Bab 3 : Segunung derita

51 7 2
                                    

Bab 3

Azman menapak anak tangga rumahnya, bibirnya tersenyum riang. Munah yang melihat suaminya yang tersenyum itu dapat mengagak bahawa suaminya membawa khabar yang gembira. Munah yang masih berbaring terkangkang di atas lantai rumahnya berbantalkan lengan, perlahan-lahan bangun untuk duduk. Wajah suaminya yang duduk di atas kerusi ditatap aneh.

"Dapat pinjam duit?" Munah menyoal pendek.

"Dapat." Azman menjawab yakin.

"Berapa?" Munah ingin tahu.

"Bukan pinjaman, dia bagi sebagai hantaran Mustika. Dia beri sejuta dengan syarat Mustika jadi bini nombor empat.." Azman bersuara perlahan, takut didengari oleh penduduk yang lalu-lalang di hadapan rumah memandangkan rumahnya terletak di tengah-tengah laluan orang kampung menuju ke pekan.

"Sejuta, banyak tu.." Munah mula gelap mata.

"Ya. terlalu banyak." Azman memejamkan mata membayangkan duit sebanyak itu akan menjadi miliknya.

"Milik kau seorang saja ke? Aku macam mana? berapa kau beri dekat aku? Aku penat tau mengandungkan budak tu sembilan bulan, dengan engkau yang tak ada kerja tetap sampai aku terpaksa makan nasi dengan kicap sahaja setiap hari. Mujur emak aku masih hidup waktu itu, merasa juga makan ayam dan ikan." Munah mulai mengungkit kisah lama, bimbang Azman membawa lari semua duit itu tanpa memberikan sedikit pun kepadanya.

"Aku beri kau 100 000 boleh?" Azman cuba meneka apa yang dimahukan isterinya.

"Jadi baki Rm 900 000, semua engkau sapu? Begitu? Bahagi dualah, Man. Biar adil. Aku juga mahu hidup. Kalau aku tak bersusah payah melahirkan Mustika, mana mungkin kau dapat sejuta. Dahulu, engkau sendiri suruh aku gugurkan dia semasa masih dalam kandungan tetapi yang bertahan ingin meneruskan sehingga Mustika lahir itu ialah aku... jadi aku berhak juga ke atas duit itu hasil engkau gadaikan anak aku kepada si tua tak sedar diri." Munah separuh mencabar, geram melihat keserakahan suaminya sendiri.

Ketika itu, Mustika muncul dari arah dapur dengan membawa baldi yang berisi baju-baju yang dicuci. Gadis itu melangkah lemah menuju ke beranda rumah, hendak menjemur pakaian dan dalam masa yang sama, wajahnya kelihatan berkerut menahan sakit akibat luka pukulan ayahnya semalam. Sebaik sahaja melihat anaknya itu, Azman pantas meminta Mustika duduk di kerusi yang bertentangan dengannya dan Mustika seperti biasa, langsung tidak berani membantah bahkan melihat wajah ayahnya sendiri dia tidak berani. Munah hanya memerhati wajah anak tunggalnya, sesekali bibirnya mengukir senyum saat menyedari Mustika mewarisi kecantikan dirinya yang berdarah campuran Melayu dan Arab, keturunan sebelah bapanya dahulu.

"Nasib baik engkau ikut muka aku, Mustika. Kalau ikut muka ayah engkau, sampai ke sudah tak ada orang hendakkan engkau.." Munah ketawa mengekeh, puas hati dapat mengenakan suaminya.

"Diamlah!" Azman mengerutkan dahi tetapi dalam masa yang sama, mengakui kebenaran dalam kata-kata isterinya. lagi pula, dirinya tertarik dengan Munah dahulu kerana kecantikan isterinya itu yang menjadi rebutan teruna kampung, sehingga akhirnya dia yang menjadi pilihan. Malang si Munah salah memilih suami, akhirnya dia juga terjebak dengan kegiatan haram si Azman yang bertentangan dengan norma masyarakat Islam.

"Mustika, tak lama lagi engkau akan hidup kaya, nak. Tuan Iskandar hendak menjadikan engkau isteri nombor empatnya." Munah cuba memujuk Mustika.

"Itu bukan ayah Isma ke.." Mustika agak tergagap-gagap.

Isma, sahabar baik yang agak rapat dengannya ketika dia masih bersekolah di sekolah menengah dahulu. Mana mungkin dia mahu berkahwin dengan seseorang yang menjadi ayah kepada sahabatnya sendiri?

"Betul, dia ayah Isma. Tapi tak salah kan kalau Mustika menjadi ibu tiri Isma walaupun sebaya. Lagi pula, kalau menikah dengan Tuan Iskandar, hidup Mustika akan senang dan tak perlu lagi ikat perut kerana tak ada makanan. Mustika boleh beli apa saja yang diinginkan sebab ada suami kaya dan hartanya tak habis makan tujuh keturunan.." Munah masih cuba meyakinkan hati anaknya agar bersetuju menikah dengan Tuan Iskandar.

Mustika diam.

Dia tahu dia tidak mungkin dapat membantah keputusan ayahnya dan dia tahu bahawa ayahnya mungkin telah menjual anak sendiri kepada orang tua miang itu; siapa tidak kenal Tuan Iskandar? Isma sendiri pernah memberitahunya bahawa orang tua itu pantang melihat gadis muda bahkan tidak terkira banyak kalinya ibu Isma dicurangi sedangkan pada pandangan mata Mustika, tiada kurangnya ibu Isma itu dibandingkan perempuan-perempuan murah yang digilai oleh Tuan Iskandar.  Mustika jengkel mengenangkan itu apatah lagi mengenangkan orang tua itu hendak menyunting dirinya sebagai isteri keempat, mual dan loya rasa tekaknya.

"Ibu, Mustika tak nak kahwin..." Mustika cuba meluahkan isi hati tetapi pantas tangan ayahnya hinggap di pipi mulus miliknya.  Leher Mustika dicengkam sehingga jelas kemerah-merahan wajah gadis itu menahan rasa sakit.

"Kau tak ada hak nak bersuara. Nak atau tak nak, kau perlu kahwin dengan orang tua tu. Aku dah usaha nak senangkan hidup engkau. Kau pula anak tak tahu bersyukur. Kau kena bersedia, minggu depan aku kahwinkan engkau dengan Tuan Iskandar." Azman nekad, matanya mencerlung tajam menatap wajah Mustika.

Mustika menangis, seluruh tubuhnya menggigil. Dia tidak mahu berkahwin dengan orang tua keladi itu. Umurnya masih muda dan perjalanan hidupnya masih panjang; dia tidak mahu impiannya untuk bergelar seorang pakar bahasa terkemuka dunia terkubur begitu sahaja. Kalau dipukul disepak diterajang si ayah, masih mampu dia menahan tetapi berkahwin dengan ayah rakan sekelasnya sendiri itu sama sahaja seperti menghancurkan masa depannya sendiri. Dia tidak pernah merasakan putus asa seperti ini di dalam hidupnya.

"Ayah, tolonglah.." Mustika bersuara merayu, esakan tangis mulai kedengaran.

"Tak ada bantahan. Kau kena ikut apa yang aku nak. Kalau aku kata engkau kahwin dengan dia, maksudnya engkau kena juga ikut. Kalau tak, aku bunuh engkau!" Azman menjambak rambut panjanh Mustika, sehingga wajah lembut itu berkerut menahan sakit.

"Sikit saja tu, Mustika. Esok lusa orang tua tu mati, engkau pula ambil harta dia. Kena bijaklah sikit.." Munah menghembuskan asap rokok, mengharapkan anaknya itu akur dengan rancangan dia dan suaminya.

Mustika hanya mengalirkan air mata, separuh hatinya memberontak ingin lari dari rumah tetapi separuh lagi hatinya ingin menurut pesanan arwah neneknya agar menjaga rumah peninggalan orang tua itu satu-satunya.

Mustika keliru.

Hatinya berbelah bahagi.

KELANA CINTA DI HATI MUSTIKAWhere stories live. Discover now