi ni, pada diri awak. Dan benda tu lah yang paling saya tak nak awak buat Airis..."terang Mark panjang lebar. Matanya tak lepas memandang Airis.
"Tapi Mark...kalau saya tak sembunyi dalam rumah awak, kalau saya tak minta pertolongan awak, kalau saya tak libatkan awak dalam masalah saya...kalau saya tak muncul dalam hidup awak, semua ni takkan terjadi kan?" Airis terus menyoal. Matanya yang berair memandang tepat ke wajah Mark.
Mark mengeluh perlahan. Entah kenapa hatinya rasa sakit mendengar kata-kata Airis itu.
"Airis. Dengar apa yang saya nak cakapkan ni" Dia menarik nafas sebelum menyambung. "Kalau...perkataan ni, menunjukkan seolah-olah awak cuba menolak qada' dan qadar. Dengan perkataan 'kalau' yang awak gunakan tadi, seolah-olah awak tak redha dengan semua yang berlaku" Dia merenung gadis di hadapannya itu. Kelihatan Airis sedikit tersentak mendengar kata-katanya tadi. Selepas beberapa saat dia kembali menyambung bicara.
"Awak, setiap yang berlaku dalam hidup kita ni, semuanya dah ditentukan sejak azali lagi. Kita ni... cuma hamba yang lemah. Kita boleh merancang segalanya, namun sehebat mana pun rancangan kita, rancangan Dia lebih berganda hebat. Hanya Dia yang mampu menentukan segalanya. Dan kita, sebagai hamba harus sentiasa redha" lembut Mark memberi nasihat.
Tersentap hati Airis mendengar bait-bait nasihat dari Mark itu. Pantas dia beristighfar dalam hati. Ya Allah...ampunkan aku yang lalai dalam mengingatiMu, suara hatinya berbisik sayu.
"Airis, lepas ni please... jangan cakap macam tu lagi, sebab saya rasa... macam awak menyesal kenal dengan saya" sayu Mark bersuara. Dia tak tahu kenapa dia beremosi apabila mendengar kata-kata Airis tadi.
Mendengar bicara Mark, Airis menarik kerusi di sisi katil Mark lalu duduk. Dia menatap sepasang mata hazel milik Mark dalam-dalam. Air matanya sudah berhenti mengalir walaupun masih ada yang tersisa di tubir mata.
"Mark...saya minta maaf, saya tak tahu apa yang merasuk saya tadi sampai sanggup cakap macam tu. Saya tak pernah menyesal kenal awak. Saya sayang hubungan kita ni" ucap Airis perlahan, cuba memujuk. Dia tahu Mark terasa dengan apa yang dia ucapkan tadi. Perlahan-lahan dia lihat bibir Mark menguntum senyum. Dia lega.
"Hubungan je awak sayang? Saya?" tiba-tiba Mark menyoal. Terus merah padam muka Airis dibuatnya. Tertunduk gadis itu merenung lantai. Biar betul mamat ni, tiba-tiba tanya soalan maut macam tu, monolog Airis dalam hati.
Mark ketawa kecil melihat muka Airis yang memerah. Sebenarnya dia hanya berfikir soalan itu di dalam kepala, tapi tanpa sedar soalan tersebut terluah di bibir. Dia pun malu sebenarnya tapi dia bijak mengawal riak wajah agar tidak nampak ketara.
Suasana janggal buat seketika. Mark mengurut belakang tengkuknya, cuba mengurangkan rasa gugup. Beberapa saat kemudian dia bersuara.
"Saya gurau je lah...saja nak buat awak ceria balik. Asyik menangis je...lama-lama jadi minah cengeng pulak, susah saya"
Kata-katanya hanya dibalas dengan jelingan tajam oleh Airis. Dia hanya ketawa melihat reaksi Airis itu. Namun sesaat kemudian dia mengaduh. Perutnya terasa sakit. Tu lah, gelak tak ingat dunia, monolognya pada diri sendiri.
"Ehh, awak okay tak ni?" tanya Airis kalut. Mark hanya menganggukkan kepalanya.
"Saya okay...cuma luka ni pedih sikit. Kesan ubat bius dah habis kot" balas Mark tenang. Dia bersandar ke belakang. Matanya dipejam seketika. Cuba meredakan rasa pedih yang mencucuk.
Airis tenung wajah Mark. Kelihatan dahi lelaki itu berkerut menahan sakit. Pipi kiri Mark juga kelihatan sedikit lebam. Dia mula rasa nak menangis. Dia langsung tidak menceritakan tentang panggilan yang diterimanya semalam kepada Mark. Dia tidak mahu menambah lagi beban lelaki itu. Hanya Farah yang tahu mengenai hal tersebut.
Selepas menerima pangilan tersebut, dia cuba menelefon Mark beberapa kali namun tidak berjawab. Dia kemudian menelefon Farah. Ketika itulah dia dapat tahu yang Mark ditikam.
"Sorry..." perlahan Airis bersuara. Sejujurnya, dia masih rasa bersalah atas apa yang terjadi kepada Mark.
Serta-merta Mark membuka matanya. Dia lihat Airis sedang merenung dengan mata yang berkaca. Dia lemparkan senyuman manis buat gadis itu.
"Nak mintak tolong boleh?" soal Mark tiba-tiba. Sengaja dia menukar topik, tidak mahu Airis terus-terusan tenggelam dalam lautan rasa bersalahnya.
"Awak nak saya tolong apa? Awak cakap je" Airis membalas pantas.
"Tolong panggilkan nurse boleh? Saya nak mintak painkiller..." Mark berkata sambil tersenyum, menampakkan barisan giginya yang putih. Salah satu tanda menunjukkan dia tidak merokok.
"Tu je? Makan ke... minum ke...tak nak? Kalau nak saya boleh pergi belikan" balas Airis. Mark hanya menggeleng. Airis mengangguk faham.
"Awak tunggu sekejap, saya pergi panggil nurse" kata Airis lantas berdiri dan beredar dari wad tersebut.
Melihat susuk tubuh Airis menghilang di sebalik pintu wad, fikiran Mark mula menerawang. Macam mana kalau mafia-mafia tu decide nak serang Airis masa aku tengah warded ni? Dengan luka yang entah berapa lama baru boleh sembuh, aku tak rasa aku dapat jaga dia macam sebelum-sebelum ni, dia bermonolog sendiri di dalam hati. Keluhan dilepaskan. Kerisauan mula merajai hati.
"Kena discuss dengan Thaqeef ni..." ujarnya perlahan.

ANDA SEDANG MEMBACA
PERTEMUAN ✅
RomanceAiris dan Mark. Dua insan yang berbeza latar belakang. Namun takdir menemukan mereka dalam satu tragedi yang tidak disangka-sangka. Tragedi yang mengubah hidup mereka 180 darjah. Nyawa menjadi taruhan. Ketenangan hidup mereka tergugat hanya kerana...