16

3.1K 58 2
                                    

ʻʻSayang demam ke?ʼʼ bisik Syafiq sambil mengusap rambut Delisa, dan menyapu titisan peluh di dahi isterinya.

ʻʻSikit jer, Fiq. Lisa kena hujan semalam. Habis Lisa basah kuyupʼʼ kata Delisa sambil memeluk tubuh suaminya. Ditekapkan muka pada dada Syafiq, sambil menarik nafas dan menutup mata. Delisa berasa tenang dan selamat di dalam dakapan suaminya.

Syafiq mengusap-usap kepala Delisa dengan penuh kasih sayang, sambil mencium kepala isterinya, ʻʻMaafkan Fiq sebab Fiq tak jemput Lisa semalamʼʼ katanya perlahan.

Delisa mengangkat kepalanya dari dada Syafiq, memandang muka suaminya. Matanya berkaca-kaca, air mata sudah berlinangan.

ʻʻKenapa Fiq tak datang? Lisa takut, Fiq. Lisa takut. Kenapa Fiq tak datang selamatkan Lisa? Lisa sangat-sangat perlukan Fiqʼʼ suara Lisa sudah serak, diiringi dengan tangisan yang sudah menitis dari matanya.

Syafiq memegang kepala Delisa dengan kedua-dua tangannya, ibu jari mengusap pipi. ʻʻMaafkan Fiq, sayang. Maafkan Fiq sebab Fiq tinggalkan Lisaʼʼ

ʻʻTinggalkan?ʼʼ tanya Delisa, hairan, risau, sedikit gusar di raut wajahnya. ʻʻApa Fiq cakap ni? Fiq pergi mana?ʼʼ

Melihat isterinya bersedih, Syafiq merapatkan kepalanya pada kepala isterinya. Dahi mereka bertemu. Hidung mereka tersentuh.

ʻʻFiq pergi merantau, sayang. Fiq cari rezekiʼʼ Syafiq tertunduk, air matanya juga berlinangan. ʻʻFiq gagal jadi suami yang baik untuk Lisa. Fiq lemah. Fiq tewas. Fiq tak dapat nak beri Lisa sesuap nasi pun. Fiq lelaki yang gagalʼʼ suaranya hampa. Hampa dengan kegagalan diri sendiri.

Delisa terus memegang kepala suaminya pula, mengangkat kepala lelaki itu agar mata mereka bertemu kembali. ʻʻFiq... Fiq... jangan cakap macam tu. Susah senang kita lalui bersama. Lisa tak pinta pun kekayaan, kesenangan. Yang Lisa pinta dari Fiq hanyalah lindungan dan sentuhan dari seorang suamiʼʼ

ʻʻTapi Fiq gagal lindungi Lisa!ʼʼ kata Fiq kecewa, suaranya semakin meninggi. ʻʻFiq tak dapat nak lindungi Lisa! Selamatkan Lisa dari bahaya. Suami jenis apa Fiq ni? Lelaki jenis apa? Layakkah Lisa disentuhi oleh lelaki seperti Fiq? Selagi Fiq tak buktikan yang Fiq ni seorang lelaki sejati, selagi itu Fiq tak berhak untuk meminta apa-apa dari Lisa!ʼʼ suaranya semakin lantang.

ʻʻFiq! Susah senang kita lalui bersama! Lisa bukan hanya meminta kesenangan! Lisa terima Fiq seadanya bila Lisa terima akad Fiq empat tahun lalu!ʼʼ bantah Delisa.

ʻʻIni bukan soal susah senang, Lisa. Ini tanggungjawab Fiq sebagai seorang lelaki dan suami. Selagi Fiq tak dapat buktikan yang Fiq adalah lelaki sejati, selagi itu Fiq gagal dan tewasʼʼ kata Syafiq sambil melepaskan pelukannya pada Delisa, dan perlahan-lahan berundur kebelakang.

ʻʻTidak, Fiq! Jangan tinggalkan Lisa! Lisa tak pernah minta seorang pahlawan. Lisa tak mahu seorang perwira. Lisa hanya nak Fiq berada di sisi Lisa sekarang! Lisa perlukan Fiq!ʼʼ jerit Delisa ambil menangis melihat suaminya perlahan-lahan hilang di hadapannya.

Delisa tersentak. Matanya terbuka dari tidurnya. Kedua matanya basah berlinangan air mata. Dia tersedu-sedu menangis. Tubuhnya masih terbaring di atas tilam. Ditolehnya kesebelah. Dilihat ke tempat yang sepatutnya Syafiq tidur disebelahnya. Tetapi kelibat suaminya itu tidak ada pun bersamanya malam tadi. Sama seperti kebanyakan malam-malam yang ditempuhinya, tidur Delisa hanya bertemankan dirinya keseorangan.

Delisa terduduk di atas tilam. Dipeluknya kakinya sendiri sambil muka disembabkan pada peha. Delisa menangis mengenangkan dia ditinggalkan sendiri tanpa berteman. ʻʻSyafiq... Syafiq... jangan tinggalkan Lisaʼʼ suaranya teresak-esak dalam tangisan.

Knock! Knock! Knock! Bunyi pintu diketuk memeranjatkan Delisa yang masih merengkok di atas tilam, akhirnya mengembalikannya dari igauan mimpinya. Igauan yang dirasakan benar-benar berlaku pada dirinya.

Hati Mereka Yang TerlukaWhere stories live. Discover now