BAB 18: PADAN MUKA!

204 21 3
                                    

LOKASI: SEBUAH NEGERI DI UTARA

WAKTU: SIANG

*Dagangan saham AMRA Holding akan digantung berkuat kuasa 02 Februari dan sahamnya akan dinyahsenarai pada 06 Februari .

Dalam satu kenyataan rasmi, dilaporkan saham syarikat akan dinyahsenarai, kecuali ia menghantar rayuan terhadap penyahsenaraian itu kepada Bursa Securities pada atau sebelum 06 Februari.

Sebelum itu syarikat tersebut diletakkan pada status Nota Amalan 17 (PN17), susulan kerugian yang ditanggung anak syarikatnya AMRA IT Sendirian Berhad dan kegagalannya membuat pembayaran prinsipal dan keuntungan kepada Bank XXX berjumlah RM2.0 juta.

Dagangan sahamnya (kod 1234) digantung semalam, dengan harga dagangan terakhir pada RM3.2 sen.

Saham AMRA Holding mengalami penurunan berterusan susulan pendedahan syarikat Kumpulan Smile and Live Younger (SLY) mengenai produk utamanya permainan video/komputer JEBAT GALAKSIKA.

Menurut penganalisis, syarikat itu tidak akan dapat memenuhi keperluan Bursa untuk meningkatkan status PN17, ekoran kerugian yang ditanggung serta kekangan aliran tunainya*

*****

Begitulah isi berita yang dibaca Danny pagi itu yang membuat hatinya berbunga-bunga. Penderitaan yang AMRA IT tanggung kini amat kecil berbanding dengan penghinaan dan penderitaan Mak Su Cempaka.

Dia dapat melihat penderitaan itu di mata Mak Su Cempaka yang disayanginya. Walaupun Cempaka sudah menjadi pakar veteriner yang terkenal di seluruh negara kerana perjuangannya menyelamatkan haiwan liar, bagi Danny maruah Mak Su kesayangannya tetap mesti dipertahankan.

Hari itu Danny membuat kerjanya dengan gembira. Dua orang mat rempit yang datang meminta ubah suai motorsikalnya dilayan dengan baik. Biasanya dia akan basuh mereka kaw-kaw dan kemudian halau sahaja. Tetapi kali ini dia nasihat mereka dengan lembut.

"Kalau abang buat motor kau ni boleh terbang, lepas itu kau mati, bukan hanya mak bapak kau susah, abang pun susah. Polis akan tangkap abang, masuk dalam lokap. Siapa nak jaga isteri abang yang cantik tu?"

Kedua mat rempit itu berkelip-kelip mata mereka sebelum beredar. Kalau dengar. Alhamdulillah. Kalau taknak dengar dan mencari bengkel lain, dia tak boleh berbuat apa-apa.

"Apa yang dah kamu buat Danny?" Tiba-tiba satu suara menyergahnya.

Danny mengangkat muka dari motorsikal yang sedang dibaikinya. "Pak Lang Asyraf . . ."

"Ikut pak lang masuk pejabat. Pak lang nak tanya kamu." Keras suara Asyraf.

Danny tiada pilihan. Dia basuh tangan dan mengikut Asyraf masuk ke pejabatnya. Asyraf memiliki 50% pegangan bengkel memperbaiki motorsikalnya. Apa-apa terjadi kepada Danny, Asyraf kena ambil tahu.

Asyraf mengambil tempat di sofa di pejabat kecil itu. Matanya tajam merenung Danny.

"Boleh kamu buka balik kunci yang kamu buat di laman AMRA IT?" soalnya tanpa mukadimah.

"Kenapa nak buka kunci?" soal Danny kembali.

Dia sudah mengagak tujuan Asyraf datang ke bengkelnya.

"Itu kunci rezeki pekerjanya," jelas Asyraf.

Danny mendengus. "Cari rezeki kena yang halal. Bukan bersekongkol dengan orang jahat. Biarlah."

"Pekerjanya tak tahu apapun." Asyraf cuba mempertahankan.

Danny masih bertegas. "Ah . . . pekerja di bahagian AMRA IT tahu apa yang diorang buat."

"Tapi kenapa diorang tak dapat akses laman web syarikat?" soal Asyraf.

JERUNG-JERUNGWhere stories live. Discover now