Adam tersenyum melihat pesanan yang telah dihantar kepadanya.
Hatinya-hatinya bersorak kegembiraan. Dia tidak dapat menahan keriangan dihati.
ʻʻYes!ʼʼ jeritnya sambil melompat menumbuk angin, seperti seorang kanak-kanak mendapat mainan.
Adam terus rebah bersandar pada keretanya sendiri. Dia tersengeh dari telinga ke telinga.
Akhirnya, Delisa mengakui perasaan hati padanya.
Akhirnya, Delisa mengatakan yang dia telah membalas cintanya.
Akhirnya, Delisa mengucapkan lafaz cinta kepadanya.
Hampir seminit dua juga Adam mengelamun sendirian. Pelbagai akal fikiran menjalar di dalam otaknya. Dia mahu bawa Delisa pergi dari sini, mulakan hidup baru dengan wanita ini. Adam mahu melepaskan Delisa dari sangkar yang telah membelenguinya selama empat tahun lamanya.
Mulai dari hari ini, Delisa adalah miliknya sekarang.
Adam berjalan-jalan keseorangan, tangan di dalam poket, muka tersenyum lebar. Indahnya perasaan bercinta semula. Indahnya rasa seperti disyurga.
Dalam langkahnya bersiar-siar seorang diri, Adam tiba di kereta Proton Saga milik Syafiq yang telah tersadai selama dua minggu.
Hodoh rupa kereta yang berumur lebih dari sepuluh tahun itu. Dua minggu ianya tersadai bagaikan tokan dimakan habuk dan hujan. Dua minggu tidak berbasuh. Jauh sekali paras dan rupa berbanding dengan kereta Audi A6 nya yang baru dan berkilat.
Adam tersenyum dan tergelak melihat kereta yang menanti dengan setia tuannya tidak muncul kembali. Ditepuk-tepuk bonet kereta itu sambil tergelak sendirian.
ʻʻSyafiq, Syafiq. Baik kau bakar jer besi buruk ni. Kau memang seorang lelaki yang gagal, Syafiqʼʼ katanya pada kereta itu.
Adam melihat tapak tanganya yang sudah kotor kerena menepuk kereta Syafiq. Dia menggelengkan kepala.
ʻʻKotor betul lahʼʼ katanya sambil menyapu tangan sendiri. ʻʻLelaki kotor macam kau ada hati nak beristerikan Delisa. Hey, brader... tolong cermin diri sendiri dulu, boleh tak?ʼʼ
ʻʻAssalamualaikumʼʼ tiba-tiba ada satu suara lelaki yang kedengaran, memeranjatkan Adam yang sedang bercakap sendirian.
Adam menoleh ke arah suara itu. Seorang mekanik berumur lewat 30an sedang berdiri berhampiran dengan kereta Proton Saga itu. Kedua tangannya disisipkan ke dalam poket.
ʻʻWaalaikum salamʼʼ jawab Adam, sedikit kaget. Dia menepuk-nepuk kedua-dua tangan sendiri.
ʻʻEncik ni siapa?ʼʼ tanya Hasrul, mekanik tadi.
ʻʻOh... nama saya Adam. Maaf tak dapat salam. Tangan saya kotorʼʼ balas Adam.
ʻʻTakpe. Tangan kami pun kotor jugak. Kotor mencari rezekiʼʼ balas Hasrul selamba.
ʻʻEncik nak apa?ʼʼ tanya Adam.
ʻʻSaya yang patut tanya Encik soalan tu. Encik buat apa dekat kereta kawan saya ni?ʼʼ tanya Hasrul kembali.
ʻʻOh? Ni kereta kawan awak ke? Oh, okay, okayʼʼ jawab Adam sambil tersenyum, tangan sekarang mengambil sapu tangan dari poket seluar dan kemudian mengelap kotoran pada tangannya tadi. Saputangan yang kemudiannya kotor itu dibuangnya ke dalam tong sampah.
Hasrul melihat sahaja tingkah laku Adam membuang sapu tangan berjenama itu. Harganya pasti berpuluh-puluh ringgit. Sekali pakai dah buang. Inilah dia perangai orang kaya.
ʻʻYa, Syafiq tu kawan saya. Dia dah lama menghilang. Encik ni kenal Syafiq ke?ʼʼ tanya Hasrul sambil matanya merenung Adam dengan tajam. Tangan dikeluarkan dari poket dan kemudian dia berpeluk tubuh.
Adam mendengus sedikit, rasa agak kurang selesa bila ditanya soalan begitu. ʻʻLebih kurang macam tu lahʼʼ jawabnya selamba.
Hasrul mendengus. Dia masih seperti tidak puas hati dengan Adam. Dipandangnya ke sebelah kiri dan melihat kereta Audi A6 adam yang berkilat sedang diparkir ditepi Block C.
ʻʻMaaflah kalau saya bertanya, bukan niat saya nak menyibuk hal rumahtangga orang. Tapi saya peratikan encik ni tiap-tiap pagi datang jemput Delisa, lepas tu sebelah malam hantar dia balik. Sampai hujung minggu pun encik bawak Delisa keluar. Encik ni... abang kandung dia ke?ʼʼ tanya Hasrul, berbunyi agak sindiran.
Adam menghela nafas, giliran dia pula merenung mata Hasrul dengan tajam.
ʻʻSyafiq pergi merantau. Dia pergi cari rezeki. Kereta dia rosak. Jadi saya tolong tengok-tengokkan Delisa waktu dia tak deʼʼ jelas Adam.
ʻʻOh... tengokkan Delisa. Hmmm... Delisa tu perlu ditengokkan ke?ʼʼ tanya Hasrul lagi.
Adam sudah tidak selesa. Dia sudah tidak mahu menjawab soalan mekanik yang tidak dikenalinya. Dalam pada Adam sedikit kaget untuk mencari jawapan, dia mereka cipta sebuah jawapan sendiri.
ʻʻItu antara urusan saya dengan Syafiq. Syafiq yang suruh saya tengokkan isteri dia masa dia tak adaʼʼ jawab Adam, berbohong.
ʻʻSyafiq cakap macam tu?ʼʼ tanya Hasrul seperti tidak percaya.
Adam mencuba helah lain pula. Kalau hujahnya sukar untuk dipercayai, maka salah satu cara untuk meyakinkan orang ialah dengan wang ringgit.
Adam menyeluk poketnya dan mengambil dompetnya. Dia mengeluarkan nota RM50 sebanyak dua puluh keping.
ʻʻSyafiq ada pesan dekat saya pasal kereta dia ni. Encik ni mekanik kan? Encik tolong repair kereta ni ya? Tolong tarik dan masuk ke dalam bengkel. Nah, ni seribu. Wang pendahuluan. Kalau tak cukup, boleh mintak dekat saya lagiʼʼ kata Adam sambil menghulurkan wang berjumlah seribu ringgit kepada Hasrul.
Hasrul menajamkan matanya. Macam mana lelaki ini sanggup berikan dia seribu ringgit? Duit siapa ni? Tak kan duit Syafiq? Budak tu nak ada sepuluh ringgit pun susah. Ni seribu?
Apapun, Hasrul memang perlukan kerja. Bengkel dia agak muram sejak seminggu dua ini. Dia juga perlu cari rezeki untuk menyuap isteri dan anak-anaknya. Kalau ada orang hulurkan seribu ringgit, tak kan nak menolak sebegitu mudah.
Walaupun tangan berat, tetapi Hasrul mengambil juga duit itu.
Adam tersenyum. Dalam pengalamannya mengendalikan orang, duit memang dapat beli apa sahaja. Apa sahaja.
Adam kemudian mengambil business card dari dompetnya dan memberikan pada Hasrul. ʻʻNi nombor saya. Kalau kos nak baiki kereta ini melebihi apa yang saya bagi, call aje. Nanti saya datang bayarʼʼ
Hasrul mengambil kad dari Adam. Keningnya berkerut.
ʻʻSaya mintak diri dulu. Maaf sekali lagi saya tak dapat salam. Saya baru bersihkan tangan sayaʼʼ kata Adam menyindir sambil berjalan lalu.
Adam terus berjalan menuju ke kereta Audinya. Tempat tak bertamadun. Katanya geram dalam hati. Donʼt worry, sayang. I will take you away from this shit hole. Katanya nekad untuk membawa Delisa keluar dari tempat ini.
Hasrul hanya melihat kereta Audi itu berlalu.
Kemudian dia melihat duit di dalam tangannya.
Hasrul menghela nafas.
Didongakkan kepalanya melihat flat kediaman Syafiq dan Delisa di tingat lapan yang sudah gelap tidak bercahaya.
ʻʻKau simpan jantan lain, Lisa? Kau main kayu tiga, ya?ʼʼ kata Hasrul menyumpah seorang diri. ʻʻSampai hati kau curang pada Fiq. Sampai hati kau, Lisaʼʼ
YOU ARE READING
Hati Mereka Yang Terluka
RomanceSering kali kita terdengar kisah-kisah cinta terlarang antara isteri orang dan suami orang diakhir zaman ini. Cinta itu memang indah, memabukkan, mengkhayalkan, membawa dua insan hanyut dalam kenikmatan belaian kasih dan sayang. Tetapi, pernahkah ki...