BAB 14

7K 387 0
                                    

Dalam perjalanan pulang selepas bertemu Thaqeef, Mark memutuskan untuk singgah ke galerinya. Masih ada kerja yang perlu dia selesaikan di sana. Waktu ketika itu menunjukkan pukul 10.07 minit malam. Nampaknya malam ini dia tidur di galeri lagi. Takpelah, balik rumah pun bukan ada orang, fikirnya.

Selepas memakirkan kereta di hadapan galeri, dia terus mencapai beg kameranya dan pintu kereta dikunci. Langkah kakinya dibawa menuju ke arah pintu masuk galeri. Kunci dikeluarkan. Tombol pintu dipulas. Kakinya melangkah masuk sambil tangan kanan meraba dinding untuk mencari suis lampu. Suis dipetik. Serta-merta ruang galeri yang tadi gelap-gelita menjadi terang.

Mark tergamam. Kakinya terpaku pada tempat dia berdiri. Kelihatan ruang galerinya yang selama ini tersusun rapi, kini berselerak. Susun atur perabot menjadi tunggang-langgang. Gambar-gambar pelanggannya habis digunting dan dikoyakkan. Fail-fail yang dia susun di atas rak habis bersepah. Bingkai-bingkai gambar pecah. Kaca berselerakan di atas lantai.

"Terkejut?"

Tak semena-mena ada suara yang menegurnya dari sebelah kiri. Dia pantas menoleh. Kelihatan lima orang lelaki memakai kot hitam sedang berdiri sambil tersengih mengejek memandangnya. Dia langsung tak perasan ada orang lain di dalam galeri itu. Mukanya merah menahan marah. Lelaki-lelaki tersebut yang kini berdiri di hadapannya direnung tajam.

"Wuishh...marah ke bro? Takutnya~" soal Han sambil tersenyum mengejek. Yang lain-lain hanya ketawa mendengar bicara ketua mereka.

Mark menggenggam penumbuk. Amarahnya cuba dikawal. Dia perlu tahu siapa mereka dan apa yang mereka mahu, walaupun dia sudah dapat mengagak sendiri jawapan kepada soalannya itu.

"Korang ni siapa? Masuk tempat orang tak bagi salam. Apa korang nak?" soal Mark dingin.

"Ehm...kau tak perlu tau la siapa kitorang. Tak penting pun. Yang penting ialah... kitorang datang sini untuk berseronok" balas Han lagi. Empat orang lelaki yang lain mula mengepung Mark. Masing-masing tersengih mengejek memandangnya.

Mark menjeling tajam lelaki-lelaki yang sedang mengepungnya. Mukanya kelihatan tenang. Langsung tidak menunjukkan riak gentar. Suasana sepi seketika.

Tiba-tiba salah seorang dari mereka yang berada di sebelah kiri Mark meluru ke arahnya sambil menghayunkan penumbuk. Dia pantas menangkap tangan lelaki tersebut menggunakan tangan kiri sebelum sempat penumbuk mengenai wajahnya. Tangan lelaki itu dikilas ke bawah lalu tangan kanannya menumbuk kuat pipi lelaki tersebut. Tak cukup dengan itu, perut lelaki itu turut dihentak menggunakan kepala lutut. Terduduk mengerekot lelaki itu sambil terbatuk-batuk. Bibirnya pecah. Terasa senak perutnya.

Seorang lelaki yang berkepala botak mula menyerang apabila melihat rakannya tumbang. Dia meluru ke arah Mark sebelum satu sepakan dilayangkan ke bahagian kanan tubuh Mark. Mark pantas menghalang menggunakan lengannya. Kaki lelaki itu dipegang dan ditolak kuat menyebabkan lelaki tersebut hilang imbangan dan terjatuh. Mark mengambil peluang menendang kepala lelaki itu menyebabkan dia terus terbaring. Berpinar-pinar kepalanya menerima tendangan tersebut.

Tak semena-mena leher Mark dicekik dari belakang. Ada lengan sasa yang menjalar di leher. Lelaki yang mencekik Mark mengetatkan lagi pautan pada lehernya, menyebabkan dia rasa sukar untuk bernafas. Dia cuba menarik lengan tersebut namun pautan lelaki itu terlalu kuat. Dia cuba bertenang. Nafas cuba ditarik perlahan memasuki rongga hidung. Dengan segala kekuatan yang ada, dia terus menyiku rusuk kanan lelaki itu. Pautan pada lehernya longgar. Tanpa membuang masa Mark terus mencengkam kuat kepala lelaki tersebut lalu tubuh lelaki itu dibanting ke lantai.

Lelaki tersebut menyeringai kesakitan. Pinggangnya rasa nak patah akibat dihentak ke lantai. Mark pula tercungap-cungap mengambil nafas. Peluh mula membasahi wajahnya. Pergerakan tadi menggunakan hampir kesemua tenaga yang dia ada. Dia mula rasa penat. Namun matanya tak pernah lepas dari memandang ke arah Han dan seorang lagi lelaki yang masih belum menyerangnya.

PERTEMUAN ✅Where stories live. Discover now