039

2K 164 1
                                    

SEMERBAK bau harum dalca naik memenuhi ruang. Hari ini ibu mentuaku menjemput kami untuk makan tengah hari di rumahnya, alang-alang tunang Megat Emir, Puteri mahu bertandang sama. Cakap pasal Puteri, aku pun tak sangka sebenarnya wanita itu masih setia dan sabar dengan perangai buaya darat Megat Emir.

Benarlah orang kata, cinta itu membutakan. Yang pasti kalau aku jadi dia, memang bye byelah jawapan yang akan aku berikan. Bukan jenis aku nak terhegeh-hegeh pada yang acuh tak acuh.

Sedang aku mengelap pinggan yang mahu digunakan, Hud tiba-tiba masuk dan tayang sengih lebarnya. Aku sekadar menggeleng tatkala Hud memandang Datin Aisyah dengan senyuman panjang. Aku panggil itu senyuman jahat.

Hmm, adalah tu yang nak dimulakan. Bukannya boleh jangka sangat perangai suami aku yang seorang ni. Kadang-kadang aku sendiri naik hairan, yang bergelar suami aku ini umurnya 33 atau tiga tahun? Nakalnya kadang kala tak terperi! Buat kepala aku pun pusing nak melayan.

Setapak, dua tapak... Hud buat isyarat jari di bibir lalu...

"Mama!"

"Oh sayang Megat Muhammad!" Nyaring suara Datin Aishah melatah. Spontan, tawa Hud bergema kuat manakala bibirku terketap menahan tawa.

"Aduh!" Dahinya berkerut seribu tatkala sebiji sudip menampar kekura tangannya.

"Itu makan dia. Nasib baik senduk panas ni tak tercampak ke muka awak," bebel Datin Aishah sambil menggeleng panjang. Aku buat muka mengejek bila Hud pandang aku.

Padan muka kena ketuk!

"Mama berangan eh tadi? Siap sebut apa? Sayang Megat Muhammad? Amboi... bukan main sayang dengan papa!" Hud masih dalam mood mahu mengusik ibunya.

"Biarlah. Awak pun dia kali lima juga, kan?"

"Betul, pandai mama teka. Hud ni memang sayang sangat isteri Hud yang cantik tu." Eh dia ni, nama aku juga yang kena petik. Depan-depan mama juga dia nak buat perangai miang tiga suku dia.

Dengar suara Datin Aisyah tertawa halus.

"Bab bermulut manis, memang nombor satu. Awak sambung kacau ni, mama nak naik bilik sekejap." Senduk bertukar tangan dan kemudian kami ditinggalkan berdua di ruang dapur ini. Mata Hud mengerling ke arahku.

"Sayang tolong abang, boleh? Abang tak retilah masak-masak ni." Terkelip-kelip matanya meminta bantuanku.

"Sebab tak retilah kena belajar."

"Nak belajar boleh, tapi bukan kat sini. Belajar masak ni lagi best kalau kita berdua je."

Seperti biasa, laju cubitan berbisa aku hinggap di perutnya mendengarkan kata-katanya. Tak makan saman betul mamat seorang ni!

Hud berlalu keluar dari dapur tatkala suara Dato' Megat menyerunya dari ruang tamu. Sedang aku leka mengacau kuah, ada kelibat yang tiba-tiba berdiri sedikit jauh di sisiku.

"Hairan, kan?" Suara itu berbunyi. Aku sekadar diam tak membalas.

Malas nak layan manusia tak bertamadun sebenarnya.

"Awak ni perempuan normal setahu saya. Tapi itulah, saya hairan. Macam mana awak boleh hidup dengan lelaki songsang ya?"

"Kalau tak ada benda yang baik encik nak cakap, baik encik tutup mulut encik," bidasku laju. Sakit hati terasa mendengar tohmahan Megat Emir tentang Hud.

Kedengaran suaranya tertawa sinis.

"Hai, marah? Tak adalah, saya bukannya apa. Curious. Tak takut ke kalau satu hari nanti awak diduakan dengan seorang... lelaki?"

Her Imperfect Guy [completed]Where stories live. Discover now