BAB 8: INI CARAKU

265 25 16
                                    

LOKASI: RESORT AMAN MARIAH, DI TEPI TASIK

WAKTU: PETANG

Sejak sebulan yang lalu, Zuhal tidak mengambil ubat penenangnya. Dia mendapat bantuan spiritual daripada Asyraf di Hulu Perak.  Asyraf dan Cempaka membuka klinik persendirian di sebuah pekan kecil di kawasan tersebut, bersebelahan antara satu sama lain.

Asyraf, doktor perubatan. Tetapi dia lebih menumpukan perhatian kepada kiropraktor, perubatan herba dan rawatan alternatif Islam. Kebanyakan kliennya orang ternama. Adrian Vasile, CEO SNAP, yang terkena racun, salah seorang daripadanya. Zuhal diberitahu, Asyraf antara doktor yang dipanggil merawatnya ketika dia koma. 

Cempaka, doktor haiwan. Tetapi dia bukan sebarang doktor haiwan. Dia juga masuk ke dalam hutan untuk menyelamat haiwan liar yang luka. Kerja itu dilakukan bersama Lembaga Perlindungan Haiwan Liar.

"Hanya 'Asmaul Husna' yang boleh memberi kau ketenangan Zuhal. Agaknya sudah terlalu lama kau lupakan Allah," kata Asyraf.

Dia percaya penyakit Zuhal tidak boleh diubat dengan pil dan dadah kawalan. Asyraf belajar mengenai rawatan holistik dan alternatif Islam dengan seorang profesor yang tinggal di Bangi. Sejak itu, melalui bimbingan Asyraf, Zuhal mendapat ketenangan dengan rawatan alternatif itu yang dia boleh lakukan sendiri.

*****

Ketika Iman menuruni tangga untuk ke ruang tamu resort itu dia terdengar bunyi piano.

Ping! 

Seseorang sedang menguji piano. Dia tahu gaya seseorang itu memulakan permainannya. Zuhal tidak berubah caranya. Dia akan memulakan permainannya dengan lagu 'Do Re Mi' daripada 'The Sound Of Music'. Lagu itulah yang Iman mula belajar dengan Zuhal. Selepas abang angkatnya pergi, Puan Sri Mariah upah seorang guru muzik professional. Tetapi semangat Iman untuk bermain piano sudah mati, tanpa Zuhal. Hanya beberapa lagu yang dia boleh main.

Kali ini lagu yang dimainkan Zuhal, 'My Way.' Itu lagu favourite Iman, walaupun ketika dia mula memainkan lagu itu dahulu, dia tak faham maksudnya. Tetapi lama kelamaan dia faham dan ia mengubat rindunya kepada Zuhal.

Iman seperti mahu terbang ke ruang tamu.

Langkahnya terhenti di pintu masuk. Dilihatnya Zuhal sedang bermain piano dengan khusyuk.

Iman menghampiri Zuhal dan menyentuh tengkuk yang sedikit tertutup dengan kolar bulat baju-T yang dipakainya. Zuhal tak pedulikan dia. Terus bermain. Iman nampak parut di tengkuk Zuhal yang agak jelas. Air mata Iman gugur tanpa dapat dikawal. Dia kucup parut itu. 

Zuhal menoleh dan senyum segaris. Tetapi jari-jarinya masih terus menari-nari di atas keyboard. Iman tarik kerusi dan duduk di sebelah Zuhal. Tanpa berkata apa-apa, Iman turut bermain. Zuhal guna tangan kanan, dan Iman menjadi tangan kirinya. Mereka bermain piano seperti yang pernah mereka lakukan sebelum Zuhal pergi ke Amerika Syarikat. Zuhal 16 tahun, dan Iman 8 tahun.

Selesai lagu itu dimainkan, kedua mereka mendapat tepukan daripada Asyraf, Azem dan Cempaka yang entah bila masuk ke ruang tamu itu.

Iman menyeka air matanya yang degil mahu keluar.

Zuhal berpaling menghadap Iman. Matanya kelihatan sayu. "Abang minta maaf . . ."

"Tak . . . Iman yang salah faham. Iman yang patut minta maaf." Air mata Iman merembes. 

Zuhal tarik Iman ke dalam dakapannya. Iman mahu menangis lagi. Tetapi Zuhal sudah melepaskan pelukannya. Nada suaranya tegas.

"No more crying, Iman."

JERUNG-JERUNGWhere stories live. Discover now