LOKASI: KAWASAN PERUMAHAN ELITE HEIGHTS
WAKTU: DARI SIANG HINGGA MALAM
Seminggu berlalu. Ironisnya, Farooq yang minta tinggal dua hari dapat tinggal empat hari kerana ada beberapa urusan Mahkamah Syariah yang dia dan Nur Saadah perlu putuskan. Bagaimanapun, perceraian itu akhirnya disahkan oleh Mahkamah tanpa apa-apa tuntutan sampingan.
Iman sudah mengaku kedudukan Nur Saadah dan Farooq sebagai Mommy dan Daddy. Namun, hubungannya dengan mereka belum boleh dikira mesra, walaupun bukan benci. Tetapi Zuhal perhatikan, anehnya, dalam empat hari itu, Iman lebih banyak meluangkan masa dengan bapanya berbanding dengan ibunya.
Mungkin faktor bapanya yang cacat itu menyentuh hatinya, fikir Zuhal. Tetapi, kerana tidak mahu ia menjadi perbalahan, Zuhal diamkan sahaja.
Malam Farooq kembali ke Tashkent, Iman menghantarnya ke KLIA. Zuhal enggan turut bersama. Sikap Iman yang nampaknya sudah u-turn ini sangat mengganggu fikiran Zuhal. Dia tahu, selain menanam popi dan menyeludup senjata api, Farooq juga pakar propaganda perang psikologi. Ditakuti, mudah sahaja Farooq memutar otak Iman yang naif.
Iman pula tiba-tiba mahu menjadi ahli NGO yang memberi bantuan kepada mangsa perang. Malah katanya dana untuk 'hadiah kereta' untuknya yang dijanjikan Zuhal itu dia ingin beri kepada NGO itu. Zuhal membantah.
"Kan baik tu? Kenapa tak setuju?" Iman protes.
"Buat apa bagi kepada satu NGO? Ada banyak NGO yang patut menerima bantuan. Tahu tak Iman. wang ini boleh disalahgunakan?"
"Abang terlalu kuat prasangka."
Oleh kerana dana itu masih berada dalam poket Zuhal, maka Iman tidak dapat menyerahkannya kepada NGO itu. Ini menyebabkan Iman masam muka sehingga malam.
Sabar sahajalah. Iman masih muda. Begitulah fikiran Zuhal mencari alasan demi menjaga hati isterinya. Berkahwin bukan setakat bercinta. Tetapi realitinya, kehidupan sukar dijangka penghujungnya.
Manusia ini rumit. Aliran hidup ini banyak tribulasinya.
Lebih-lebih lagi dalam dunia Jerung di mana manusia bukan hanya mendambakan cinta, tetapi kuasa.
Di sebalik simpang siur kehidupan itu, hubungan Danny dengan Tan Sri Adnan semakin baik. Malah Danny mungkin akan kembali tinggal di TERATAK MARIAH. Ada ura-ura bengkelnya di Utara akan dijual. Atau mungkin akan dipindahkan berhampiran dengan pejabat SLY.
Danny akan mengambil alih tugas Zuhal sebagai COO SLY, sebelum mengambil alih jawatan Tan Sri Adnan sebagai CEO. Justeru, bengkel motorsikal itu hanya akan menjadi hobi bagi Danny melepaskan stress kerja di pejabat. Sementara itu Zuhal sudah mula sibuk dengan syarikat SNAP ASIA yang baru ditubuhkan.
Dalam kesibukan itu Iman ajak Zuhal pindah ke penthouse miliknya.
"Ini soal aurat," kata Iman. Dia suka kerana penthouse itu ada private swimming pool.
Malah Iman sudah mula menghias penthouse itu dengan bantuan konsultan hiasan dalaman. Zuhal biarkan sahaja, asalkan dia bahagia dan tidak bersungut tentang nasib Daddy yang keseorangan di Tashkent. Jika berjogging, Penthouse itu hanya beberapa minit sahaja perjalanannya dari TERATAK MARIAH.
Asyraf sudah pergi ke Jepun. Akbar pula sudah melapor diri di Unit Jenayah Siber di bawah Jabatan yang diketuai PC Datuk Sulaiman.
Zuhal sudah menerima penjelasan Asraf.
"Pak lang minta maaf kerana tak beritahu plan bawa Farooq ke Malaysia. Tetapi kalau pak lang tak buat gitu, kamu takkan nak cepat nikah dengan Iman. Otak kamu tetap fikir tentang tugas sahaja. Sedangkan pak lang sudah kesuntukan masa."
YOU ARE READING
JERUNG-JERUNG
Mystery / ThrillerPEMENANG: BEST THRILLER (SILVER AWARD 2020)⚜️ MEJOR SUSPENSO (DE GODEN LIVRE AWARD 2020)⚜️ THE STAR BEST WRITING (ADBT 2020/ 2021)⚜️BEST CHARACTER THRILLER (THE AMINE AWARD 2020) ⚜️THE BEST THRILLER *2 (DREAMHIGH AWARD 2020)⚜️. BLURB: Ini bukan kis...