Halaman 68

58 3 2
                                    

SUASANA di situ terasa membahang lain macam. Padahal cuaca di luar sedang hujan. Ketiga beranak tersebut masih berdiam diri. Membisu buat beberapa ketika.

"Jadi macam mana, Inah?"

"Tapi ibu... bukan ke kita sedang tunggu Abang Syed untuk buktikan apa yang dia telah janjikan dengan kita, tempoh hari? Takkan ibu dah lupa?"

Syarifah mencicip air kopi dalam cawan tatkala puterinya bertanyakan hal demikian sebelum meletakkan ia kembali ke atas pinggan.

"Ibu tak pernah lupa janji ibu. Cuma dia sendiri yang tak tunaikan janji dia. Dia kata, dia setuju. Tapi sampai hari keempat begini pun, batang hidung dia tak nampak. Huh."

"Hmm... mungkin Abang Syed ada hal sampaikan dia berhalangan untuk ke sini. Manalah tahu, ibu."

Syafiq hanya memasang telinga. Tidak berkeinginan untuk membuka suara. Dia nak tahu apa sebenarnya yang cuba ibunda tercintanya itu sampaikan kepada mereka.

"Sekali pun berhalangan, kenapa dia tak berusaha untuk bagitahu kita? Itu dikira sebagai seorang pengecut. Kalau dia tak dapat terima syarat ibu, sepatutnya dia beritahu awal-awal."

"Err... kita bagi dia masa lagi, ibu?"

Syarifah menatap tajam ke arah Inah, "Nak bagi dia masa apa lagi? Persetujuan hari tu dah terikat. Kalau dia mungkir janji, ibu ada hak nak carikan calon lain untuk kamu."

"Ibu..." Suara Syafiq kedengaran jua.

"Kenapa, Iq? Kamu pun nak membangkang kata-kata ibu?"

Anak muda itu menggeleng, "Bukan maksud Iq macam tu. Tapi Syed masih punya baki waktu selama tiga minggu lagi. Tak apa kan kalau kita tunggu?"

Syarifah berpeluk tubuh dan pandangannya ditala ke luar tingkap ruang tamu.

"Esok, ibu akan ajak Firdaus datang ke rumah kita. Biar Inah berkenalan dengan dia dulu. Pasal Syed tu, ibu malas nak fikir. Bukan dia seorang saja lelaki dalam dunia ni."

Sebuah nama asing meluncur laju dari bibir Syarifah tanpa memberi respon kepada soalan si anak sulung. Ia mengakibatkan dua beradik berkenaan berpandangan seketika.

Wanita itu tidak peduli mengenai Syed. Yang dia tahu, dia perlu bertindak dengan segera. Kerana dia yakin bahawa Firdaus boleh membahagiakan anak gadisnya.






SENTUHAN di bahu kirinya menyebabkan individu tersebut berpaling. Wajahnya yang sugul kelihatan.

"Kau masih tak jamah makanan yang aku belikan semalam?" soal Mokhtar sebelum berdiri di tepi katil pesakit.

"Hmm... aku tak ada seleralah, Mokh." Syed membalas dengan nada yang perlahan. Dia langsung tidak punya semangat untuk berbuat apa-apa termasuklah mengisi isi perut sendiri.

"Kau jangan macam tu, Syed. Aku faham keadaan kau tapi kesihatan kau pun penting juga. Dah empat hari kau tak lalu makan ni. Setakat sesudu dua, takkan bagi kau tenaga..."

"Aku risaukan keadaan ayah akulah, Mokh."

"Ya, aku tahu. Tapi kalau kau tak makan, nanti kau pula yang sakit. Lepas tu kalau kau sakit, kau tak larat nak jaga ayah kau, Syed."

Keluhan berat terluah dari mulut Syed lantas dia mengangguk.

"Okeylah, aku makan."

"Bagus! Nah, aku ada belikan nasi ayam untuk kau. Pastikan kau habiskan semua ni."

Mokhtar berasa gembira sebelum mereka berdua duduk di sebuah sofa sambil membuka polistirena masing-masing.

Seusai doa makan dibaca, Syed mula menyuap nasi ke dalam mulut. Nampak sangat dia kelaparan tetapi lelaki itu sanggup mengikat perut.

Abang Si Penjagaku [$U]Where stories live. Discover now