Delisa mendongakkan kepalanya ke atas melihat kepulan awan hitam yang begitu tebal dan rendah sekali. Walaupun waktu masih lagi menunjukkan jam 5 petang, tetapi kegelapan menyelubungi suasana seolah-olah ianya sudah mejangkau waktu maghrib. Sebarang sinar matahari tidak berpeluang untuk menembusi ketebalan awan yang kelihatan seperti kepulan jin yang bengis dan garang.
Setitis air hujan jatuh pada pipi Delisa. Besar titisan itu, sehinggakan hanya satu titis sudah cukup untuk membasahi separuh wajah wanita jelita itu.
Setitis lagi jatuh. Kali ini ia mengenai umbun-umbun rambut di kepalanya pula.
Dari sebalik awan-awan gelap, sebuah kilat lintang tiba-tiba menyambar seperti sebuah panah memecah kegelapan. Bunyi letupan guruh yang menyusul menyebabkan Delisa tersentak akibat terperanjat.
Langkah Delisa semakin dipercepatkan. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia berlari. Tetapi kasut tinggi yang dipakainya sekarang menghadkan kadar langkahnya. Delisa juga perlu berhati-hati dalam langkah pantasnya, tidak mahu tumit tinggi kasutnya patah atau rosak, kerana itulah satu-satunya kasut tinggi miliknya kini.
Hatinya sudah mula risau. Gelisah. Gementar. Sedikit rasa takut pun ada. Jantung sudah mula berdenyut dengan debaran. Jiwanya sudah tidak mahu berada di sini. Delisa nak balik ke rumah sekarang. Tak kisah lah, rumah yang hanya sebuah flat kecil dua bilik sahaja. Yang penting, dia mahu berada disitu sekarang. Kerana disitulah tempat dia berlindung. Kerana di flat kecil itulah, dia merasakan tempat yang paling selamat.
Hujan sudah mula turun sedikit demi sedikit. Delisa masih lagi di Jalan P. Ramlee, baru sahaja melepasi Crown Regency - belum separuh jalan lagi pun untuk tiba di KLCC. Langkahnya terpaksa juga dipercepatkan. Tetapi ianya tetap dilakukan berhati-hati, agar tidak merosakkan kasut tingginya itu. Delisa terpaksa berlari-lari anak dengan kakinya dijengketkan pada setiap langkahnya. Jatungnya semakin berdenyut laju.
Niatnya untuk tiba di KLCC sebelum lebatnya hujan tidak kesampaian. Baru sahaja Delisa tiba dipersimpangan Jalan Pinang, kepulan awan hitam yang tebal di atas langit terus memuntahkan segala isi perutnya. Seperti tangan yang menadah air yang penuh, berderu-deru air hujan jatuh membasahi bumi.
Habis basah kuyup baju kebaya yang sedang dipakai Delisa. Rambutnya basah, sebasah tubuhnya juga. Tetapi Delisa masih tetap meneruskan langkahnya yang laju. Walaupun sudah kuyup, dia masih berusaha untuk mencari pelindungan.
Akhirnya tempat yang ingin dituju sudah kelihatan. Perhentian teksi dan bas KLCC kini sudah berada di depan mata. Nafas dhela, sedikit rasa gembira. Terukir senyuman, walaupun tubuh sudah lesu dan penat kerana merempuhi hujan. Langkah diperlahankan sedikit demi sedikit, sampailah kaki yang semakin terasa sengal akhirnya dapat berehat sambil tubuh tumpang berteduh di perhentian teksi tersebut.
Muka disapu dengan tangan mengelap sisa air yang masih diwajahnya. Air liur ditelan, nafas disedut dalam. Cuba untuk meredakan jantung yang masih berdenyut seperti rebana.
Perhentian tersebut seolah-olah tidak ada orang. Ramai yang mengambil keputusan untuk berteduh di dalam bangunan. Hujan yang sangat lebat sudah pasti membasahi tubuh yang menunggu. Bumbung kecil diperhentian teksi tersebut tidak mampu untuk menghalang derasnya hujan yang turun.
Tetapi Delisa tetap menunggu. Sebab janji yang telah dibuat bersama suaminya pagi tadi. Janji untuk dia datang menjemputnya di sini.
Setelah seketika masa berlalu, Delisa pandang kiri dan kanan mencari seseorang. Kereta Syafiq masih belum kelihatan. Tangan kiri diangkat mendekati pandangan matanya. Jam Orient Sapphire yang basah ditenung seketika. Waktu menunjukkan jam 5.20 petang. Nafas dihela lagi sambil kepala menoleh-noleh mencari kereta milik suaminya.
Tiada apa-apa tanda kereta Proton Saga merah itu berada di dalam pandangan. Mungkin dia lambat kot, traffic jam sebab hujan. Tak pe lah, tunggu jer sikit lagi. Sekejap lagi, mesti dia datang.
YOU ARE READING
Hati Mereka Yang Terluka
RomanceSering kali kita terdengar kisah-kisah cinta terlarang antara isteri orang dan suami orang diakhir zaman ini. Cinta itu memang indah, memabukkan, mengkhayalkan, membawa dua insan hanyut dalam kenikmatan belaian kasih dan sayang. Tetapi, pernahkah ki...