BAB 12: MOMMY

189 23 4
                                    

LOKASI: KELAB BOWLING, TIDAK JAUH DARI RESORT AMAN MARIAH

WAKTU: MALAM

Inilah kali pertama Nur Saadah akan melihat Iman dari dekat. Bukan itu sahaja, dia akan ditemukan semula dengan budak yang dimintanya menyelamatkan Iman.

Seram sejuk badannya. Hatinya berdebar-debar kuat. Bagaimana kalau mereka terus menghalaunya?

"Tak. Tak ada siapa berani halau girl-friend abang," kata Asyraf melalui telefon.

Kata-kata Asyraf memberi dia sedikit semangat. Tetapi tidak berjaya mengurangkan kelajuan debaran jantungnya. Entah berapa kali Nur Saadah melihat wajahnya di cermin. Dia sapu sedikit bedak dan calit gincu. Biar jangan nampak terlalu pucat. Lepas puas hati, barulah dia keluar menemui Asyraf yang menunggu di dalam kereta.

Nur Saadah hanya berdiri di luar kereta. Debar hatinya semakin tidak karuan. Mahu rasanya dia berpatah balik naik lif ke unitnya di kondominium itu.

Asyraf keluar dan membuka pintu penumpang.

"Kereta ini tak ada pintu automatik yang terbuka sendiri," sindir Asyraf.

Terkebil-kebil Nur Saadah. Dia tahu sudah terlalu lama dia menduga kesabaran Asyraf. Malam ini Asyraf seperti sudah sampai di penghujung kesabarannya.

Nur Saadah masuk ke dalam kereta. Pintu ditutup. Asyraf tarik tali pinggang keledar dan memasangnya. Nur Saadah beristighfar di dalam hati. Dia masih isteri orang. Setiap kali dia keluar dengan Asyraf, setiap kali itu juga dia terasa berdosa. Malam ini rasa berdosanya semakin menggunung.

Tangan Nur Saadah bergerak ke arah kunci tali pinggang seolah-olah mahu membukanya. Tetapi Asyraf segera menekan pedal dan kereta terus bergerak.

"Jangan sekali-kali fikir nak lari, Nur Saadah!" Asyraf memberi amaran sambil mengetap bibirnya. Bila Asyraf sudah menyebut nama penuhnya, kecut perut Nur Saadah.

Dia membetulkan kedudukannya. Sejurus, matanya memandang keluar. Seolah-olah mahu memastikan tiada sesiapa melihat mereka. Kemudian dia berpaling ke arah Asyraf.

"Abang! Betul orang Farooq tak tahu tempat yang kita nak pergi ini?"

"Macam mana diorang nak tahu kalau kondo tempat Nur tinggal pun dia tak tahu."

Logiknya begitulah. Bukan dia tidak pernah pergi ke Kelab Bowling itu dengan Asyraf. Tetapi masa itu Iman tiada di situ.

"Mana abang tahu dia tak tahu?"

"Sejak dua tahun ini ada sesiapa yang menghubungi awak?"

Nur Saadah geleng. Dia tahu bila Asyraf sudah berawak-awak, maknanya marahnya semakin meningkat. Dia tak boleh salahkan Asyraf kalau marah pun. Tetapi dia hairan kenapa Asyraf moody malam ini.

"Maafkan Nur," katanya sambil tunduk memandang lantai kereta.

Asyraf masih meneruskan pemanduan.  Jeda.

"Dah. Jangan nak nangis pula. Nanti diorang ingat abang buli Nur."

Awak sudah diganti dengan Nur.

"Kita akan selesaikan masalah Nur secara diplomatik," kata Asyraf.

"Tapi diorang tak akan terima. Kalau dia dipaksa ceraikan Nur pun, dia tetap akan cari anaknya."

Asyraf mendesis geram.

"Anak Nur sekarang dah 21 tahun. Tak lama lagi akan kahwin. Nur patut risau diri sendiri tu."

Nur Saadah mengesat air matanya.

Asyraf memang nak marah lagi. Tetapi apabila dilihatnya Nur Saadah sudah mengesat air mata dia tak jadi marah. Itulah yang Nur Saadah lakukan setiap kali mereka bertengkar tentang perkara yang sama.

JERUNG-JERUNGWhere stories live. Discover now