BAB 48: AKULAH PENYELAMATNYA

157 16 0
                                    

LOKASI: KAWASAN ELITE HEIGHTS

WAKTU: BEBERAPA HARI

"So, The Empress nak bunuh saya eh?" kata Komander Imran. Dia sudah dengar rakaman perbualan Suzanna dengan Datuk Jalal. Seperti biasa dia kelihatan tenang sahaja. Sudah banyak kali dia menerima ugutan bunuh.

"Berdasarkan rakaman itu, ada tiga ugutan bunuh. Satu ugutan untuk Komander Imran, satu untuk Zuhal dan satu untuk Iman," kata Azem.

Komander Imran mencemik. Ugutan bunuh itu bunyinya macam 'hadiah' pula. Cuma 'hadiah' ini tidak dikehendaki. "The Black Dragon mahu hapuskan Zuhal. The Empress mahu bunuh saya dan Iman."

"Bagaimana keadaan Datuk Jalal?" soal Zuhal. "Dia strong link." 

"Masih di ICU," jawab Komander Imran, bersahaja tanpa emosi.

"Boleh hidup ke?" soal Azem pula.

"50-50."

Mereka diam. Cuba menghadam maklumat yang dikumpul. Semua berharap Datuk Jalal dipanjangkan usia agar misteri cubaan bunuh terhadap dirinya terbongkar. Mengapa ada orang berminat terhadap nyawa seorang Setiausaha Politik? Dua orang polis, seorang beruniform dan seorang berpakaian awam menjaga di luar bilik ICU. Bukan kerana Setiausaha Politik itu orang yang istimewa, tetapi kerana maklumat yang dipegangnya.

Danny syak ia bukan kerja kongsi gelap, atau musuh politik. Dia ingin tahu. "Pistol jenis apa?"

"Taurus. Makmal forensik polis sudah kenal pasti jenis senjata itu," jawab Komander Imran. 

"Pistol miliknya sendiri hilang." Azem menggumam.

"Menurut rekod, Datuk Jalal memiliki beberapa jenis pistol. Salah satu . . . Taurus," jelas Komander Imran.

"Kenapa Setiausaha Politik ada banyak pistol?" Zuhal pula merasa pelik. 

Bukan politik di Malaysia ini macam di Columbia atau Mexico atau mana-mana negara yang sedang bergolak dengan perang saudara. Malaysia relatif aman. Kerana itu dia tubuhkan SNAP ASIA  di Malaysia.

"Tembakan sebanyak 6 das. Dari depan, jarak kira-kira 5 meter dua kali. Kereta terbabas. Lepas itu penyerang tembak lagi sebanyak empat kali dari tepi," jelas Komander Imran.

"Memang nak bunuh," tambah Ruslan.

"Yup . . ." jawab Komander Imran. Matanya memandang Zuhal yang dilihatnya melamun. Tidak aktif seperti selalu. Apa dah jadi dengan budak seorang ni? 

Tiga pasang mata turut menyorot ke arah Zuhal.

"I'm okay" kata Zuhal, walaupun jelas nampak tidak okey. Mereka semua tahu, di mana letaknya fikiran Zuhal hari itu.

Danny tepuk belakang Zuhal beberapa kali. Zuhal senyum, tetapi jelas hambar.

"We'll handle this together," bisik Danny.

Selama mereka menjalankan kerja-kerja perisikan korporat, tidak pernah terkait dengan hal peribadi. Hanya setelah kembali ke Malaysia, baru mereka sedar bahawa Zuhal menjadi sasaran setiap tahun dari pihak yang sama.

"Macam tak profesional," kata Komander Imran. "Jarak dekat pun tembak tak tepat."

Mata Azem melihat posisi kereta penyerang dalam CCTV. "Penembak menyerang dari sebuah kereta yang bergerak menuju arah bertentangan."

"Lepas kereta Datuk Jalal terbabas, kereta penyerang itu u-turn dan berhenti. Pemandunya melepaskan tembakan sebanyak empat kali," sambung Ruslan.

JERUNG-JERUNGWhere stories live. Discover now