LOKASI: SEBUAH HUTAN
WAKTU:MALAM
Edwards Santiago dan Roger Lim tidak tahu bagaimana mereka boleh sampai ke tempat itu. Mereka berada di dalam sebuah hutan yang tebal.
Tiada ikatan pada tangan dan kaki. Mereka bebas bergerak.
Tetapi hendak ke mana?
Seingat mereka pagi tadi mereka sedang bersiap untuk pergi ke tempat kerja masing-masing. Mereka berada di tempat yang berbeza untuk pergi ke tempat kerja yang berbeza. Tetapi kini mereka berada di tempat yang sama.
Entah di mana.
Matahari sudah condong ke Barat.
Edwards Santiago memakai pakaian yang segak kerana dia akan bersiaran langsung di sebuah TV swasta. Roger Lim pula memakai pakaian yang biasa kerana dia hendak ke kolam ikannya.
Mereka hanya teringat kepala mereka diserkup kain. Gelap.
Roger bersuara dahulu. "Kau tahu siapa yang bawa kita ke sini?"
Edwards berpaling meneliti ke sekelilingnya yang ternyata sangat asing baginya. Dia hanya nampak pokok-pokok besar yang tinggi, dan kedengaran bunyi lotong sahut-menyahut. "Entah. Aku tak ada musuh."
Dia seorang veteriner selebriti. Setiap minggu dia akan keluar di TV untuk bercakap tentang bagaimana menjaga haiwan peliharaan di rumah. Instagram miliknya ada puluhan ribu pengikut.
Roger Lim diam. Dia tahu dia ada musuh dalam perniagaan ikan jenama mahalnya, arwana. Tetapi dia tidak percaya musuhnya sanggup menganiaya sehingga membawa dia ke dalam hutan belantara.
Mereka berjalan untuk keluar dari kawasan itu, tetapi tetap kembali semula di tempat asal mereka terjaga.
Seperti tiada jalan keluar. Mereka hanya berpusing-pusing.
Akhirnya keduanya terjelepuk kepenatan. Tercungap-cungap. Hilang semua tenaga. Haus dan dahaga jangan cerita.
"Aku rasa kita ada berbuat dosa dengan seseorang," kata Roger. "Sebab itu perkara ini jadi pada kita."
Edwards memandang sahabatnya sejak sekolah menengah itu dengan wajah kehairanan.
"Siapa?"
"Cempaka."
Edwards tahu maksud Roger. "Ah . . . engkau rasa bersalah sahaja. Perkara tu dah lama."
Roger duduk di atas banir. Dia mengeluh. "Kau pun tahu apa yang kita buat tu salah . . . Setiap kali aku nak buat hubungan seks dengan Sally . . . aku dengar tangisannya . . . jeritannya . . ."
"Siapa?"
"Cempaka."
"Kau asyik sebut Cempaka . . ." Edwards mula ketakutan.
"Hampir setiap malam aku mengigau . . . Sampai isteri aku cemburu. Ingat aku ada perempuan simpanan."
Edwards diam. Dia tahu Roger baru kahwin dengan Sally. Lebih kurang empat bulan. Dia sendiri masih bujang. Boleh buat kerja tanpa surat nikah yang membelit diri, buat apa kahwin? Itu dalam fikiran Edwards.
"Sepatutnya kita halang Ammar," kata Roger lagi. Masih dibelenggu rasa bersalah.
"Kan lepas tu Ammar suntik dia. Lepas itu dia tak jerit lagi?" soal Edwards.
"Kita patut halang Ammar . . ."
"Dan biarkan Cempaka tahu siapa rogol dia? Kita pun kena."
"Aku menyesal."
YOU ARE READING
JERUNG-JERUNG
Mystery / ThrillerPEMENANG: BEST THRILLER (SILVER AWARD 2020)⚜️ MEJOR SUSPENSO (DE GODEN LIVRE AWARD 2020)⚜️ THE STAR BEST WRITING (ADBT 2020/ 2021)⚜️BEST CHARACTER THRILLER (THE AMINE AWARD 2020) ⚜️THE BEST THRILLER *2 (DREAMHIGH AWARD 2020)⚜️. BLURB: Ini bukan kis...