EPILOG 2 - CABARAN

361 15 12
                                    

NARATOR: IMAN

"Kamu cari siapa?" soal Daddy Farooq.

Aku menoleh ke arah lelaki yang berkerusi roda itu.

"Tak ada siapa daddy," jawabku.

Entah. Suaraku langsung tidak meyakinkan, walaupun kepada aku sendiri. Aku mengharapkan satu keajaiban.

Kereta Daddy Farooq yang dipandu bodyguardnya berhenti di sebelah kami berdiri. Bodyguard Daddy keluar membukakan pintu untukku. Dia tak perlu bantu Daddy kerana Daddy ada alat kawalan jauh yang membuka pintu dan menurunkan ram untuk dia mudah naik ke dalam kereta bersama kerusi rodanya.

Kereta MPV Daddy sudah diubahsuai untuk membawa orang kurang upaya (OKU) sepertinya.

Pintu ditutup. Kereta bergerak.

"Kita nak ke mana daddy?"

"Mari kita lunch di hotel . . . We celebrate your graduation . . ." ujarnya dengan senyuman di matanya.

Aku tiada semangat untuk meraikan apa-apa, walaupun tadi aku mendapat anugerah khas kerana menjadi "Pelajar Contoh" universiti swasta di mana aku belajar. Aku dapat menjadi pelajar "fast-track" terus ke tahun akhir setelah enam bulan belajar di sini. Maknanya aku graduasi dengan mendapat ijazah dalam tempoh 18 bulan sahaja. Sebelum ini aku sudah dapat pindahan kredit daripada Diploma aku dari universiti di Malaysia.

Aku sudah pandai mencipta VPN, mendesain software dan permainan komputer. Aku tak perlu ijazah, kata profesor yang jadi penyeliaku untuk projek semester akhir.

Aku kata aku nak ijazah itu. Aku nak tunjuk kepada Abang Zuhal, aku bukan hanya anak manja. Aku tak perlu wang ringgitnya, walaupun setiap bulan aku nampak akaun aku penuh. Aku tahu ia datang daripada Abang Zuhal. Aku gunakan dana itu untuk aku melawat Uzbekistan, Kazakhstan dan beberapa 'tan' lagi.  Daddy temankan aku ke mana-mana aku pergi bersama bodyguardnya.

Hubunganku dengan Daddy semakin rapat. Tetapi aku rindu seseorang. Sungguh. Teramat rindu.

Kereta berhenti berhampiran taman sebuah hotel. Kami berdua turun. Mataku segera terpaut kepada sepasang mata kelabu jernih.

"Abang Zuhal!"

Tetapi kenapa dia mendukung seorang bayi? Anaknya? Inikah punca sebenar dia tak jenguk aku. Bukan kerana dia perlu menjalani tempoh perubatan yang panjang. Rupanya dia dah kahwin dan dah ada anak.

Pandangan matanya seperti biasa. Tidak dapat diduga. Aku memusing-musing cincin kahwinku. Air mata sudah mahu melimpah keluar.

Sampai hati Abang Zuhal. Iman cintakan abang sepenuh hati . . .

Baru 18 bulan kami terpaksa berpisah, dia sudah berubah hati. Aku mula menyesal.

Daddy menghulurkan tangan untuk mengambil bayi itu daripada tangan Abang Zuhal. Daddy mula mengagah-ngagah bayi itu.

Daddy! Kenapa sayang bayi itu! Dia bukan anak Iman!

Aku tak sedar. Mungkin mata sudah penuh air. Tapi aku terasa sepasang tangan yang kukuh memeluk tubuhku. Aku letakkan kepala di dadanya lalu menangis. Dia memujukku. Tangannya mengusap-usap belakangku, penuh kasih.

Lama aku menangis. Tiada siapa menegurku.

"Baby . . ."

Tiba-tiba aku sedar siapa yang memanggil aku 'Baby'. Bau haruman yang dipakai dia yang memujukku itu juga aku tahu milik siapa. Dia bukan Daddy. Terus aku tolak dia.

JERUNG-JERUNGWhere stories live. Discover now