038

2.2K 163 4
                                    

"APA yang abang boleh kata, darah muda memang senang terpengaruh. Apa yang orang buat, kita jadi mudah terikut. Dalam kes abang, abang terjerumus ke dalam dunia songsang disebabkan pornografi."

"Apa-apa perkara pun, dia akan mula dengan benda yang kita rasa kecil dan ringan je. Mula-mula tengok kononnya sebab curious, lama-lama jadi ketagih. Bila ketagih, keinginan nak mencuba pula datang." Aku mengangguk. Setuju dengan kata-katanya.

"Satu prinsip yang abang pegang, abang tak akan rosakkan perempuan. Mungkin sebab abang faham apa rasanya jadi anak luar nikah. Disebabkan abang memang menolak keras tengok video yang 'biasa', mereka ajak abang tengok video..." Hud biarkan ayatnya tergantung. Tak perlu dia sebut, aku dah cukup faham.

Bukan video 'biasa', tetapi video yang lebih jijik daripada yang 'biasa'. Pornografi sesama jenis.

Penceritaannya terhenti sejenak. Dapat aku lihat pelbagai reaksi sedang bergayutan di wajahnya sekarang. Yang paling ketara, riak penuh sesalan yang tak berpenghujung.

"Abang, kalau..."

"Tak apa, abang nak cerita juga supaya tak ada salah faham antara kita lagi."

"Selama tiga tahun, bermula dari tingkatan tiga sampai habis sekolah, abang dan ketagihan abang memang tak dapat dipisahkan. Sehinggalah abang terbang ke Amerika."

"Abang jumpa Farhan," ujarku perlahan. Rasanya jalan cerita sekarang semakin jelas. Cuma apabila fikiran teringatkan sesuatu, riakku perlahan-lahan bertukar gusar.

"Kalau Yara fikir abang berlebih-lebihan dengan dia, Yara silap. Sebodoh-bodoh abang pada masa tu pun, abang tak tergamak nak lakukan sesuatu di luar tabii." Pantas Hud menafikan tanggapan yang bermain di fikiranku.

"Silap abang ada dua di sini. Satu, abang tak mampu kekang kehendak nafsu sendiri. Dua, abang pilih untuk cari kasih sayang dengan cara yang salah. Abang akui, kekurangan perhatian sejak kecil antara punca abang mula mencari teman. Teman mengadu, teman yang mampu bagi abang perhatian. Walhal, abang lupa mama dan papa sedaya-upaya berbagi kasih sayang mereka secukupnya untuk abang."

"Dua tahun abang 'berteman' dengan Farhan. Sampailah satu hari, abang rasa apa yang abang buat ni salah. Abang lelaki, kenapa nak berpasangan dengan lelaki?"

"Sebab tu abang mula cari perempuan?" tekaku dan disambut dengan keluhan daripadanya.

"Abang tamatkan semuanya dengan Farhan dan mula cari perempuan. Sekali lagi, abang tersalah langkah. Keluar mulut buaya, masuk mulut harimau. Abang hanyut dalam nikmat palsu dunia yang melalaikan."

Dia ukir senyuman pahit.

"Tatu yang abang ada ni pun, atas sebab yang sama juga. Kononnya untuk nampak lebih manly dan bebas daripada belenggu perasaan songsang, abang ukir corak-corak hodoh ni. Sumpah kalau boleh ulang masa, sesaat pun abang tak akan cuba-cuba untuk tengok benda-benda kotor tu." Hud mengeluh lagi buat kesekian kalinya. Tiada apa yang mampu aku buat, melainkan hanya mendengar dan beristighfar berkali-kali di dalam hati.

Benarlah kata orang. Sebesar-besar dosa akan sentiasa bermula dengan secebis kejahatan waima sebesar zarah. Hud mungkin pernah tersilap langkah, namun siapalah aku untuk menghakimi dia? Sedangkan tiada yang maksum melainkan para nabi dan wali sahaja.

"Tapi syukurlah abang dapat hidayah dan taufik lalu kembali ke pangkal jalan, kan? Dah berubah dan tinggalkan semua benda-benda buruk dan sentiasa bertaubat kepada-Nya. Yara yakin Allah terima segala taubat abang," kataku lembut, enggan dia terus-terusan terkenangkan kisah silamnya.

Her Imperfect Guy [completed]Where stories live. Discover now