A/N : Tetap Disini by Tri Suaka for this chapter. Selamat membaca!
BINAAN setinggi 29 tingkat ini aku pandang dengan 1001 rasa. Gila, betul-betul gila rasanya apabila aku buat keputusan untuk ke sini di kala jarum jam menghampiri jam satu pagi.
Setelah berfikir sedalam-dalamnya, aku ambil keputusan untuk kembali semula. Begitu nekad aku ambil tiket feri jam 8:00 malam, dan kemudiannya terus meredah kesunyian malam di lebuhraya demi memandu pulang ke rumah.
Malangnya tadi ketika aku sampai di rumah, kereta Hud tidak kelihatan di tempat yang sepatutnya. Jadi, di sinilah aku sekarang.
"Puan Yara betul ke nak naik seorang ni? Atau perlu saya teman sampai ke pejabat Encik Hud?" Pengawal keselamatan syarikat menyoal buat kesekian kalinya. Risau benar dia tatkala aku menyatakan hasrat mahu naik secara berseorangan.
"Tak apa, saya boleh naik sendiri. Bukannya tak biasa." Aku menolak sopan, enggan menyusahkan dia.
Lagipun, ini hal rumah tangga aku dan Hud. Tak perlu campur tangan orang lain, biar semuanya kekal antara kami berdua sahaja.
Aku boloskan diri ke dalam lif. Gerun memanglah gerun. Dengan keadaan yang gelap dan sunyi, mana mungkin fikiran tak berimaginasi yang bukan-bukan. Aku ni pun bukannya jenis yang pemberani.
Tak apalah, ini demi aku dan dia.
Ting! Pintu lif terbuka. Kornea mata serta-merta membesar dalam kegelapan, kaki diayun laju terus ke pejabat Hud di hujung sebelah barat. Dari kejauhan, aku nampak lampu biliknya masih terang-benderang.
Namun bidai yang menutupi separuh panel kaca yang menjadi pemisah membuatkan aku tidak dapat melihat sedang apa dia di dalam sana. Nafas dihela dalam-dalam. Berdebar, tapi aku dah sampai di sini. Tiada lagi jalan untuk berpatah semula.
Tok, tok.
Sepi, tiada sahutan.
Tok, tok.
Masih sunyi.
Akhirnya untuk ketukan yang ketiga, aku terus menguak pintu sedikit demi sedikit sebelum kepala menjengah melalui celah bukaan pintu.
"Hud..." Kata-kataku terhenti sekerat jalan tatkala figuranya yang terlentok di atas meja menyapa kornea. Bibir mengukir senyuman nipis sebelum kaki mengorak langkah menghampirinya.
Namun, senyumanku langsung mati tatkala menangkap sesuatu yang menyesakkan dada. Sebu mula bermukim apabila terpandangkan potret pernikahan kami di bawah tangan kirinya di atas meja. Bibir diketap kuat, lantas bahunya aku tepuk lembut.
"Hud, bangun."
Tiada sahutan. Tangan beralih menyentuh kekura tangannya. Alangkah terkejutnya aku apabila haba menyapa kulit tanganku. Panasnya!
"Hud, bangun. Awak demam ni."
Beberapa kali cubaan, akhirnya dia mula memberikan reaksi sebelum mengangkat kepala. Dahinya berkerut sambil tangan naik memicit lehernya. Dia menoleh menghadapku.
YOU ARE READING
Her Imperfect Guy [completed]
RomanceYARA | HUD "Kerana ketidaksempurnaanmu sentiasa terlihat indah di mataku." Di sebalik keteguhan susuk tubuh itu serta dalam kedinginan tingkah yang dipamerkan, ada satu rahsia gelap yang cuba disoroknya serapi yang mungkin. Hud Zarrar. Pada perspekt...