LOKASI: RUMAH DI TEPI HUTAN BELUM
WAKTU: SIANG
Tan Sri Adnan, seorang graduan kejuruteraan sebuah universiti di Indonesia. Berasal dari keluarga peniaga, dia memulakan perniagaannya sebaik sahaja mendapat ijazah bersama dengan rakannya di Indonesia. Keluarga Pak Marzuki amat dikenalinya. Bukan kerana Pak Marzuki supir rakan kongsinya, tetapi kerana budi bahasanya dan sikap ringan tulangnya.
Perkahwinan Tan Sri Adnan dengan Puan Sri Mariah diatur oleh keluarga mereka yang terlibat dalam perniagaan yang hampir sama. Ia percantuman dua perniagaan berkaitan teknologi Maklumat. Bapa Tan Sri Adnan seorang bekas pegawai polis, bersara awal kerana mahu terlibat dalam perniagaan penyedia perkhidmatan internet (ISP), Cempaka Telecommunication atau CT, bersama rakan kongsinya, Ho Kok Wah, juga bekas pegawai polis. Bapa Puan Sri Mariah pula agen perniagaan komputer dan aksesori komputer.
Perkahwinan ikut aturan keluarga itu diterima baik oleh keduanya dan mereka saling jatuh cinta selepas berkahwin.
Demi menjaga Puan Sri Mariah yang tidak sihat, Tan Sri Adnan menjual pegangan pada syarikatnya di Indonesia. Dia dan adiknya Yusri kemudian mengambil alih kepentingan majoriti syarikat bapa mentuanya. Syarikat itu dijenamakan semula menjadi Smile and Live Younger (SLY). Milik minoriti arwah bapa mentuanya itulah yang kini dipegang oleh Puan Sri Mariah dan Zuhal. Syarikat ISP arwah bapanya (CT) pula kini berstatus anak syarikat SLY. Asyraf dan Cempaka, rakanniaga tidur dalam syarikat ini. Tadbir urus syarikat itu dikuasai oleh anak mendiang Ho Kok Wah, Tan Sri Ho Lam Chuan atau lebih dikenali dengan panggilan Tan Sri Robert Ho.
Kumpulan SLY maju kerana kerja keras, sehingga mereka kemudian mempelbagaikan perniagaan kepada pembangunan perisian dalam sistem pengurusan sumber manusia. Kini mereka terjun ke bidang permainan komputer untuk membantu dalam pembelajaran integratif, termasuk melatih dalam kecekapan merancang strategi dan bertindak.
Malam tadi Tan Sri Adnan terpaksa menerima hukuman daripada isterinya. Ketika dia masuk ke bilik, isterinya sudah tidur. Bantal peluk panjang diletak di tengah-tengah katil.
Dalam usia perkahwinan lebih tiga dekad, Tan Sri Adnan anggap isterinya sebagai kekasihnya, bantal peluknya, telinga yang mendengar dia bersungut dan orang yang perlu dia lindungi sehingga ke akhir hayatnya.
Dia menerima hakikat isterinya yang tidak dapat mengandung. Bukan dia sengaja mencari perempuan lain. Perkahwinannya dengan Ummu Fatonah terjadi kerana takdir. Itu pandangannya.
Ketika subuh, Tan Sri Adnan dan Puan Sri Mariah solat berjemaah seperti biasa. Puan Sri Mariah menyambut tangan suaminya dan menciumnya. Tetapi apabila Tan Sri Adnan mahu memeluknya, seperti kelaziman sebelum mula bekerja mencari rezeki, Puan Sri Mariah mengelak. Terus dia buka telekung dan keluar untuk ke dapur.
Entah sampai bila isterinya akan memboikot dia.
"Walau macam mana pun Maria marah Abang, tolong jangan tinggalkan rumah," pintanya.
Puan Sri Mariah buat muka kejung.
Cuma, pandangan mereka tentang Lila sama. Walaupun mereka lebih suka kalau Danny berkahwin dengan wanita tempatan, tetapi melihat kecekapan Lila di dapur, mereka tolak jauh-jauh prasangka di dalam hati. Nampak sangat Lila biasa dengan dapur di rumah Asyraf bersama pembantu rumah, Habsah. Lila juga menutup aurat. Itu mereka suka.
Itulah pertama kali pasangan suami isteri tersebut bersarapan masakan yang disediakan oleh menantu mereka.
Beza sungguh Lila dengan Iman yang hanya pandai bermanja, menggodek permainan video dan jarang-jarang turun ke dapur.
Lepas sarapan, Asyraf tiba dengan helikopter SIU. Komander Imran ada urusan rasmi di sempadan.
Sudah terlambat bagi Tan Sri Adnan untuk memarahi adiknya yang menyembunyikan Danny dan Lila. Dia tangguhkan marah itu. Adiknya bukan budak lagi.
YOU ARE READING
JERUNG-JERUNG
Mystery / ThrillerPEMENANG: BEST THRILLER (SILVER AWARD 2020)⚜️ MEJOR SUSPENSO (DE GODEN LIVRE AWARD 2020)⚜️ THE STAR BEST WRITING (ADBT 2020/ 2021)⚜️BEST CHARACTER THRILLER (THE AMINE AWARD 2020) ⚜️THE BEST THRILLER *2 (DREAMHIGH AWARD 2020)⚜️. BLURB: Ini bukan kis...