LOKASI: RUMAH AGAM DI TEPI HUTAN
WAKTU: PETANG
Setelah tiba di rumah agam Asyraf, baru Akbar terasa luka di badannya pedih dan sakit. Asyraf merawatnya sebelum dipanggil Zuhal yang baru pulang dari misi rahsianya. Katanya Asyraf diperlukan untuk mesyuarat peringkat tertinggi dengan Komander Imran dan persidangan video dengan Adrian Vasile di bilik bacaan. Cempaka dan Kalam, pembantu klinik Asyraf mengambil alih tugas itu. Akbar kagum melihat raut wajah Cempaka yang tenang merawatnya seperti tidak terkesan dengan peristiwa penculikan yang baru berlaku.
"Luka di muka awak ni tak berapa dalam. Kejap saja dah boleh baik, insyaAllah. Takkan jadi parut kekal."
"Mungkin diorang tunggu Suzanna datang untuk kerjakan muka saya," jawab Akbar.
"Syukur, kita diselamatkan. Awak relaks ya. Kalam akan sapu ubat pada luka di badan awak."
"Kau cerita apa yang terjadi." Azem yang sejak tadi diam memerhatikan sahaja, bersuara.
"Aku memang boleh cerita dengan anak cucu aku . . ."
"Sebelum kau cerita dengan anak cucu kau, cerita dengan aku dulu," kata Azem. "Aku ada di sini. Anak cucu kau belum wujud lagi!"
Tidak sabar dia menunggu versi yang rasmi. Dia abaikan jelingan Cempaka yang mahu dia jangan mendesak Akbar.
Dengan Akbar, bukan main kau manjakan ya, gumam Azem. Hatinya sedikit cemburu.
"Kereta SUV kami ditahan orang bersenjata di tengah jalan. Kami diheret keluar dari kereta Penguatkuasa Hidupan Liar. Diorang ikat mulut dan tangan kami. Kemudian kami dibawa masuk ke dalam hutan dengan kereta lain. Tapi Mak Su Eka sempat jerit ala-ala Tarzan. Aku dengar gajah-gajah bertempik macam menyahut jeritan Mak Su. Kami dipukul supaya diam."
Azem menggenggam tangannya. Geram dia mendengar cerita Cempaka dipukul penculik. "Engkau tak lawan?"
"Macam mana nak lawan? Muncung senapang tu dekat kepala pemandu tu. Lima orang penculik tu semua acu senjata!" marah Cempaka.
"Janganlah marah. Saya tanya sahaja," kata Azem.
"Mak Su menjerit-jerit memanggil Bobby dengan Balok masa aku kena siksa," Akbar sambung cerita. "Masa itu aku tak tahu siapa Bobby dengan Balok tu . . ."
Cempaka mengangkat wajahnya. Mata Azem dan mata Cempaka bertaut. Dia nampak seperti air jernih bergenangan di mata Cempaka. Tidak pernah lagi Cempaka memandangnya begitu. Azem terkesima.
"Gajah-gajah itu sangat menakjubkan. Aku pun takkan percaya kalau tidak melihat sendiri," kata Akbar.
"Balok lahir di Pusat Pemuliharaan. Eka bidannya. Jadi, Bobby dan Balok, Eka yang jaga," jelas Cempaka.
"Budak-budak tu kira macam anak manja Eka." Kamariah mencelah. Dia membawa flask berisi kopi panas dan bubur untuk Akbar.
"Di mana ibu Balok?" Azem tak minat hal-hal gajah atau alam sekitar. Itu minat Akbar. Tetapi kalau kehidupan gajah boleh mendapatkan cinta Cempaka, dia akan cuba mengenalinya.
"Ibu Balok masih ada di Pusat Pemuliharaan tu. Dia kerja membantu bila ada keperluan memindahkan gajah," jawab Kamariah.
"Baru saya faham. Maksudnya gajah yang merosakkan tanaman?" Azem terpaksa mengakui kisah gajah-gajah ini semakin menarik hatinya.
"Ada gajah agresif dan ada yang tidak. Kerajaan pindahkan yang ganas sahaja," Kamariah menyambung ceritanya. " Emak kerja di pusat pemuliharaan itu sebagai pekerja sukarela masa badan masih kuat dahulu."
YOU ARE READING
JERUNG-JERUNG
Mystery / ThrillerPEMENANG: BEST THRILLER (SILVER AWARD 2020)⚜️ MEJOR SUSPENSO (DE GODEN LIVRE AWARD 2020)⚜️ THE STAR BEST WRITING (ADBT 2020/ 2021)⚜️BEST CHARACTER THRILLER (THE AMINE AWARD 2020) ⚜️THE BEST THRILLER *2 (DREAMHIGH AWARD 2020)⚜️. BLURB: Ini bukan kis...