MENGGIGIL tanganku memerhati apa yang dihamparkan di hadapan mataku kini. Hampir saja aku jatuh terjelepuk kalau bukan tangan kekar Hud lebih pantas menahan bahuku.
"Apa semua ni abang?" soalku dengan nada yang jelas terkesima.
"Yara, abang boleh explain!"
Aku cuma diam, tak mempedulikan suaranya yang jelas kedengaran terdesak. Terketar-ketar tangan naik menyentuh belakang tubuhnya yang dipenuhi ukiran yang tak pernah aku terfikir. Dari bahu kanan ke bahu kiri, dakwat hitam itu penuh memenuhi kulit badannya sehingga ke bahagian pinggang.
Aku bukannya bodoh tak kenal apa bendanya yang bercorak tribal ini. Dakwat yang disuntik ke dalam darah, atau nama lainnya tatu. Ya. Aku ulang, tatu!
Ya Allah, kejutan apa lagi yang sedang menanti aku kini? Tangan naik memicit kepala tiba-tiba rasa berputar.
Barulah aku faham. Padanlah sejak hari pertama dia tak pernah mendedahkan bahagian belakang badannya kepadaku. Keluar dari bilik air berjubah mandi, tidurnya sentiasa berbaju. Rupanya ada sesuatu yang sedang dia sembunyikan!
"Apa lagi yang Yara tak tahu tentang abang?" Laju lidah menuturkan soalan itu. Wajah ditalakan menghadap wajahnya. Nampak kerutan halus timbul di dahinya.
"Maksud Yara?"
"Abang ada buat kerja lain ke belakang Yara?"
"Apa Yara mengarut ni?"
Spontan, bibirku mengukir senyuman. Cukup sinis.
"Then? Apa lagi yang Yara boleh kata? Tak cukup dengan gambar abang bercium dengan entah perempuan mana, tambah pula dengan apa yang Yara nampak sekarang. Abang nak Yara expect apa?" tempelakku dengan nada yang tertahan. Visual foto dari pengirim misteri tempoh hari kembali menjengah ingatan. Air mukanya berubah dengan serta-merta.
"Yara, abang..."
"You know what, Yara rasa abang terlalu banyak berahsia dengan Yara. Yara sebenarnya tak kenal pun siapa sebenarnya abang. Even from the start, sejak gambar jijik tu dihantar kepada Yara. Cuma Yara yang butakan mata dan terima abang seadanya. Tapi hari ni..."
Bibirku ketap kuat. Tak tahu perkataan apa lagi yang harus aku ucapkan, kecuali satu.
"Yara terkilan. Kecewa. Sangat-sangat kecewa."
"Precious..." Telapak tangan diangkat, menghalang dia daripada terus bersuara. Aku cuma tak mahu mendengar apa-apa saat ini. Semuanya... terlalu tiba-tiba.
"Kalau abang lapar, makanan ada atas meja. Dan untuk malam ni, izinkan Yara hadam apa yang sebenarnya terjadi." Dengan itu, aku terus menonong keluar tanpa menoleh ke arahnya. Fikiranku kosong serta-merta. Buntu. Tak percaya.
Apa semua ini? Apa lagi rahsia yang tersembunyi di sebalik seorang Hud Zarrar?
YOU ARE READING
Her Imperfect Guy [completed]
RomanceYARA | HUD "Kerana ketidaksempurnaanmu sentiasa terlihat indah di mataku." Di sebalik keteguhan susuk tubuh itu serta dalam kedinginan tingkah yang dipamerkan, ada satu rahsia gelap yang cuba disoroknya serapi yang mungkin. Hud Zarrar. Pada perspekt...