Keadaan di food court agak sesak dengan orang ramai. Masing-masing memilih untuk menikmati makan tengah hari di situ termasuklah Airis dan Qidran. Tadi sewaktu Airis sedang bersiap untuk keluar makan tengah hari, Qidran muncul di hadapan kedai buku. Mengajaknya makan tengah hari bersama.
"So, apa khabar Mark sekarang? Dah keluar wad or still warded?" Qidran memulakan perbualan.
"Dia dah keluar dah semalam. Doktor kata luka dia semakin sembuh, tak payah duduk wad dah... asalkan dia rehat dekat rumah" Airis membalas sambil menyedut sedikit air sirap limaunya.
"Baguslah" ujar Qidran. Dia menyuap nasi goreng tomyam ke dalam mulut. Dikunyah perlahan sambil matanya memandang Airis di hadapan yang leka menjamu selera. Nasi ditelan sebelum dia kembali bersuara.
"Awak dengan Mark tu ada apa-apa ke?" selamba dia menyoal.
Airis yang ketika itu sedang mengunyah nasi paprik tersedak mendengar soalan Qidran yang tiba-tiba itu. Pantas air sirap limau dicapai dan disedut rakus. Qidran pula hanya ketawa melihat reaksi Airis.
"Sorry, sorry. Tak sangka pula awak boleh tersedak dengar soalan saya tadi" kata Qidran di sebalik tawanya yang masih tersisa. Wajah Airis sudah berubah masam. Mamat ni memang nak kena, omelnya dalam hati.
Melihat Airis yang sudah sedikit tenang, dia kembali menyoal. "So...?" suaranya sengaja dileretkan.
Airis memandang Qidran beberapa saat.
"Saya dengan Mark kawan je la..." balasnya perlahan. Walaupun hatinya menginginkan lebih dari itu, namun dia masih sedar diri. Antara dia dengan Mark bagaikan pipit dengan enggang.
"Maknanya... saya masih ada peluang la ni?" Qidran menyoal. Airis terpinga-pinga.
"Peluang? Peluang apa?" soal Airis bingung. Qidran hanya tersenyum. Dia kembali menyuap makanan. Soalan Airis dibiar sepi tanpa jawapan. Airis masih merenung Qidran. Berharap Qidran menjawab soalannya.
"Takde apa la...lupakan apa saya cakap tadi. Makan cepat, waktu lunch nak habis ni" ujar Qidran. Senyuman masih tak lekang dari bibirnya. Airis mengalah. Dia kembali menyuap makanannya yang sudah tinggal separuh.
Sedang mereka enak menjamu selera, tiba-tiba terdengar tengkingan seorang wanita tidak jauh dari tempat mereka duduk. Airis dan Qidran pantas menoleh untuk melihat apa yang berlaku. Mereka lihat seorang budak lelaki sedang dimarahi oleh wanita itu. Dia atas lantai terdapat satu beg kertas dengan isinya yang berterabur.
"Berapa kali aku cakap, pegang barang aku tu elok-elok! Kau ni kalau tak menyusahkan aku sehari tak boleh ke hah!?" jerit wanita itu kepada budak lelaki tersebut. Umurnya dalam lingkungan 8 ke 10 tahun. Budak lelaki itu hanya tertunduk merenung lantai. Di tangannya masih ada beberapa buah beg kertas.
Tak semena-mena wanita itu merengkuh kasar wajah budak lelaki itu. "Kalau aku tengah bercakap, pandang muka aku! Budak tak guna!" dia kemudian menampar kuat pipi kanan budak lelaki tersebut. Tersungkur budak itu di atas lantai.
Airis dan Qidran masing-masing tergamam. Orang ramai mula menumpukan perhatian kepada adegan di hadapan mereka. Ada yang bertindak merakam adegan tersebut dengan telefon pintar masing-masing.
Tak cukup dengan menampar, wanita itu bertindak menyepak budak lelaki itu berkali-kali. Meraung budak lelaki itu apabila diperlakukan sebegitu. Muka Qidran mula memerah. Dia bingkas bangun diikuti oleh Airis. Mereka melangkah laju ke arah wanita tersebut.
Namun belum sempat mereka sampai di sana, kelihatan wanita itu sudah dipegang oleh beberapa orang awam yang berada di situ. Beberapa saat kemudian muncul tiga orang pengawal keselamatan. Keadaan mula terkawal. Wanita itu dibawa pergi oleh dua orang pengawal keselamatan tersebut. Budak lelaki yang cedera itu diangkat oleh seorang pegawal keselamatan untuk menerima rawatan.
Qidran terpaku di tempat dia berdiri. Matanya masih merenung wanita itu yang semakin menjauh. Orang ramai mula bersurai, meneruskan aktiviti masing-masing yang tergendala tadi.
Tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang. Dia tersentak. Perlahan dia menoleh. Kelihatan Airis sedang berdiri sambil tersenyum nipis ke arahnya.
"Awak okay tak?" Airis menyoal. Dia lihat wajah Qidran sedikit pucat. Dahinya turut dibasahi peluh.
"Ha? Saya okay..." Qidran membalas perlahan.
"Kenapa la dengan akak tu...sampai hati dia pukul anak dia sampai macam tu sekali. Depan orang ramai pula tu" Airis bersuara. Geram pula dia apabila mengingati kembali kejadian yang berlaku tadi. Suasana sepi antara mereka buat beberapa saat.
"Awak dah habis makan?" soal Qidran tiba-tiba.
"Dah"
"Kalau macam tu jom. Lagipun waktu lunch dah habis ni" Qidran mengajak. Dia mula melangkah. Airis hanya mengikut tanpa bicara. Dia perasan sikap Qidran sedikit berubah selepas kejadian tadi, namun dia mengambil pendekatan untuk berdiam diri.
Zap!
Tali pinggang ayah singgah pada belakang badannya yang tidak berbaju. Dia sedang berdiri sambil membongkok pada meja kerja ayahnya.
Zap!
Sekali lagi badannya menerima sebatan. Bibirnya digigit untuk menahan dirinya daripada mengaduh. Kalau tidak, lebih teruk dia akan kena.
"Kau dengan mak kau sama je! Hidup menyusahkan aku! Mak kau lagi la, dah mati pun menyusahkan aku!" ayahnya menengking. Sekali lagi sebatan singgah pada badannya. Kali ini lebih kuat. Dia rasa badannya basah. Mesti dah berdarah, fikirnya.
"Dulu aku suruh dia gugurkan je kau ni, tapi dia degil! Sekarang dia dah mampus, menyusahkan aku pulak nak kena jaga kau!"
Zap! Zap! Zap! Kali ini tiga kali berturut-turut dia disebat.
"Erghhh!!" dek kerana tidak tahan menanggung pedih yang menyengat, dia mengerang.
"Kau ni memang degil! Aku cakap jangan bukak mulut kan?! Kau ni memang nak kena!!" Tak semena-mena rambutnya ditarik kasar dari belakang. Dia diseret ke arah dinding sebelum kepalanya dihentak berkali-kali di situ. Ayahnya memang betul-betul menggila.
Tak cukup dengan itu, badannya ditolak kasar ke lantai. Ayahnya mula memijak-mijak badannya tanpa belas kasihan. Sampai lunyai dirinya dikerjakan oleh lelaki tersebut. Masih belum puas. Dia lihat ayahnya mula melilau mencari sesuatu. Jumpa apa yang dicari, lelaki itu pantas berlalu untuk mengambilnya.
Dengan mata yang dilitupi darah, dia masih dapat melihat barang yang dipegang oleh ayahnya. Batang besi. Perlahan-lahan lelaki tersebut datang menghampiri dengan batang besi di tangan.
"Ayah...tolong...jangan" dia cuba merayu. Namun rayuannya langsung diendahkan. Lelaki itu semakin menghampiri. Batang besi di tangan diangkat tinggi lalu dihayun laju ke arahnya.
"Ayah jangan!!" dia menjerit. Mata dipejam.
Dan...
Qidran terjaga. Nafasnya tercungap-cungap. Peluh membasahi seluruh wajah dan tubuh. Matanya liar memandang sekeliling. Apabila dia sedar dia berada di biliknya, dia mula menarik nafas lega. Qidran bangun dari perbaringan. Badannya disandarkan ke kepala katil. Jantungnya yang berdegup kencang cuba ditenangkan semula.
Wajahnya diraup kasar. Sudah lama dia tidak bermimpi seperti tadi. Namun malam ini, mimpi itu tiba-tiba bertandang kembali mengganggu lenanya. Ini mesti gara-gara adegan yang dia saksikan siang tadi. Dia mendengus kasar. Pantas dia turun dari katil dan menuju ke bilik air.
Pili air di sinki dibuka. Air ditadah menggunakan kedua-dua tapak tangan lalu disimbah ke wajah. Wajahnya disebalik cermin ditenung. Nampak sedikit pucat.
Penumbuk digenggam. Sinki dihentak kuat, melepaskan rasa tidak puas hati.
"Tak guna!" Nafas dihembus kasar.

ANDA SEDANG MEMBACA
PERTEMUAN ✅
RomantikAiris dan Mark. Dua insan yang berbeza latar belakang. Namun takdir menemukan mereka dalam satu tragedi yang tidak disangka-sangka. Tragedi yang mengubah hidup mereka 180 darjah. Nyawa menjadi taruhan. Ketenangan hidup mereka tergugat hanya kerana...