BAB 16: MIMPI SILAM

193 18 0
                                    

LOKASI: TERATAK MARIAH, ELITE HEIGHTS

WAKTU: MALAM

*Pagi itu aku didudukkan di kerusi belakang seperti biasa. Mama pastikan tali keledar itu kukuh agar aku yang nakal ini tidak dapat mencabutnya. Mama kucup pipiku. Aku balas dengan mengucup wajahnya. Penuh air liurku di wajah polos Mama. Tetapi dia tak marah walaupun aku sudah merosakkan mekapnya. Dia ketawa riang. Papa sudah duduk di kerusi pemandu.

Aku tidak tahu mereka hendak ke mana. Sebuah beg diletakkan di bawah kakiku. Papa menghidupkan enjin dan kereta mula bergerak.

Papa pasang lagu. Mendayu-dayu. Mataku mula berat. Aku cuba celik untuk melihat keliling dan sembang dengan Mama. Tapi akhirnya aku tertidur. Tidak tahu berapa lama aku tertidur apabila aku terasa hentakan kuat pada kereta. Tetapi Papa berjaya membetulkan perjalanan kereta yang tadi tersenget. Papa membawanya laju. Aku menjadi takut. Mahu menangis. Mama menoleh ke belakang melihatku.

"Darling, everything is going to be okay. Please don't cry."

Aku nampak sebuah trak besar merempuh kereta Papa bahagian pemandu. Sebuah lagi trak menghimpit di sebelah penumpang, di tempat Mama duduk. Papa masih meneruskan pemanduan. Trak itu ketinggalan di belakang. Tiba-tiba satu hentakan kuat mengenai belakang kereta Papa. Kereta Papa terdorong ke tepi dan jatuh berguling-guling ke cerun.

Aku terpelanting dari kerusi kecilku dan terperosok di bawah kerusi hadapan. Aku mahu menangis. Tetapi suaraku tidak keluar. Aku dengar suara lemah Papa memanggil Mama. Tetapi lepas itu aku tidak dengar apa-apa lagi kata-kata daripada mereka.

Suara-suara asing menerobos ke cuping telingaku. Seorang lelaki membuka pintu kereta Papa. Lelaki itu kulitnya cerah. Hidungnya mancung dan rambutnya cokelat. Matanya agak sepet. Anak matanya berwarna hazel. Aku tahu kerana mata kami bertentangan. Aku mahu menjerit. Tetapi suara tetap tidak keluar. Dia mengambil beg Papa dan terus berlalu.

Kedengaran bunyi siren dari kejauhan yang semakin dekat. Ia berhenti. Bunyi pintu kereta dibuka dan derap kaki kedengaran semakin hampir. Beberapa suara bercakap dalam bahasa Inggeris.

"Sir! There's a kid here! He's alive!" jerit seseorang.

Tubuh aku yang penuh cecair merah diangkatnya dengan cermat.

Aku dibawa ke satu tempat yang semua orang memakai pakaian serba putih dan biru. Aku menangis dengan kuat. Aku mahu Mama!

Mama!*

*****

Jeritan Zuhal lantang memenuhi ruang bilik yang kosong. 

Dia tersedar. 

Zuhal meraup wajahnya dan beristighfar beberapa kali. Kisah dia, Mama dan Papa terhenti pada usianya empat tahun. Yang ada hanya mimpi berakhirnya kisah itu. Dan mimpi itu sudah lama tidak singgah. Tetapi kali ini ia amat jelas. Semuanya seperti menonton sebuah video.

Zuhal bangun dari sofa. Dia lihat jam tangannya. Sudah pukul 10.00 malam. Perutnya dirasa sakit. Lapar atau kesan ubat?

Dia buka chiller . Ada beberapa botol berisi sarang burung. Dia minum sebotol. Memang tak cukup kalau untuk mengisi perutnya. Tetapi ia memberi sedikit kesegaran.

Mimpi tadi . . .

Siapa lelaki yang mengambil beg di dalam kereta Papa? Kenapa wajahnya seperti Farooq, lelaki dalam video yang dikatakan daddy Iman? Adakah dia Farooq?  

JERUNG-JERUNGWhere stories live. Discover now