Dikala azan subuh berkumandang, Munah terbangun dari lenanya. Terdengar ketukan beberapa kali di pintu ruang tamu menyebabkan dia segera bangkit dari pembaringan dan melangkah dalam keadaan masih mamai ke ruang tamu. Dia sempat melihat tubuh suaminya yang berbaring di sofa sambil berdengkur kuat, dan di atas meja kelihatan beberapa cawan bekas kopi yang dibiarkan begitu sahaja. Munah membuka pintu, kelihatan beberapa orang perempuan di beranda rumah yang pantas dikenali oleh Munah sebagai Mak Andam dan beberapa orang pekerjanya.
"Awal betul kali ini, Leha." Munah mengerutkan dahi, sesekali menutup mulutnya yang menguap.
"Mesti bersiap awal, majlis akad nikah kan jam 7 pagi di masjid. Mana boleh lambat?" Leha segera menjejakkan kaki ke dalam rumah kayu yang semakin condong ke kanan itu. Beberapa orang pekerjanya kelihatan menyusun alat riasan dan beberapa helai selendanh berwarna putih digantung di dinding.
"Mustika mana?" Leha menyoal sambil menoleh ke arah bilik Mustika yang masih bertutup rapi.
"Dalam bilik. Kejap aku bangunkan dia, penat sebab majlis berinai semalamlah tu." Munah segera mengetuk pintu bilik anak gadisnya namun tiada jawapan.
Kerana penat mengetuk pintu, dia perlahan-lahan membuka pintu bilik Mustika dan terkejut mendapati bilik itu kosong. Katil Mustika tersusun rapi bagaikan baru sahaja dikemas dan matanya tertancap ke arah jendela yang terbuka. Munah segera meluru ke arah jendela dan mendapati kain selimut berwarna hijau milik Mustika diikat pada kayu jendela.
Sah, Mustika melarikan diri!
"Mustika.." Munah terkesima.
"Mana Mustika?" Leha menjengukkan kepala, barangkali kerana terlalu lama menunggu di ruang tamu.
"Mustika lari.." Munah menjawab lemah.
"LARI?"
Leha terkejut, suaranya tanpa sengaja membangunkan lena Azman di atas sofa. Lelaki berbaju T-shirt putih itu menguap seketika sebelum matanya digosok-gosok dengan tangan kanan. Dia membuka matanya perlahan-lahan, dan dahinua berkerut mendengar suara bising dari arah bilik Mustika.
"Apa yang bising ni?" Azman bersuara malas, matanya memandang tidak puas hati kepada beberapa orang pekerja Mak Andam Leha.
"Man.."
Munah keluar dari bilik Mustika dengan wajah pucat lesi, begitu juga dengan wajah Leha yang kelihatan lemah tidak bermaya. Azman dapat mengagak ada sesuatu telah terjadi dan dia segera melangkah masuk ke dalam bilik Mustika. Melihat apa yang ada di hadapan matanya, tahulah dia apa sebenarnya yang sedang berlaku.
"Dia lari?" Azman menengking tiba-tiba.
"Larilah, kau tengok kan ada selimut tu dekat jendela yang dia guna untuk turun dari rumah ke bawah. Budak ni pun.." Munah mulai memicit-micit kepalanya yang sudah pening, bahagian bahunya sudah terasa lenguh.
"Siapa yang bantu dia?" Azman termengkelan.
"Mana ada orang bantu, dia lari sendiri.." Munah separuh hati menahan sabar ditengking oleh suaminya.
"Eh, aku kenal Mustika tu macam
mana. Dia mana tahu lari dari rumah dan memberontak semua ni melainkan ada yang menghasut dia. Lebih baik engkau cakap delat aku, Munah. Engkau yang bantu dia melarikan diri kan?" Azman mencengkam lengan isterinya, matanya mencerlung tajam."Manalah aku tahu, Man." Munah cuba melepaskan cengkaman tangan suaminya namun tidak berhasil.
"Sudahlah tu, Man. Lebih baik engkau beritahu Tuan Iskandar sebelum hal ini jadi semakin teruk. Aku balik dulu, apa-apa nanti kau beeitahu aku." Leha meminta diri, malas ingin berlama-lama di situ.
Munah hanya memerhati langkah kaki Leha keluar dari rumah dan untuk seketika, dia merasakan lega kerana Mustika melarikan diri dari rumah. Sekurang-kurangnya anak itu bijak memilih haluan masa hadapannya sendiri namun di sisi lain, bimbang apa yang akan dilakukan oleh Tuan Iskandar sekiranya mengetahui tentang perkara ini. Azman mendengus kasar, tubuh langsing milik Munah dilemparkannya ke dinding bilik. Leher isterinya itu dicengkam kuat namun tidak sedikit pun wajah Munah menunjukkan rasa cemas dan takut, seakan-akan sudah mati semua perasaan wanita itu pada pandangan matanya.
"Engkau beritahu aku, mana engkau sorokkan Mustika. Engkau tahu tak, kalau Tuan Iskandar tahu, kita berdua tak akan dapat duit satu juta tu. Aku nak kau jujur dengan aku.." Azman bersuara mengugut.
"Aku tak tahu, Man. Engkau terlalu memandang rendah kepada Mustika sebab engkau fikir dia hanya menjadi pak turut ketika dipukul kan? Kau lupa, Azman. Engkau lupa bahawa Mustika merupakan pelajar paling pandai di sekolahnya dan paling bijak di daerah kita. Engkau kira dia akan duduk diam saat dinikahkan secara paksa begini? Engkau silap besar dan aku juga tersilap kerana menyangka dia hanya akan menurut kerana taat. Dia budak pandai dan bijak.." Munah tergelak kecil, terasa dipermainkan oleh anaknya sendiri.
"Huh.." Azman melepaskan cengkaman pada leher isterinya, mengeluh berat mengenangkan apa yang berlaku.
"Aku tak tahu sekarang siapa yang bodoh. Engkau, aku atau dia? Hehehe" Munah ketawa puas, bercampur geram dan lucu dengan perangai Mustika.
"Masak aku lepas ni. Tuan Iskandar tak akan lepaskan kita. Aku perlu lari.." Azman bingkas bangkit, langkahnya menghala ke arah biliknya di sebelah bilik Mustika.
Munah juga segera bangun dan hanya mendiamkan diri saat melihat suaminya memasukkkan pakaian ke dalam bagasi. Ke mana Azman hendak pergi meninggalkan dirinya begitu sahaja? Azman langsung tidak menoleh ke arah Munah dan ketika Munah menahan tangannya, ditepisnya kasar tangan itu.
"Kau nak tinggalkan aku?" Munah menyoal lemah, ingin tahu reaksi suaminya.
"Kau hanya menyusahkan aku. Mulai hari ini, engkau dan aku tak ada apa-apa. Engkau bukan lagi isteri aku, mulai saat ini.."
Azman segera melangkah pergi, meninggalkan Munah tergamam sendirian di ruang tamu. Beberapa kali matanya dikedipkan sendiri, sukar untuk percaya bahawa dirinya baru sahaja diceraikan oleh lelaki keparat itu. Bibirnua mengukir senyum sinis, lucu betul menjadi lelaki, dengan kuasa talak dijatuhkan sesuka
hati, dasar syaitan bertopeng manusiawi.Munah pasrah.
Wajah Mustika terbayang di ruang matanya, mengharapkan anaknya itu akan sentiasa dilindungi Tuhan. Biarlah Mustika pergi jauh, anaknya itu sudah puas menderita kerana ulah dia dan Azman. Mustika tidak mempunyai zaman kecil seperti anak orang lain kerana zaman kecilnya penuh trauma saat dipukul ayahnya sesuka hati. Munah mengesat air mata yang mulai mengalir, dadanya terasa sesak mengenangkan nasib anaknya.
"Pergilah Mustika, jangan pernah kembali.."
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...