MISI menjelajah segenap Kuala Terengganu dimulakan demi sehelai batik buat ibu Hud. Dari kedai-kedai kecil, butik, sehingga ke tempat mencanting batik, belum ada satu pun yang berkenan di hati Hud Zarrar!
"Encik, dah dekat 15 kedai tau kita masuk ni. Bila encik nak belinya?" rungutku ketika masuk ke dalam kereta. Banyak ragam sungguhlah bos aku yang ini.
"Dah semua tak cantik, nak buat macam mana," balasnya selamba. Ini kalau tuan kedai-kedai tadi dengar, mahu Hud dapat penampar Jepun sedas.
Brek tangan diturunkan dan kereta mula mengundur meninggalkan pekarangan kedai. Dalam kepala aku mula ligat berfikir, mana lagi tempat yang boleh aku bawa demi memuaskan hati seorang Hud.
Hmm... hah! Kenapalah aku tak terfikir dari tadi?
"Saya ada tempat terakhir nak tunjuk dekat encik. Kalau tak berkenan juga, encik kena hantar saya balik. Saya penat."
"Kat mana?"
Aku keluarkan telefon dan aplikasi Google Maps dibuka. Lokasi ditaip sebelum diserahkan kepadanya. Dah malas nak bercakap, bukannya dia nak belanja aku minum pun dari tadi!
"Pasar Payang, hmm... Okey. Betul ni tempat terakhir yang awak boleh tunjuk?" Aku angguk. Kalau dia tak berkenan juga, memang aku sendiri yang akan bawa kereta dia ni hantar aku balik rumah.
Hampir 20 minit perjalanan, papan tanda 'Pasar Kedai Payang' mula menyapa pandangan. Aku sebagai rakyat negeri ini, memang jarang ke sini memandangkan tempat ini merupakan hotspot bagi para pelancong yang datang ke mari.
Kereta diparkir berhampiran pintu masuk. Tengok bilangan manusia yang ada pun aku dah rasa penat. Aci tak kalau aku tak nak ikut Hud masuk?
"Yara?" Aku pandang Hud yang berdiri di luar kereta. Keluhan dilepaskan.
"Ya encik, saya nak turunlah ni." Masam mencuka mukaku tatkala menutup pintu kereta. Hud ni dah macam budak kecil sejak kami sampai di bumi ini. Tak boleh berenggang sikit dengan aku!
Langkah kaki dipaksa mengekori langkah panjang Hud. Senyuman paksa diukir apabila sesekali dia menoleh memandang aku.
Saya penat encik, faham tak saya penat? Dahlah encik langsung tak bagi saya makan! Dah macam pelarian Somalia pula aku rasa.
Kedai pertama dikunjungi. Aku biarkan Hud sendiri berunding dengan jurujual. Biar dia berperang sendiri dalam pekatnya dialek Terengganu. Aku malas nak jadi translator untuk dia.
Keliru juga aku. Hud ni lelaki ke perempuan? Selalunya stamina lelaki ni kalau bab membeli-belah memang negatif. Yadi adikku itu kalau aku ajak ke kedai runcit pun dah merungut kalah apa.
Kriuk...
Perut yang berbunyi ditekap dengan tangan. Lapar! Masalahnya, macam mana aku nak ajak dia makan sekarang ni?
Takkanlah nak kena merengek kelaparan pula? Ish, memang jelas itu bukan cara seorang Yara Alayna.
"Yara, pilih satu untuk awak, satu untuk mak awak." Suara Hud membawa aku kembali ke realiti. Terangkat keningku mendengarnya seraya kepala digelengkan.
"Eh, tak payahlah Encik Hud."
"Pilih. Anggap saja tanda berterima kasih sudi terima saya sebagai tetamu. Atau awak nak saya pilihkan?"
YOU ARE READING
Her Imperfect Guy [completed]
RomanceYARA | HUD "Kerana ketidaksempurnaanmu sentiasa terlihat indah di mataku." Di sebalik keteguhan susuk tubuh itu serta dalam kedinginan tingkah yang dipamerkan, ada satu rahsia gelap yang cuba disoroknya serapi yang mungkin. Hud Zarrar. Pada perspekt...