TUDUNG yang beralun lembut ditahan agar tak tersingkap menampakkan auratku. Memandangkan keadaan aku dibimbangi masih belum cukup kuat untuk menyertai sesi hari ini, maka aku dikecualikan. Terlepas peluang aku untuk mendaki bukit bagi melihat kincir angin Pulau Perhentian yang disebut-sebut semua.
Pada mulanya, Tania menawarkan diri untuk temankan aku, tapi aku menolak. Kasihan pula kalau dia lepaskan peluang nak menikmati segala aktiviti anjuran Family Day kali ini. Lagipun ada beberapa lagi peserta yang tak mendaki sama atas alasan punya anak kecil.
Punggung dilabuhkan ke kerusi yang tersedia di tepi pantai. Bunyi desiran ombak buat aku terkenang kembali bicara aku bersama Hud semalam.
"We got a huge line between us."
Entah kenapa, aku jadi tersindir dengan nadanya semasa menuturkan ayat itu. Kedengaran agak sinis pada pendengaranku.
Tapi aku sedar, antara aku dan dia memang ada satu jurang yang sangat besar. Dia bos, anak saudara pemilik syarikat. Aku, apa yang ada? Bila-bila masa dia boleh gantikan aku dengan orang lain kalau dia mahu.
"Dah sampai mana tu?"
Refleks, kepala ditoleh menghadap si pemanggil. Kak Diana rupanya. Aku senyum segaris.
"Kak Di. Duduklah." Aku berinjak ke tepi, memberi ruang untuk Kak Diana duduk. Sempat juga aku kenyit mata pada si kecil Daniel.
"Yara macam mana? Okey? Akak nampak semalam, boleh tahan laju juga bola tu meluru kena kepala Yara."
"Okeylah sikit. Ni pun berdenyut juga pipi ni, nak makan pun azab." Pipi yang sudah surut bengkaknya aku usap perlahan.
Suasana bertukar sunyi sejenak. Lama berfikir, aku pandang semula Kak Diana seraya berkata, "Hmm... kak. Saya nak tanya sikit."
"Tanya apa?"
"Betul ke... err... Encik Hud marah-marah semalam?"
Kak Diana mengangguk kecil.
"Dia marah Irsyad lepas game habis. Hampir bertumbuk jugalah, nasib baik ada yang tolong leraikan." Bulat mataku mendengar pernyataannya. Wah... sampai bertumbuk? Ini yang buat aku tak senang duduk ni.
"Yara tahu, habis semua orang bercakap pasal ni. Dia orang kata Encik Hud tu ada something special dengan Yara."
"Something special apanya kak, saya ni PA dia je. Normal la kut dia risau, saya kan PA dia," kataku. Pinjam ayat Hud semalam.
"Tapi risau dia lain Yara. Mana ada bos siap nak bertumbuk sebab staf dia tercederakan staf dia yang lain."
Aku terdiam. Betul juga. Yang Hud ni pun, sampai bertumbuk dah kenapa? Ish, menyerabutkan!
"Tak adanya kak. Mungkin dia memang jenis protective dengan perempuan kut? Kalau ada mana-mana perempuan kat tempat saya, mungkin juga dia buat benda sama." Aku cuba menyatakan hujah lagi. Biarlah kalau kedengaran tak logik pun, asalkan aku tak digosipkan lagi dengan Hud.
"Akak tak pelik pun sebenarnya kalau ada yang bercakap-cakap pasal Yara dengan Encik Hud. Pasal kamu berdua ni rapat dia memang lain macam. Encik Hud tu pegang jawatan tertinggi, tapi rapat dia dengan Yara macam kawan-kawan yang setaraf dengan dia."
"Yara faham maksud akak, kan? Akak bukan nak kata Yara ni taraf rendah ke apa. Cuma orang yang pegang jawatan general manager ni biasanya jaranglah nak bergaul dengan staf bawahan macam kita ni. Salah satu contohnya, Encik Megat dulu," tambahnya lagi.
Aku angguk faham. Itulah, aku pun pelik juga sebenarnya. Tak salah pun dia nak tunjuk sikap mesra dengan semua pekerja, tapi kenapa dengan aku macam berlebih-lebihan pula?
YOU ARE READING
Her Imperfect Guy [completed]
RomanceYARA | HUD "Kerana ketidaksempurnaanmu sentiasa terlihat indah di mataku." Di sebalik keteguhan susuk tubuh itu serta dalam kedinginan tingkah yang dipamerkan, ada satu rahsia gelap yang cuba disoroknya serapi yang mungkin. Hud Zarrar. Pada perspekt...