BEBERAPA bulan berlalu. Selepas hari kami melawat pusara arwah ibu Hud, tempat itu menjadi tempat yang wajib kami kunjungi sekurang-kurangnya dua minggu sekali. Pada mulanya aku risau kalau Hud meratapi pemergian ibunya, tapi bila melihat dia yang semakin hari semakin bersemangat, aku tahu dia tak akan berbuat demikian.
Kalau sebelum ini dia mampu hidup tanpa mengenali ibunya, kenapa sekarang tak boleh, kan? Bukanlah maksud aku dia perlu melupakan ibunya. Rindu itu tetap ada tapi biarlah kena pada tempatnya. Yang hidup perlu terus hidup dan mara ke hadapan, betul tak?
Yang paling penting, hubungan Hud dan Megat Emir juga semakin membaik. Dah boleh bergurau senda dan duduk semeja sekarang ini. Syukurlah mereka tidak lagi sedingin dahulu. Farhan juga telah berpindah ke Dubai, khabarnya cuba memulakan hidup baharu di sana.
Aku dan Hud pula?
Semestinya semakin bahagia. Lupakan segala kisah silam, kami akan terus meniti garisan takdir yang telah terukir buat kami di Luh Mahfuz. Saling melengkapi antara satu sama lain.
Cuma sekarang, ada satu masalah baharu.
"Assalamualaikum." Salam kedengaran dari luar rumah ketika aku sedang membersihkan ruang tamu. Pembersih hampagas aku matikan.
"Waalaikumussalam. Lambat balik?"
"Ada masalah sikit tadi. Flight klien tu delayed. Itu yang lambat." Hud labuhkan punggungnya di sofa. Baru aku hendak mendekati, tiba-tiba tangannya diangkat tinggi, menahan pergerakanku.
"Yara pakai perfume ke?"
Terkebil-kebil sesaat aku dengan soalannya.
"Err... haah?"
"Yang biasa tu ke?"
"Yalah."
"Kenapa?" Aku bertanya apabila menyedari mimik wajahnya seakan berkerut menahan ketidakselesaan.
"Minta maaflah abang cakap ya. Perfume ni busuklah!" ujarnya sambil menutup hidung. Tersentap hatiku mendengar komennya.
"Oh... Mentang-mentanglah dah dapat, semua dia kata busuk! Dulu masa belum dapat, semua yang busuk pun aci redah aje, kan?" Tangan mula naik ke pinggang. Marah. Gila tak marah kalau dah suami sendiri yang sebut perkataan busuk itu?
"Bukan macam tu... Abang tak kata Yara yang busuk, tapi perfume tu!" Jemarinya masih menyepit hidungnya.
"Samalah tu! Abang ni jahat! Abang dah tak sayang Yara, kan?"
"Ya Allah, bukan... Bukan macam tu..."
"Dah tu?"
"Sayang..." Dia bangkit menghampiriku. Baru tangannya lepas dari hidung, sepantas kilat juga dia menutup semula. Malah kali ini, dia terus berlari mencari tandas. Sama seperti hari-hari sebelum ini.
"Yalah! Yara dah tak cantik! Dah tak wangi, tak sama macam dulu. Sebab tu dah tak sayang! Lelaki... semua sama!" pekikku kegeraman. Argh, stres!
Ya! Inilah masalahnya. Sejak beberapa hari belakangan ini, Hud memang bikin darah aku naik ke kepala. Sehari tak bertekak tak sah. Puncanya?
YOU ARE READING
Her Imperfect Guy [completed]
RomanceYARA | HUD "Kerana ketidaksempurnaanmu sentiasa terlihat indah di mataku." Di sebalik keteguhan susuk tubuh itu serta dalam kedinginan tingkah yang dipamerkan, ada satu rahsia gelap yang cuba disoroknya serapi yang mungkin. Hud Zarrar. Pada perspekt...