BAB 13: BELASUNGKAWA

214 22 11
                                    

LOKASI: SEBUAH BANDARAYA, NEGERI UTARA

WAKTU: SIANG

"CELAKA! SIAL!" dan entah apa-apa lagi sumpah seranah keluar dari mulut Datuk Raduan kerana perkhidmatan permainan online AMMAR GALAKSIKA terhenti sejak semalam.

Apabila pemain cuba bermain secara online yang keluar hanyalah satu skrin hitam dengan ejekan:

BELASUNGKAWA

Menari-mari perkataan itu di skrin, tidak kira apa alat multimedia yang digunakan.  

"Siapa punya kerja ini?" bentak Datuk Raduan.

Semua ahli pasukannya menekur ke meja. Tiada siapa berani mengangkat muka.

Ini kali kedua syarikatnya diaibkan.

Keaiban pertama: Susulan PC Kumpulan SLY masih diperkatakan media. Pengkritik menulis itu dan ini membandingkan AMMAR GALAKSIKA dengan JEBAT GALAKSIKA. Isu itu belum reda, tiba-tiba syarikatnya menerima musibah lagi.

Licik betul Tan Sri Adnan. Ini membuatnya cukup sakit hati.

Pemberita seolah-olah sudah berkhemah di hadapan bangunan pejabatnya. Telefon tidak berhenti berdering. Saham syarikat sudah mula merudum.

Lantas Tan Sri Adnan dihubungi. Hanya Pembantu Peribadi (PA) yang menjawab.

"Maaf Datuk, Tan Sri bercuti dengan keluarganya. Beliau tidak dapat dihubungi."

"Saya nak bercakap dengan dia sekarang!" Datuk Raduan mengherdik.

Juriah, PA Tan Sri Adnan terpaksa berbohong, "Tan Sri bercuti di luar Negara. Datuk hubungi beliau lusa. Mungkin masa tu dah balik."

"Mana boleh tunggu lusa!" jerit Datuk Raduan. "Bagi aku nombor handphone dia."

Sudah berapa banyak kerugian yang dia tanggung kerana gangguan online itu. Tiada siapa di syarikatnya yang boleh memperbaikinya.

"Tan Sri tak benarkan bagi nombor handphone, suka-suka saja."

"Ini bukan suka-suka! Ini nak kiamat!" Datuk Raduan memekik lagi.

"Maaf Datuk. Saya cuma menjalankan tugas."

"Hari ini hari Isnin. Takkan Tan Sri bercuti lagi? Mana anak angkat dia yang berlagak tu . . . Zuhal?" soalnya bertubi-tubi.

"Dia pun bercuti juga Datuk."

"Syarikat apa ni semua orang cuti? . . . CEO cuti. COO cuti!" Jeritan Datuk Raduan sudah mengalahkan suara penyanyi opera Itali.

*****

Juriah menjarakkan telinganya daripada gegang telefon fixed-line itu. "Boleh pekak telinga aku," gerutunya.

Tak pernah Tan Sri Adnan memarahinya sejak dia bekerja di situ 10 tahun yang lalu. Jauh sekali nak menjerit-jerit dengan maki hamun.

Kelihatan Tan Sri Adnan melangkah masuk ke pejabat. Juriah bangun seperti mahu menerpa Tan Sri Adnan. Tetapi bosnya kelihatan tenang sahaja. Malah tersenyum-senyum lagi. 

Di luar tadi dia sudah dihalang pemberita yang mahu tahu cerita di sebalik isu laman syarikat AMRA IT kena godam. Dia pasti, sekejap lagi pemberita akan menyerbu syarikatnya. Tan Sri Adnan arahkan Juriah untuk menguruskan PC ringkas di dewan syarikat pada jam 4.30 petang. Dia agak Zuhal sudah pulang pada jam itu.

"Juriah, saya nak awak buat pengumuman kepada semua staff. Anak saya Zuhal Amir akan bertunang dengan Iman Alaya Ahad depan. Semua dijemput hadir."

JERUNG-JERUNGWhere stories live. Discover now