BIASAN wajah di cermin aku tatap dengan rasa kosong. Dengan mata yang bengkak dan muka sembap, aku nampak sangat tidak terurus. Akibat terlalu banyak menangisi apa yang telah berlaku.
Bagai orang asing sekali lagi, kami memilih untuk membawa haluan masing-masing. Aku di bawah, Hud di atas. Hud di dapur, aku di bilik. Hud mendekat, aku menjauh. Saling bertentangan, persis kutub utara dan selatan.
Hakikat yang terlalu pahit untuk aku telan. Ternyata lelaki yang aku sangka baik pekertinya punya kehidupan yang jauh lebih ngeri daripada sebuah kematian. Sungguh, setiap kali teringatkan apa yang telah terjadi, aku rasa bodoh. Rasa dikhianati.
Dan aku rasa, bahtera yang kami kemudi bersama ini tiada harapan untuk berlabuh di perlabuhan yang sepatutnya. Apabila anak kapal berjauh hati dengan sang nakhoda, yang tinggal hanya satu kesimpulan.
Bahtera itu karam. Seperti mana situasi aku dan Hud, segala rasa cinta tewas melawan ribut ujian yang hadir antara kami berdua.
Bunyi telefon mematikan lamunanku. Aku sekadar mengerling sekilas nama pengirim.
Mesej daripada Tania. Bertanyakan apa masalah aku sehingga berhari-hari tidak masuk ke pejabat. Malah, sehingga mengabaikan tanggungjawab aku sebagai pembantu kepada Hud. Tak mampu untuk memberi jawapan, telefon aku tutup lalu aku bangkit menuju ke almari. Malas nak menjaja kisah rumah tanggaku kepada orang lain.
Jika terus-terusan begini, aku boleh hilang kewarasan rasanya. Mana mungkin aku boleh mengelak daripada bertembung dengan dia sedangkan kami berada di bawah satu bumbung yang sama? Bagasi dari tepi almari aku tarik.
Maka kini, jalannya hanya satu.
PINTU yang tertutup itu aku renung lama. Sedikit teragak-agak tangan mahu mengetuknya. Seharian menimang baik dan buruk, dan kali ini aku nekad. Namun saat ini hati mula membisik kata dua.
Terus keluar tanpa memberitahu. Itu baru namanya membawa diri. Kalau diberitahu, nanti Hud boleh jejak pula ke mana aku akan pergi nanti.
Tapi aku sedar, aku masih bergelar isterinya. Masih memerlukan restunya walau ke mana sahaja aku pergi, atau gelaran nusyuz bakal dipikul jika aku masih memilih untuk pergi tanpa khabar.
Dan sesungguhnya aku tidak sanggup untuk membawa gelaran itu. Bayangkan kalau aku mati dalam keadaan tidak direstui Hud?
Sedang aku bertingkah dengan hati dan perasaan sendiri, pintu tiba-tiba terbuka dari dalam. Mata bertentang mata. Cuma sekejapan sebelum aku mengalih pandangan ke tepi.
"Ada apa?" Dia bersuara. Aku cuma diam tak membalas.
"Ini beg apa pula?"
"Saya nak keluar."
"Ke mana? Bawa baju sekali?"
"Saya dah tak boleh hidup dengan awak." Barulah aku pandang dia semula. Nampak air mukanya berubah kaget.
"Apa... apa maksud Yara?" Tergagap-gagap dia mengajukan soalan. Jangankan dia, aku pun sebenarnya tak percaya dengan apa yang baru lidah tuturkan. Nafas panjang dihela.
"Saya rasa saya boleh gila kalau tinggal satu rumah dengan awak. Saya dah tak sanggup nak tengok muka awak. Saya..."
"Jijik." Mata terpejam seketika sewaktu mengucapkannya.
"Jadi, saya nak keluar. Dan saya di sini untuk minta izin awak. Sebagai isteri. Tolong izinkan saya keluar dari rumah ini." Mendatar suaraku meminta keizinan. Ini pun dah kira ajaib sebenarnya bilamana aku masih mampu berdiri di hadapan Hud.
"Yara, kita boleh bincang semua ni, kan?" Nada Hud separuh terdesak. Aku tergeleng perlahan.
"Dah tak ada apa untuk saya bincangkan. Awak dah tipu saya, mungkir janji dan perbodohkan saya."
"Yara, abang..."
"Jujur dengan saya, Hud. Awak..." Kata-kataku terhenti seketika tatkala aku mengetap bibir. Berat rasanya lidah mahu mengajukan sebaris soalan itu.
"...sebenarnya normal atau tidak?" soalku. Aku harap dia faham apa maksud 'normal' yang aku sebutkan.
Jelas kelihatan riak wajah Hud sedikit tergamam setelah soalan itu diutarakan. Halkumnya bergerak-gerak menahan rasa.
"Yara..."
"Jawab soalan saya, Hud."
Kedengaran dia lepaskan keluhan berat.
"Abang akui abang tersasar jauh."
Allah, gelap sekejap rasanya duniaku dengan pengakuan itu.
"Tapi Yara, itu dulu. Tolonglah percaya, itu semua cerita dulu. Abang selfish, abang tahu. Abang pentingkan diri sebab tak nak kehilangan Yara. Abang tahu semuanya tak adil untuk Yara. Tapi tolong sayang. Abang merayu jangan tinggalkan abang."
"Cerita dulu, habis tu yang baru terjadi itu apa? Lakonan semula mengimbas kembali kenangan lama?" bidasku kembali. Naik jelak rasanya apabila setiap kesalahannya ditutup dengan satu alasan yang sama. Pelipis dipicit perlahan.
"Cukuplah, Hud. Saya tak nak dengar apa-apa lagi."
"Yara, tolong..."
"I need space. Tolonglah faham," tegasku. Enggan lagi mendengar rayuan demi rayuannya.
"Abang boleh bagi sebanyak mana ruang yang Yara nak. But please, stay by my side. Stay by me. Don't go." Tanganku yang diraihnya aku rentap kasar.
"Sudahlah. Semuanya tak akan pulih, Hud. Beri saya masa, cuma itu yang saya minta."
Agak lama suasana hening menyelubungi ruang. Hanya mampu bertatapan sesama sendiri, jelas kelihatan ada lara yang tersimpan dalam pandangan berkaca milik seorang Hud.
Aku benci dia yang berduka, namun hari ini hati aku juga terluka. Aku sendiri tak sanggup untuk sebuah perpisahan, tapi apa lagi pilihan yang aku ada demi melindungi hati sendiri agar tak terus-terusan disakiti?
"Tolong izinkan saya keluar, mencari jalan keluar dan tentukan ke mana hala tuju kita selepas ini. Halalkan setiap langkah saya, halalkan juga segala perilaku dan maafkan segala salah saya sepanjang bergelar isteri awak." Sebak menguasai tatkala aku berkata sedemikian. Serasa bagai inilah pertemuan terakhir antara aku dan dia.
Persoalannya, mampukah aku?
Hud masih menatapku tanpa jemu. Matanya merah, malahan tanpa segan dia biarkan air mata mengalir membasahi pipinya.
"Yara nak ke mana, sayang?" Bergetar suaranya ketika menyoal.
"Ke mana-mana sahaja, asalkan jauh daripada abang." Kaki benar-benar melangkah keluar dari mahligai kami berdua seusai aku mengucapkan itu. Membawa bersama sepotong hati dan secebis jiwa keluar dari belenggu ujian yang semakin membunuh kami berdua.
Nafas dihela dalam-dalam. Hari ini, aku nekad. Ke mana sahaja hati ingin pergi, aku turutkan asal mata tidak perlu menatap seraut wajah itu lagi.
Maafkan Yara, abang.
YOU ARE READING
Her Imperfect Guy [completed]
RomanceYARA | HUD "Kerana ketidaksempurnaanmu sentiasa terlihat indah di mataku." Di sebalik keteguhan susuk tubuh itu serta dalam kedinginan tingkah yang dipamerkan, ada satu rahsia gelap yang cuba disoroknya serapi yang mungkin. Hud Zarrar. Pada perspekt...