دوا ڤولوه دوا | 22

5.8K 346 18
                                    

KELOPAK mata dibuka perlahan-lahan. Tubuh badannya terasa sedikit panas dan berpeluh. Dia memandang sekeliling. Kosong dan sunyi. Safiyyah terus bangkit dari katil dan menyebabkan tuala kecil yang berada di kepalanya jatuh. Mengapa badannya berpeluh-peluh ketika ini? Dia demamkah? Atau mungkin demamnya sudah kebah?

Tekaknya juga terasa haus. Fikirannya mula mengingati semula apa yang yang telah terjadi kepada dirinya sebelum dia pengsan. Setelah mengingati semuanya, Safiyyah terus keluar dari biliknya. Dia mencari kelibat seseorang. Di manakah Ian?

Safiyyah terpandangkan baju yang dipakainya ketika ini. Dia terkejut. Ini bukan baju miliknya. Baju yang dia pakai sekarang dua kali ganda besar daripada saiz bajunya. Tak mungkin baju...Ian? Walaupun baju tersebut besar, betisnya tetap kelihatan. Tidak lupa juga, bahagian leher baju tersebut berbentuk V dan secara tidak langsung dadanya sedikit terdedah.

Baju apa yang Ian pakaikan untuknya ini? Langsung tidak sesuai dengannya.

Safiyyah duduk di atas sofa di ruang tamu. Kelibat Ian langsung tidak kelihatan. Ke mana lelaki itu menghilang? Safiyyah tiba-tiba teringatkan kejadian malam semalam. Kejadian di mana dia dikurung di tempat gelap dalam keadaan dirinya yang basah lencun. Mengapa Ian langsung tidak mengasihaninya?

Safiyyah memegang kepalanya. Pening di kepalanya masih belum hilang sepenuhnya. Mungkin kesan daripada akibat dia kerap menangis.

Safiyyah tersedar akan sesuatu perkara. Dia seharusnya pulang semalam ke rumahnya. Habislah dia. Alasan apa yang mahu diberikan olehnya apabila disoal oleh ibunya nanti? Sudahlah ibunya sering bertanya ke mana dia pergi apabila dia terlalu kerap keluar rumah. Takkanlah dia nak jawab 'balik rumah suami' kepada ibunya? Mahu masak dia nanti!

"Dah berangan sampai England ke belum?" Satu suara menyapanya dari belakang. Safiyyah dengan drastiknya bangun dari sofa tersebut apabila terperanjat mendengar suara seseorang. Dia menoleh ke belakang.

"Kau tak payah nak pandang aku macam aku ni hantu. Kenapa kau keluar bilik? Kau tu dah sihat sepenuhnya ke? Belum lagi kan?" Ian meletakkan mug yang berisikan air oren di meja kopi yang berada di hadapannya. Kemudian, dia terus menghidupkan suis televisyen.

"Bila awak balik?"

"Kalau ikutkan hati, aku tak nak balik tapi nanti ada mayat keras pula dalam rumah aku ni." Safiyyah mengetap giginya. Ian memang tidak pernah serik menyakitkan hatinya. Dalam keadaan dia sebegini pun masih sempat lagi Ian melontarkan kata-kata perlian.

"Kenapa awak pakaikan saya baju awak?" Safiyyah memandang lama wajah Ian. Dia tidak berpuas hati apabila Ian dengan selambanya memakaikan dia baju bersaiz besar milik lelaki itu. Sudahlah baju tersebut langsung tidak sesuai dengan badannya. Kalau nak tolong, biar ikhlas.

"Kau ni tak reti bersyukur eh? Nasib baik aku pakaikan kau baju. Ke kau nak aku bogelkan kau?" Safiyyah menjegilkan matanya. Dasar lelaki miang!

Ikutkan hati, mahu saja dia cili-cili mulut Ian supaya lelaki itu berhenti mengeluarkan ayat pedasnya. Safiyyah sudah lama sabar dengan sikap Ian yang satu itu.

Walaupun mata Ian tertumpu ke arah televisyen, namun dia tahu bahawa Safiyyah sedang memandangnya. Dia sebenarnya tidak mahu membalas pandangan gadis itu. Kini, dia sedaya upaya cuba menahan nafsu lelakinya. Baginya, penampilan Safiyyah sekarang sudah membuatkan jantungnya berdebar-debar. Safiyyah cukup seksi pada pandangan matanya. Menyesal pula dia memakaikan bajunya ke tubuh Safiyyah.

"Ian, saya lapar. Awak ada masak tak?" Safiyyah menyoal Ian. Dari semalam dia tidak menjamah apa-apa makanan. Perutnya terasa kosong. Ian mengeluh kecil. Terbit rasa simpati terhadap gadis itu.

"Aku dah masakkan bubur untuk kau. Pergilah ambil dekat dapur. Kau tu cuma demam je kan? Jangan nak mengada-ngada minta aku suapkan pula." Safiyyah menganggukkan kepalanya. Ian langsung tidak kisah tentang dirinya yang sakit. Ego lelaki itu memang tidak dapat dinafikan. Bila dia dah mati nanti, baru Ian rasa simpati agaknya.

𝗞𝗘𝗥𝗔𝗡𝗔 𝗗𝗜𝗔 𝗜𝗠𝗔𝗠𝗞𝗨Where stories live. Discover now