ليما ڤولوه ساتو | 51

3.2K 195 13
                                    

SAFIYYAH menghidangkan makanan buat suaminya. Kini, mereka sekeluarga sedang bersarapan bersama-sama. Hubungan dia dan Ian juga sudah semakin pulih apabila mereka duduk di rumah keluarga Safiyyah. Safiyyah berasa amat bersyukur kerana dia tidak perlu lagi bermasam muka dengan suaminya. Walaupun Ian banyak melakukan kesalahan terhadap dirinya, namun biarlah semua itu jadi pengajaran buat Ian. Dia berharap bahawa rumah tangganya akan kekal tanpa masalah lain.

"Ian, tambahlah lagi. Sikit sangat makannya tu," arah Puan Mysara.

"Eh tak apalah, ibu. Nasi lemak ni pun belum habis lagi." Ian menolak pelawaan ibu mertuanya.

"Sejak bila Ian makan sikit ni? Jaga badan ke?" Puan Mysara menyoal. Hairan pula dia lihat Ian. Badan menantunya itu tidaklah besar mana. Masih tegap dan tidak menunjukkan tanda-tanda berat badan berlebihan.

"Bukan jaga badan, ibu. Ian takut Fiya makan tak habis nanti. Selalunya Ian yang akan habiskan makanan dia." Ian menerangkan keadaan yang sebenar kepada ibu mertuanya.

Safiyyah tersengih kecil. Memang benar apa yang dikatakan oleh Ian itu. Biasanya dia tidak akan menghabiskan makanan yang dimakan olehnya jadi terpaksalah Ian melicinkannya. Puan Mysara menggelengkan kepalanya. Bertuah punya anak.

"Fiya ni, kalau dah tahu makan tak habis janganlah ambil banyak-banyak. Kesian Ian nak kena tolong habiskan makanan Fiya. Nafsu makan tu jaga sikit, Fiya." Puan Mysara menegur perbuatan anaknya.

"Eh tak apalah, ibu. Ian tak kisah pun." Ian cepat-cepat menjawab.

"Habislah Fiya, ibu sekarang dah team dengan Ian." Encik Fikri menyakat anak perempuannya. Safiyyah terus mencebikkan bibirnya. Sejak Ian tinggal di rumah ini, asyik Ian sahaja yang dapat perhatian daripada ibunya.

"Abang jangan nak mengapi-apikan Sara dengan Fiya, ya. Sara ni cuma tegur mana yang salah je. Anak dengan menantu dua-dua Sara sayang." Puan Mysara menjawab. Dia tidak pernah membezakan kasih sayang yang diberikan kepada anak-anak dan menantunya.

"Kakak ni sejak mengandung, manja betul. Kesian abang Ian nak kena layan." Aryan menambah. Saja dia mahu menyakat kakaknya. Suka dia lihat apabila kakaknya merajuk. Ian tertawa kecil apabila melihat keluarga Safiyyah. Bahagia sungguh.

Ian jarang meluangkan masa bersama keluarganya. Mungkin dia berasa seperti dianaktirikan setiap kali berkumpul bersama keluarganya. Dirinya tidaklah sehebat abangnya yang sentiasa mendapat pujian daripada semua ahli keluarganya. Jadi, sebab itulah dia berasa amat gembira apabila dirinya sudah mula diterima dalam keluarga Safiyyah. 

"Dah-dah, jangan nak menyakat kakak. Nanti kang dia merajuk susah pula Ian nak pujuk." Puan Mysara bersuara. Dia tidak mahu meneruskan topik ini. Kasihan pula dia melihat anak perempuannya yang sudah mula memuncungkan mulutnya apabila semua orang menyakat dirinya.

"Padan muka, Aryan." Safiyyah menjelirkan lidahnya. Ian tersenyum melihat gelagat isterinya. Bergaduh macam budak-budak!

Belum sempat Aryan mahu membalas, tiba-tiba terdengar bunyi ketukan di pintu rumah. Semua orang memandang pelik. Siapa pula yang datang rumah pagi-pagi macam ni? Encik Fikri memandang wajah isterinya.

"Sara tak bagitahu pun ada orang nak datang?" Encik Fikri menyoal. Puan Mysara juga hairan. Setahu dia, tiada siapapun yang menghubungi dirinya untuk datang ke rumahnya.

"Eh, Sara pun tak tahu siapa yang datang. Cuba abang pergi tengok." Puan Mysara menyuruh suaminya untuk membuka pintu. Dia juga tertanya siapakah gerangan yang datang pada awal pagi sebegini.

Encik Fikri pergi ke arah pintu rumah lalu membukanya. Terkejut dia apabila melihat tetamu yang datang. Dia terus memanggil isterinya.

"Sara! Tengok ni siapa yang datang!" Encik Fikri memanggil nama isterinya. Puan Mysara segera bangkit dari duduknya. Safiyyah pula hairan. Ada tetamu penting ke yang datang ke rumahnya ini?

𝗞𝗘𝗥𝗔𝗡𝗔 𝗗𝗜𝗔 𝗜𝗠𝗔𝗠𝗞𝗨Where stories live. Discover now