SEKEPING lagi tisu ditarik dari bekasnya sebelum mengelap bersih comotan di wajah.
Syed masih ternanti-nanti akan alasan gadis itu berada di bonet kereta miliknya sebentar tadi.
"Aku lari. Terpaksa lari..." Maria bercerita sambil melakukan aktiviti mengelap sisa-sisa kosmetik lantas mengemaskan rambutnya yang sedikit serabai.
Beberapa orang pelanggan restoran berkenaan melihat tingkah-laku serta imej Maria yang serupa puntianak di siang hari. Persis!
"Lari? Kau lari daripada siapa? Siapa yang kejar kau?" soal Syed dengan nada serius.
Maria sempat menyedut jus anggur di dalam gelas lalu menjawab, "Koby. Dia tu nak aku kerja kat kelab snooker. Mulanya, aku okeylah sebab cuma kelab mainan je. Tapi rupanya, kelab tu serupa macam kelab malam. Kat dalam sana ramai yang meneguk air kencing syaitan tu. Bukan itu je, malah jackpot pun ada. Dah kalau ada benda-benda begitu, dah tentu-tentu ada GRO dan perempuan sebagai pelayan. Hmm... kau rasa?"
Panjang lebar Maria menerangkan kerana dia sememangnya jenis yang cakap lepas dan jujur. Gadis tersebut tidak suka memeningkan kepala dengan berlapik atau berkias bagai. Straight to the point saja. Senang!
Syed mengangguk dan mendengar. Namun perbualan mereka tergendala seketika kerana masing-masing mengisi perut setelah pesanan makanan dihidangkan di atas meja. Tampak kelihatan gelojoh sekali gadis di hadapannya itu. Jauh sangat berbeza perangai Maria masa zaman sekolah dahulu.
Seingatnya, Maria adalah termasuk dalam kategori perempuan yang terlalu menjaga etika semasa makan, imej, berjalan dan juga pergaulan. Semuanya dalam keadaan terkawal bukan main hentam keromo begini. Itu yang membuatkan Syed berasa hairan yang teramat.
Banyak yang pemuda itu ingin tanyakan, tetapi dia tidak mahu terburu-buru.
"Blrrr! Ops, sorry!"
"Sokey. Janji kau kenyang."
"Thanks, Syed." Ucap Maria sambil menyedut habis minumannya.
Seketika, jam di tangan kiri Maria dikerling. Suasana di luar sana semakin merangkak ke tengah malam. Hatinya dipagut kerisauan. Akan tetapi, ia segera dihapus supaya Syed tidak perasan.
"Kalau dah sudah, aku hantar kau baliklah. Tak manis anak dara balik sorang diri lewat malam macam ni..." Lelaki itu mula berdiri seraya berlalu ke kaunter pembayaran.
'Alamak! Takkanlah dia nak hantar aku balik pulak ni? Aduh, mamat ni. Kenapalah dia baik sangat? Aku ni pantang kalau lelaki baik dengan aku. Semacam kurasa,' bisik hati kecil Maria.
Nak beralasan apa lagi dia tika ini? Dia buntu.
"Marilah, aku hantar kau balik..."
"Ha? Oh, em... tak payahlah. Nanti aku pulang sendiri." Si gadis cuba menolak sebelum pelbagai lagi penipuan yang dia tampalkan.
Maria sendiri sudah menjadi serba-salah. Tapi apakan daya, cuma itu saja caranya untuk melepaskan diri. Dia tidak mahu menyusahkan dan berhutang budi. Bahaya.
"Habis tu, kau nak balik macam mana? Pakai Grab? Uber? Teksi? Haih! Maria, ini dah lewat malam. Janganlah nak ikut kenderaan awam macam tu. Bahayalah. Kau tu perempuan. Macam-macam boleh jadi."
Syed sudah berlalu menuju ke parkir keretanya, "Cepatlah masuk. Aku nak hantar kau, bukan nak buat apa-apa pun. Haih. Aku pun dah nak kahwinlah."
Berkerut dahi Maria, 'Beriya je dia bagitahu semua tu. Aku tak nak bukan sebab itulah tapi kalau dia hantar aku balik, boleh kantoilah aku kalau macam ni. Haish!'
YOU ARE READING
Abang Si Penjagaku [$U]
Teen Fiction♡♡♡Kisah seorang abang yang terlalu bertanggungjawab dalam menjaga adik perempuannya seorang itu. Si adik yang mudah jatuh cinta, degil, tak dengar kata dan keras kepala♡♡♡ "Abang jahat! Abang kongkong hidup adik. Abang buli adik. Abang juga larang...