BAB 11: DEWI ARUM!

223 20 4
                                    

LOKASI: RESORT AMAN MARIAH, DI TEPI TASIK

WAKTU: SIANG

Pagi esoknya. Iman merenung baju-T yang diberi Zuhal untuk dipakai berkayak. Baju bertulis 'Beauty.' Dia terfikir sama ada nak pakai atau tidak. Kalau tak pakai, dia akan memalukan Zuhal depan Papa, Mama, Pak Lang Asyraf, Mak Su Cempaka dan Azem. Malam tadi mereka semua menjadi saksi dia akan bertunang dengan Zuhal.

Mahu tak mahu, dia pakai juga baju itu.

Ketika dia turun sarapan, semua mata tertumpu ke arahnya.

"Auww! Sweet!" usik Cempaka. Yang lain senyum-senyum simpul. Zuhal buat muka selamba.

Baju-T Zuhal bertulis 'Beast'.

Mujur sekejap sahaja baju itu jadi bahan usikan. Azem menyelamatkan keadaan dengan baklava dia. Berbunga hati Azem apabila semua orang memuji baklava masakannya, walaupun tidak original.

Lepas sarapan mereka bersiap untuk aktiviti berkayak. Semua ada pasangan, kecuali Azem yang sudah kembali kepada wajah kejungnya, mendayung sendirian. Mujur Asyraf faham. Dia bawa kayaknya berdekatan dengan Azem. Mereka bertiga - Asyraf, Cempaka dan Ezam bersembang sambil mendayung. 

Tujuan mereka ialah untuk pergi ke sebuah pulau di tasik itu. Di sana ada lagun. Mereka boleh berenang dengan selamat, kerana airnya tidak dalam seperti tasik itu. Tetapi awal-awal lagi Zuhal sudah beritahu Tan Sri Adnan dia akan melencong. Azem pun tidak dibenarkan mengikutnya.

Ketika tiga kayak membelok untuk menuju ke pulau itu, Zuhal menahan kayaknya daripada bergerak. Akibatnya kayak bergoyang-goyang kuat. 

Iman terjerit. "Abang buat apa ni?" 

Iman takut kayak itu terbalik. Bukan dia tak tahu berenang. Mereka pun memakai life-jacket. Cuma dia tak mahu basah.

"Kita pergi tempat lain."

"Abang!"

"Jangan risau, nanti kita lunch dengan dia orang."

"Abanggg!" Suara Iman dikuatkan, meleret-leret. 

 "Abang nak privasi," balas Zuhal.

"Ada-ada saja abang ni. Mengapa tak cakap awal-awal lagi." Iman mendengus.

Semalam menyorok daripada Pak Lang Asyraf. Hari ini nak ke mana pula?

"Kita ke seberang sana," katanya sambil pendayungnya dihalakan ke kawasan yang hanya nampak pucuk pepohon kelapa di tepi tebing.

"Abang dayung le. Iman nak jadi bos." Iman silang kedua tangan di dada, gaya merajuk.

Zuhal tak menjawab. Dia dayung perlahan-lahan ke arah tempat yang nak dituju.

Beberapa minit berlalu yang dirasa Iman macam sudah beberapa jam.

Akhirnya dia sendiri yang tidak tahan."Kalau macam ini bila kita nak sampai?" 

Gaya dah betul-betul macam bos.

Zuhal senyum sahaja.

"Berkayak ni bukan setakat nak sampai ke destinasi, tetapi harus menghayati perjalanan untuk sampai ke destinasi," jawab Zuhal dengan tenang.

Sambil merengus, Iman capai pendayung.

Zuhal masih menjadi jeragan yang mengawal arah kayak itu. Mereka sampai ke kawasan yang terdapat rumpun teratai. Kuntum-kuntum bunga teratai meliuk lentok ditiup angin pagi. Iman bertepuk tangan. Teruja. Hampir terlucut pendayung yang diletak di atas kayak.

"Cantiknya!"

"Suka tak?"

Iman menoleh pandangan ke wajah Zuhal yang hanya senyum segaris. Senyum Iman pula melebar. "Suka! . . . Abang ni selalu buat surprise."

JERUNG-JERUNGWhere stories live. Discover now