HANYA bunyi mesin denyutan jantung itu sahaja menjadi penemannya. Sekaligus terciptalah sebuah melodi 'asing' yang mengisi segenap ruangan sunyi berkenaan.
Wayar yang berselirat serta wajah tua yang tidak sedarkan diri itu ditatap tanpa jemu. Kekura kanan Syed Syazwan dikucup dalam genggamannya.
"Ayah, bangunlah. Syed datang ni." Dari tadi lagi dia merayu sedemikian rupa. Ingin saja dia menggogoi di situ. Namun, sedaya upaya dia menahannya.
"Kenapa ayah tak bagitahu Syed yang ayah pulang ke Malaysia? Kalau tak, Syed boleh jemput ayah..."
Sepi. Kelopak mata yang mula dikaburi dengan air mata, segera dihapus oleh jemari anak muda berkenaan. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan heronya.
"Ayah nak tahu tak? Syed dah jumpa Syaf. Dia semakin cantik dan sekarang ni, dia dah pakai tudung. Siap berpurdah lagi, ayah. Syed suka. Sejuk saja mata memandang..."
Si anak cuma mengawal sendu dengan berbicara seorang diri. Mana tahu Syed Syazwan sedang memasang telinga tika itu. Mungkinlah.
"Syaf kirim salam sayang pada ayah. Dia rindukan ayah sangat-sangat, tahu? Dia nak jumpa ayah jadi ayah kenalah bangun cepat-cepat..."
Dia kucup lagi jemari sang ayah. Bebola mata yang semakin memerah, cuba 'disorokkan'.
"Kalau ayah nak tahu. Syed dah nekad nak memperisterikan Syaf, ayah. Syed tak nak Syaf jauh daripada Syed. Syed juga tak mahu lagi kehilangan Syaf buat kali yang kedua. Ia sangat sakit, ayah. Syed terpaksa pendam rindu Syed gara-gara Syaf tak ada di sisi kita. Bukan sehari dua, tapi bertahun lamanya..."
Tanpa sempat ditahan lagi, mutiara jernih telah berlumba-lumba turun lantas membasahi pipi Syed. Mata dipejam seketika sambil dirinya mengatur nafas. Banyak benda yang dia ingin luahkan.
"Syed juga dah bertemu dengan Mak Cik Syarifah, ayah. Haih. Dia masih marah dan bencikan Syed disebabkan sikap Syed sembilan tahun yang lalu. Itu pasallah waktu Syed nak melamar Syaf, macam-macam cara dia buat supaya Syed give up."
Tika itu juga terbayang mimik muka kurang senang Syarifah terhadapnya. Ah. Salahnya sendiri juga. Jika dahulu dia boleh mengawal amarah, tidak adalah Syafiq itu dia belasah di depan ibunya sendiri. Setelah itu, tak reti pula nak minta maaf.
Tengoklah sekarang, bukan main berdendam lagi Syarifah dengannya. Tidakkah ia merumitkan lagi keadaan?
"Mak Cik Syarifah ada kenakan beberapa syarat untuk Syed kalau Syed betul-betul nak kahwin dengan Syaf, ayah. Hmm... syarat yang pertama tu, memang cekik darah tapi Syed masih boleh terima."
Jeda. Syed merenung keluar tingkap. Dia sedang menimbang akal. Apakah patut dia berterus-terang sahaja atau biarkan Syed Syazwan tidak mengetahui apa-apa? Tapikan... lelaki itu adalah salah satu darah dagingnya. Takkanlah nak berahsia lagi?
Agak sulit dia ingin membuat keputusan. Namun seperti orang tua-tua kata, terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata, buruk padahnya.
Tapi bagi Syed, ia bukanlah buruk mana. Sebenarnya, tak ada efek apa-apa pun. Cuma dia khuatir kalau-kalau si ayah terperanjat lagi apabila mendengar permasalahannya.
Dah alang-alang dia membuka cerita, ada eloknya jika dia teruskan saja.
"Errr... sebenarnya, Mak Cik Syarifah nak duit hantaran RM100 000 serba dua, ayah. Ta... tapi kalau itu, Syed masih boleh terima lagi. Cuma syarat kedua tu... Syed tak yakin yang Syed boleh buat..."
Syed menunduk. Dahinya dipicit beberapa kali. Ah, syarat kedua itu merupakan masalah terbesar buat dirinya.
Agak-agaknya, dia mampu ke?
YOU ARE READING
Abang Si Penjagaku [$U]
Teen Fiction♡♡♡Kisah seorang abang yang terlalu bertanggungjawab dalam menjaga adik perempuannya seorang itu. Si adik yang mudah jatuh cinta, degil, tak dengar kata dan keras kepala♡♡♡ "Abang jahat! Abang kongkong hidup adik. Abang buli adik. Abang juga larang...