BUNYI pancuran air dari dalam bilik air mengejutkan aku dari lena. Telefon di night stand dibelek, spontan mataku meluas.
Mak, dah pukul lapan!
Kelam-kabut aku bangkit dari pembaringan dan mengemas bantal serta selimut yang berselerakan. Serentak dengan itu, pintu bilik air terbuka kedengaran.
"Eh? Dah bangun rupanya." Hud yang keluar ber-bathrobe menyapa. Aku cuma menjeling sekilas ke arahnya.
"Kenapa tak kejut Yara? Dah pukul lapan tau!" marahku. Dalam kepala mula terfikir 1001 kemungkinan presepsi yang ada dalam fikiran ibu mentuaku.
Aku tahu Datin Aishah itu baik. Tapi hati orang bukannya kita tahu. Nak-nak pula dah bergelar menantu, lagilah segan aku nak buat perangai buruk depan mentua. Termasuklah perangai bermalasan di pagi hari seperti ini.
"Abang tak sampai hati sebab Yara nampak macam penat. Lagipun Yara tak boleh solat, kan? Sengaja abang bagi rehat lama-lama." Mudah Hud menjawab.
"Masalahnya kalau kat rumah kita tak apalah. Ini rumah mama dengan papa. Nanti apa pula kata mama?"
"Mama mesti faham. Kita kan pengantin baru." Hud senyum senget di hujung kata. Ha, dia dah mula perangai dia!
Belum pun 48 jam bersama dia, dah macam-macam personaliti lain Hud keluar. Macam tak percaya pun ada Hud yang sekarang ini merupakan Hud yang sama bergelar bos aku di pejabat. Perangai nakalnya, tak terampun!
Enggan melayan Hud yang masih menayang riak nakalnya, segera aku berlalu ke bilik air.
"Dah turun pengantin kita. Lena ya tidur?" Datin Aishah menyapa tatkala aku dan Hud memasuki ruang dapur. Aroma harum serta-merta menerjah rongga hidung.
Bila tengok meja makan, masya-Allah! Meriah betul. Nasi lemak dengan tiga jenis sambal, mana tak kecur liur aku dibuatnya. Sempoi betul keluarga suami aku ni, langsung tak ada english breakfast dengan segelas jus oren seperti tipikal orang kaya dalam drama Melayu.
"Terima kasih," ucapku tika Datin Aishah menghulurkan pinggan. Nasi dicedok buat Hud dan aku.
"Papa mana ma?" soal Hud.
"Tadi kawan dia datang, ajak melepak kat kedai mamak sana. Sekejap lagi baliklah kut."
"Mama tak cemburu eh?"
"Apa nak cemburu?" Soalan berbalas soalan.
"Yalah, selalu aje mama bagi papa lepak-lepak. Kalau dengar cerita kawan-kawan Hud, fuh. Nak lepas sekejap beli groceries pun panjang lebar pesanan dia," ujar Hud seraya menjeling ke arahku. Eh, eh dia ni. Pandang-pandang kita kenapa pula?
Datin Aishah tersenyum. "Biasalah perempuan. Kadang-kadang mesti ada overthinking juga tapi mama tetap percaya dengan papa. Tak salah pun dia nak keluar sesekali dengan kawan dia. Kesian juga kalau 24 jam asyik menghadap muka mama je, tak gitu Yara?"
"Hah? Err, betul tu," jawabku spontan. Terkejut aku tiba-tiba nama sendiri kena petik.
"Hari ni ke mana kamu berdua ni? Takkan duduk rumah saja kut?"
"Hud nak bawa Yara tengok rumah. Mungkin pindah masuk teruslah kut. Rancangnya nak beli groceries sekali nanti," ujar Hud. Dari semalam lagi dia dah bagitahu aku tentang perancangannya untuk membawa aku melihat rumah kami.
Ah, rumah kami! Manis pula rasanya bila disebut berulang kali.
"Tak ada rancangan ke mana-mana? Bulan madu, bermadu kasih?" Datin Aishah menyoal lagi. Aku pandang Hud selaku nakhoda bagi bahtera yang sedang kami layari ini.
YOU ARE READING
Her Imperfect Guy [completed]
RomanceYARA | HUD "Kerana ketidaksempurnaanmu sentiasa terlihat indah di mataku." Di sebalik keteguhan susuk tubuh itu serta dalam kedinginan tingkah yang dipamerkan, ada satu rahsia gelap yang cuba disoroknya serapi yang mungkin. Hud Zarrar. Pada perspekt...