HaLaMaN 61

99 7 0
                                    

ANAK mata si abang tidak lepas dari memandang figura di hadapannya. Kedua tangan pula dilipat ke dada sejak tadi.

"Abang..." bisik Inah di tepi Syafiq sambil menarik-narik baju abangnya itu.

Keluhan terluah juga tatkala restoran itu terasa sepi untuk beberapa ketika.

"Hmm... betul ke keputusan kau ni, Syed? Aku tak nak ada masalah di kemudian hari. Adik aku cuma seorang ni je. Kalau kau berani nak buat hidup dia merana, aku takkan biarkan hidup kau tenang jugak, Syed."

Syed terkelu. Dia tidak habis fikir dengan karakter bekas atlet bola keranjang itu. Bukankah sewaktu pertemuan mereka kembali, Syafiq bernada santun terhadapnya? Mengapa kali ini berbeza pula? Menghairankan.

"Kau kena percayakan aku, Syafiq. Aku sayangkan Syaf sejak dulu lagi. Aku janji yang aku takkan sia-siakan dia. Aku cuma nak dia jadi pendamping aku sampailah aku mati. InsyaAllah, sampai ke akhirat sekali. Aku tak mungkin tergamak melukakan satu-satunya gadis yang aku cinta. Pegang kata-kata aku ni, Syafiq."

Inah menatap lama bekas abangnya itu dengan mata yang berkaca. Di sebalik cadar, dia tersenyum malah bunga-bunga hatinya kembang mekar seumpama disirami wangian kasih. Apatah lagi Syed tampak jujur serba-serbi. Takkanlah dia ingin merobek janji?

"Cinta dan sayang tak cukup, Syed. Yang paling penting, restu. Ada cinta dan sayang tapi tanpa restu, hubungan tidak ke mana juga. Ya, aku memang walinya. Namun, kau kena faham. Aku kena berhadapan dengan syurga dunia dan akhiratku. Setelah apa yang terjadi bertahun-tahun lalu, ibuku masih tak boleh nak mengikis semua tragedi itu. Banyak sangat, Syed bukan cuma sekali dua. Jadi aku harap kau mengertilah."  Syafiq mula menimbang akal dengan berbicara sesopan yang mungkin. Tidak mahu mengeruhkan keadaan.

"Kau bagi aku jumpa dengan ibu kau, Syafiq. Nanti, aku terangkan pada dia dan nak minta maaf di atas segala yang terjadi sebelum ini. Boleh, kan?"

Inah memandang dengan penuh pengharapan kepada abangnya. Di dalam hati dia berdoa agar lelaki itu memberikan peluang buat mereka berdua untuk mengecap bahagia.

"Please, Syafiq..." Syed memujuk lagi. Dia amat perlukan Inah dalam hidupnya. Dia ingin menjaga kembangan haura itu lebih baik daripada sebelum ini. Itu tekadnya.

"Abang Iq, tolonglah kami." Lengan Syafiq disentuh lagi oleh si adik.

Jus tembikai disedut seketika sebelum menetapkan sebuah keputusan, "Baiklah, Syed. Demi adik kesayangan aku ni, aku izinkan kau berjumpa dengan ibu aku."

Sekaligus Syed melafazkan rasa syukurnya sambil meraup wajah dengan kedua telapak tangan. Satu jalan telah dipermudahkan. Baguslah.

"Terima kasih, Syafiq."

Syafiq mengangguk seketika sebelum bersuara, "Tapi apa-apa pun keputusan ibu aku, aku harap kau cekalkan hati."

Deg! Jantung Syed seakan dicabut dari tangkainya. Tersisip kegusaran di celahan hati. Bagaimanakah pengakhiran kisah mereka berdua? Dia diasak ketidaktentuan arah.

"Terima kasih, Abang Iq. Inah sayangkan abang." Inah lantas memeluk satu-satunya abangnya itu dengan penuh rasa senang hati. Tidak putus doa pengharapannya dalam jiwa. Semoga urusan mendatang tidak ada halangan yang melintang.

***

MONIKA yang berada di pangkuannya dikucup oleh sang isteri sebelum bibir itu juga mendarat di pipi Mokhtar. Tergamam seketika lelaki itu.

"Sa-sayang?" Si suami terkebil-kebil tanda tidak percaya. Sudah gugurkah kesalahannya terhadap wanita itu? Jika benar, dia patut bersyukur dan mengukir janji agar khilaf tidak terulang kembali.

Abang Si Penjagaku [$U]Where stories live. Discover now