Tuan Mikhail menghulurkan beberapa helai baju kepada pembantu-pembantu rumahnya memandangkan pada malam itu, mereka akan hadir bersama ke acara keluarga di rumah agam Tan Sri Tuah Zulkarnain, ayah kepada Puan Teja. Acara keluarga itu merupakan acara makan malam seluruh keluarga besar Tan Sri Tuah Zulkarnain dan setiap tahun, lazimnya Tuan Mikhail akan membawa semua pembantu rumahnya bersama-sama untuk memeriahkan suasana walaupun acapkali disindir oleh ipar duai kerana membawa orang gaji yang dianggap rendahan dan tidak layak bergaul dengan golongan elitis.
"Tuan, okay ke nak bawa kami?" Mak Seri kelihatan serba salah.
"Ikut saja, kalian juga sebahagian dari keluarga kami. Abaikan saja mulut-mulut bangkai orang di sana." Tuan Mikhail seperti biasa, tetap dengan wajah bersahajanya.
Mustika hanya mendengar apa yang dibicarakan oleh Tuan Mikhail dan Mak Seri. Setelah Tuan Mikhail berlalu, barulah Mak Diva akhirnya membuka mulut bercerita.
"Mustika, nanti datang sana, kamu abaikan saja semua ya. Dengar dan angguk, demi Puan Teja dan Tuan Mikhail." Mak Diva berwajah serius.
"Kenapa?" Mustika mengerutkan dahi.
"Dalam acara tu nanti, semua ahli keluarga Tuah Zulkarnain akan berkumpul. Apa lagi, membawanglah masing-masing nak nampak diri gah, langsung tak nak kalah. Semua nak nampak terpaling betul di mata Tan Sri Tuah.." Kak Eja pula membuka mulut.
"Alah, semua orang tahu Tan Sri paling sayangkan Puan Teja. Kau tengoklah, bisnes keluarga ini yang paling mendunia. Nak harapkan abang-abang dia, satu habuk pun tak ada. Semua nak harapkan kabel orang dalam untuk dapatkan projek." Umi Mariam mencelah, kedengaran geram benar suaranya.
"Mak-mak ini sudah tahu betul ya tentang keluarga ini, sampai bisnes-bisnes pun tahu." Mustika agak kagum, jarang orang-orang tua mengambil tahu tentang urusan perniagaan luar.
"Kami sudah berpuluh tahun kerja di sini, Mustika. Sudah hadam semua! Kalau kamu nak tahu, Puan Teja dan Tuan Mikhail itu terlalu baik hati. Masih juga dibantu ya saudara-saudara yang munafik itu, bertalam dua muka. Padahal bukan main lagi mereka menghina kaki Puan Teja yang cacat katanya, geram
betul aku." Kak Timah menghentak kuali di atas dapur, menghasilkan bunyi yang agak kuat sehingga Kak Eja di sebelahnya melatah."Mereka sebenarnya cemburukan Puan Teja. Tengoklah hidup Puan Teja, masih bahagia dengan suami dan anaknya. Bisnes juga semakin maju. Paling aku tak boleh kalau tengok abang sulung Puan, si muka tembok tak tahu malu tu. Dengan anak perempuan dia yang bukan main lagi sombong ya, hidung tu kalau boleh nak gantung dekat siling supaya sentiasa berjalan mendongak langit." Mak Diva memicit hidungnya sendiri, melakonkan aksi hidung tinggi.
"Anak perempuan dia tu yang nak dijodohkan dengan Tuan Raees kan?" Umi Mariam mengerutkan dahi.
"Yalah. Dia si princess kayangan. Amanda kan nama dia, tak padan dengan pendeknya, ada hati nak jadi model. Aku rasa dia jadi model tu sebab orang dalam. Mana ada orang nak ambik muka macam dia tu? Tak laku baju dijualnya.." Kak Eja menggeleng-gelengkan kepala.
"Sudahlah mengumpat tu." Mak Seri menyampuk.
Mustika hanya mendiamkan diri. Susah juga ya menjadi orang kaya sehingga adik-beradik sendiri sanggup berdengki dan khianat. Mungkin inilah sebabnya Puan Teja enggan kembali berjalan; dia sudah muak digelar cacat dan dihina oleh ahli keluarganya sendiri. Mak Seri kelihatan termenung di pintu dapur sebelum menghulurkan baju kepada yang lain.
"Ini untuk kamu, Mustika. Tuan Mikhail belikan gaun sebab katanya, sesuai untuk gadis muda yang bertudung." Mak Seri menghulurkan sehelai baju yang masih berplastik. Jenama Leeyana Rahman jelas tertera pada plastik tersebut.
"Wah, jenama mahal ni.." Mustika teruja.
"Tuan tak pernah belikan baju murah untuk kami, Mustika. Sebab itu kadang-kadang kami berempat mohon cuti nak beli baju murah di jalan TAR. serba salah sebab Tuan terlalu baik." Umi Mariam ketawa kecil mengenangkan betapa baiknya majikan mereka.
"Pergilah bersiap." Mak Seri bersuara mengarah.
"Tapi jam masih awal.." Mustika menggaru-garu kepalanya yang pening melihat Mak Diva menari-nari di hadapannya sambil menggayakan baju kurung moden yang baru sahaja dibeli oleh Tuan Mikhail.
"Mustika, Diva Markonah mengatur maskaranya sahaja sudah satu jam. Belum lagi dia nak membelit selendang.." Mak Seri menjuihkan bibirnya ke arah Mak Diva yang sedang menggoyang-goyangkan pinggangnya dengan rancak.
"Yalah Mak seri. Saya lupa kita ada diva hehe." Mustika ketawa kecil, lantas membawa bungkusan baju di tangannya menuju ke bilik. Di belakangnya, Mak Diva masih rancak menyanyikan lagu Secangkir Madu Merah. Mak Seri menepuk bahu orang tua bergincu merah itu kerana geram melihat telatahnya yang bukan-bukan, mengalahkan orang muda gayanya.
"Kau lambat, kau tinggal ya diva."
Mak Seri memberikan amaran dan dia juga menahan tawa sebenarnya. Ada-ada sahaja ulah mereka ini yang membuatnya geli jari.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...