Jantungnya tidak berhenti berdegup kencang. Lariannya juga semakin laju. Peluh mula memenuhi seluruh wajah. Dia tidak tahu dimana hala tuju dirinya, dia tidak begitu peduli asalkan dia dapat melepaskan diri dari situasi genting yang dihadapinya saat ini.
Ya Allah, tolong aku..., rintihnya dalam hati.
Sedaya upaya dia cuba menahan air mata dari jatuh ke pipi. Dia harus kuat. Dia yakin masih ada harapan untuk dirinya. Dari jauh kedengaran suara pekikan yang menyuruhnya berhenti diselang-seli dengan derap tapak kaki berlari mengejar. Semua itu membuatkan lariannya semakin pantas.
Aku takkan mengalah!
Selepas berlari hampir lima minit di dalam lorong yang gelap, dia melihat samar-samar cahaya dari salah sebuah bangunan di kawasan tersebut. Tanpa diduga, pintu belakang bangunan tersebut terbuka dan seorang lelaki keluar sambil memegang bungkusan plastik hitam di tangan kanannya. Lelaki tersebut menuju ke tempat pembuangan sampah yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari situ. Tanpa berfikir panjang, dia terus masuk ke dalam bangunan tersebut melalui pintu yang sedia terbuka itu.
"Mana aku nak menyorok ni...?" dia berbicara sendiri sambil menggigit jari. Dia mula gelisah.
Dalam keadaan panik, dia terlihat sebuah bilik yang terbuka pintunya. Tanpa membuang masa dia terus masuk ke dalam bilik tersebut dan menyembunyikan diri di bawah katil. Nafasnya tercungap-cungap kerana berlari tanpa henti. Dalam keadaan diri yang lelah, dia masih dapat menangkap sayup-sayup bunyi pintu ditutup dan derap tapak kaki menuju ke arahnya. Sedaya upaya dia cuba menahan desah nafasnya daripada didengari.
Sunyi.
Tiada bunyi yang kedengaran.
Selepas hampir sepuluh minit berdiam diri di bawah katil, dia cuba mengumpul kekuatan untuk keluar dari tempat persembunyian. Perlahan-lahan dia keluar dari bawah katil dengan menjulurkan kepalanya melalui celah-celah tirai cadar. Tanpa diduga, matanya terus tertangkap sepasang mata berwarna hazel yang turut sama menatap wajahnya dari atas katil.
"Arghhh!!"
Kedengaran dua suara bersatu menghasilkan jeritan yang memecah kesunyian yang wujud beberapa minit sebelumnya. Masing-masing terpanar.
Suasana kembali sunyi.
Dia masih lagi kekal di bawah katil. Tergamam. Tidak berani untuk keluar. Beberapa saat kemudian, kedengaran derap tapak kaki menghala ke arahnya. Tidak semena-mena, tirai cadar katil yang menutupi tempat persembunyiannya diselak. Sepasang mata hazel yang dilihatnya sebentar tadi muncul kembali. Kelihatan seorang lelaki menunduk sambil memandangnya.
"Who are you?!" suara yang menyoal kedengaran begitu tegas dan dingin. Mata lelaki itu tajam menikam anak matanya. Dia gugup. Tidak mampu bersuara. Dia hanya merenung wajah bersih yang berada di hadapannya itu.
"Saya...saya" Shoot! Dia gagap.
Lelaki di hadapannya itu hanya mengangkat kening, menunggu jawapan darinya. Mata lelaki itu tidak lepas merenung tajam ke arahnya. Lelaki itu sudah bertinggung di hadapannya.
Dia menelan air liur yang terasa kesat di kerongkong. Aduhh, apa aku nak jawab ni? Otaknya ligat memikirkan alasan yang munasabah untuk menjawab soalan yang dilontarkan oleh lelaki di hadapannya ini.
"Well, nevermind. Just get out from there first will ya?" Senada lelaki itu melontarkan kata-kata sebelum kembali berdiri tegak.
"Huh?" Dia terpinga-pinga. Bingung seketika otaknya.
"Kenapa?" lelaki itu menyoal apabila tiada tanda-tanda yang menunjukkan dia akan keluar dari bawah katil tersebut.
"Awak memang suka duduk bawah katil ke? Ke memang hobi awak masuk bilik orang and then menyorok bawah katil dia?" sambung lelaki tersebut seakan menyindir.

ANDA SEDANG MEMBACA
PERTEMUAN ✅
RomantikAiris dan Mark. Dua insan yang berbeza latar belakang. Namun takdir menemukan mereka dalam satu tragedi yang tidak disangka-sangka. Tragedi yang mengubah hidup mereka 180 darjah. Nyawa menjadi taruhan. Ketenangan hidup mereka tergugat hanya kerana...