BAB 25

6.1K 345 1
                                    

Mark menyanyi kecil sambil memandu keretanya untuk pulang ke rumah. Dia tersenyum sendiri mengenangkan Airis.

"Gila la, aku dah angau ke ni?" dia berbicara sendiri lantas tergelak.

Sewaktu dia menurunkan sedikit suhu pendingin hawa, ekor matanya menangkap satu objek berwarna hitam di tempat letak kaki di bahagian penumpang hadapan.

Apa pulak tu, desis hatinya.

Dia memberi isyarat ke kiri dan keretanya diberhentikan di tepi jalan.

Objek tersebut dikutip dan diteliti.

"La...purse Airis rupanya. Macam mana boleh tercicir ni. Nasib baik tercicir dalam kereta, kalau tercicir tempat lain kan susah" Mark membebel sendiri sambil tersenyum kecil.

Dia membuat pusingan U dan menuju kembali ke arah rumah Airis. Hampir tujuh minit perjalanan, dia sampai di hadapan rumah Airis. Dia lihat lampu ruang tamu rumah Airis masih bernyala.

Mark keluar dari kereta. Telefon bimbit dikeluarkan dan nombor Airis didail. Selepas beberapa saat, dahinya berkerut. Panggilannya tidak dijawab. Dia mencuba sekali lagi. Hasilnya masih sama, tiada jawapan. Takkan dah tidur kot, monolognya dalam hati.

Mark mencuba sekali lagi. Selepas beberapa deringan, talian terputus. Pelik. Airis reject call dia? Mark mula rasa aneh. Dia meninjau dari luar pagar.

"Assalamualaikum...Airiss" dia melaung. Terpaksalah.

Tiba-tiba dia rasa tak sedap hati. Sekali lagi dia memanggil Airis namun langsung tiada tanda-tanda Airis akan keluar. Mark menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia cuba tolak pintu pagar rumah Airis. Tak berkunci. Dadanya semakin berdebar. Dia rasa seperti ada benda yang tidak kena.

Tanpa membuang masa, dia terus masuk ke halaman rumah Airis. Pintu hadapan rumah Airis diketuk beberapa kali. Tiada sahutan. Tombol pintu dipulas. Berkunci. Mark bingung.

Tiba-tiba, dia terdengar bunyi seperti perabot dilanggar. Seperti ada sesuatu yang berlaku di dalam rumah.

"Airis! Awak ada dekat dalam tak?" Mark memanggil sekali lagi. Pintu rumah diketuk berkali-kali. Dia yakin ada sesuatu yang terjadi kepada Airis. Tanpa berfikir panjang, Mark merempuh pintu tersebut berkali-kali. Selepas beberapa cubaan, akhirnya pintu tersebut terbuka.

Mark pantas melangkah masuk ke dalam rumah Airis. Dia terkejut melihat kaca berselerakan di atas lantai. Matanya meliar mencari Airis.

"Airis!" dia memanggil lagi.

Saat matanya terpandang meja kopi yang terletak di ruang tamu, dia terus terpaku. Badannya menggeletar. Tanpa membuang masa, Mark pantas berlari mendapatkan tubuh Airis yang terbaring longlai di atas lantai berhadapan meja kopi tersebut.

"Ya Allah Airis! Apa yang dah jadi ni..." dia berbisik sendiri. Tubuh Airis yang lemah dipangku dengan berhati-hati. Tangannya menggigil saat menyentuh kepala Airis yang cedera parah. Seluruh wajah Airis dibasahi darahnya sendiri. Gadis itu tidak sedarkan diri.

Dengan tangan yang menggeletar, Mark menelefon talian kecemasan. Selesai membuat panggilan, dia memeriksa keadaan Airis. Gadis itu masih bernafas namun setiap helaan nafasnya begitu lemah sekali.

Mata Mark mula bergenang. Sayu hatinya melihat keadaan Airis.

"Airis...bangun. Awak tak boleh tinggalkan saya...jangan buat saya macam ni Airis..." rintih Mark perlahan. Pelukannya pada tubuh Airis dieratkan, seolah-olah tidak mahu dilepaskan gadis itu pergi dari sisinya.

Beberapa minit kemudian, kedengaran bunyi siren ambulans dan polis berhenti di hadapan rumah Airis.


PERTEMUAN ✅Where stories live. Discover now