Gusar Semasa Mengeteh O Ais

28 2 0
                                    

Daud John tak senang duduk. Teh o ais didepan menjadi asing dan tak diminum sangat. Mimpi buruk untuk dia jika tersedak hodoh berdekatan orang penting dalam passion muzik seorang Daud John iaitu Encik Yad. Encik Yad di meja selang tiga dari meja Daud John sedang melepak dengan rakan-rakan dewasanya yang lain. Berbual kelihatan matang dan profesional tapi tidak tegang dan juga tidak serius. Ada juga gelak tawa yang kedengaran hasil dari jenaka mahal. Daud John memang gemar. 

Dalam gemar-gemar si Daud John, dia tetap tak dapat tenangkan diri dan duduk bersahaja di kerusi sambil mengeteh o ais menghabiskan waktu rehat. Encik Yad itu figura mustahak. Banyak ilmu, pengalaman dan pendapat yang dikongsi di media sosial menjadi kiblat keghairahan muziknya.

Kebetulan Daud John menonton Brooklynn 99 di Netflix. Hampir setiap musim banyak disebut-sebut 'Never meet your heroes'. Ianya lagi bagi panas menggigil buntut Daud John di kerusi besi. Bulan lepas pun lebih kurang, semasa menonton Korek Fizikal episod bersama Jayzuan juga bercerita mengenai heronya iaitu Thurston Moore. Dan Jayzuan mengawal dan membuat keputusan yang baik dalam ketegangan berjumpa seorang hero.

Namun, Daud John masih tak senang duduk. Terasa semut api mencucuk dengan pisau Rambo di buntut.

Daud John melihat jam tangan kalkulator. Masa ada 15 minit. Ikutkan boleh saja dia beredar masuk kerja semula. Cumanya tak boleh. Rugi pula dengan detik emas sekarang jika tak dinikmati baik. Encik Yad datang tempat dia. Taktau la atas urusan apa. Ianya memang satu perkara yang ajaib.

Daud John bermain straw minumannya, sambil tu anak mata mencuri melihat Encik yad.

Encik Yad juga memandangnya tepat.

Daud John cepat-cepat berpaling ke arah luar. Jari masih mengacau teh o ais. Ais didalam bergegar-gegar.

Tak lama kemudian, Encik Yad dan rakan-rakan bangkit dari kerusi saling bersalaman. Mereka mengambil barang masing-masing dan mula beredar dari perkarangan kedai. Encik Yad mula beredar perlahan-lahan dari pandangan Daud John.

Daud John menghembus nafas. Buat beberapa minit, dia mula terasa hembusan ini bukan hembusan nafas lega. Ianya kesal. Tiada moment antara dia dan figura mustahak. Walau ringkas seperti menegur dan bersalaman.

Daud John beredar juga. Meninggalkan teh o ais yang tak habis.

Mencabar Daud JohnWhere stories live. Discover now